Harimau Akuan
Bahagaian 1 : Harimau Minta Minum
Hujan tidak lah lebat,hanya rintik-rintik sahaja selepas pukul dua belas tengah malam.Tetapi mak ngah som bersama kak emon dan joyah masih terbongkok-bongkok lagi di penanggah mengemas pinggan mangkuk,sebaik sahaja selesai kenduri kahwin anak perempuan saelah.Dua tiga orang lelaki yang membantu mereka berkemas tadi,sudah naik ke rumah merabahkan badan di pangkal serambi.
Terasa benar mengantuknya mereka akibat keletihan.Maklum saja lah membuat kerja nikah kahwin,sesaat pun mereka tidak dapat berehat kecuali apabila lat nikah kahwin itu selesai.
Sejak siang lagi mereka bertungkus lumus membantu ngah lajim dan mak ngah som kerana perkahwinan saelah.Suami saelah pula seorang guru di sekolah dikampung mereka.Dua tahun dia mengajar disitu hatinya mula terpikat dengan saelah.Apabila dia masuk meminang,ngah lajim menerimanya macam kurang tapak tangan nyiru ditadahkan.
Suami saelah itu cikgu madun dari rompin.Dia hanya guru biasa saja berkelulusan normal class.Budi bahasa nya dengan penduduk-penduduk kampung menyebabkan dia sangat disegani disitu.Sebab itu lah dia menganggap saelah sangat beruntung apabila dilamar oleh cikgu madun.
Kelaziman mereka dikampung tersebut memang sanggup sama-sama bersusah payah membantu jiran tetangga terutamanya dalam kerja menghadapi kerja nikah kahwin.Apa lagi ngah lajim seorang dukun yang dianggap mereka berjasa kepada penduduk-penduduk disitu.Ngah lajim tidak pernah mencari helah kalau dijemput apabila ada jiran-jiran sakit dan sebagainya,yang memerlukan bantuannya,sekali pun pada waktu tengah malam.
Sebab itu lah orang-orang kampung sanggup bertungkus lumus membantu ngah lajim apabila berlangsung pernikahan anak perempuannya saelah.
Hujan rintik-rintik mula kedengaran kasar berdetup-detup menyinggahi atap penanggah.Mak ngah som terkuap-kuap menahan mengantuk,tetapi hatinya merasa gembira kerana saelah selamat dinikah kan.Tidak ada berlaku kekecohan sepanjang lat kahwinnya berlangsung.
Tetapi semasa membuat tungku penanggah seminggu sebelumnya berlaku juga kejadian-kejadian yang mengganggu.Tatkala mak emon mahu mengambil bakul beras untuk memasak nasi tiba-tiba saja bakul tersebut melompat.Mereka semuanya menjadi gempar dengan kejadian tersebut.Puas dikepung beramai-ramai namun bakul beras itu tetap melompat seolah-olah mengelak diri.
Apabila diberitahu ngah lajim mengenai peristiwa bakul beras melompat-lompat semasa mak emon mahu menanak nasi,dia sendiri datang ke penanggah.Ngah lajim menekan ibu jari kaki kanannya ke tanah sambil mulutnya terkumat-kamit.Serta merta saja bakul beras itu tidak lagi melompat.Baru lah mak emon dapat menanak nasi untuk mereka yang datang bergotong-royong membuat penanggah.
Anehnya apabila mak emon menanak nasi sekali orang menjadi gempar kerana nasi dikawah tidak masak sehingga empat jam ditanak.Mak ngah som mengeluh panjang dengan peristiwa tersebut.Ngah lajim segera mengambil beras bertih lalu dilemparkan ke kawah yang terjerang ditungku.Beberapa minit kemudian nasi dikawah menjadi hangit tidak boleh dimakan langsung.
Mujurlah peristiwa yang menimpa mereka tatkala bergotong-royong membuat penanggah itu tidak berulang lagi.Sebelum lat nikah kahwin bermula ngah lajim telah membakar kemenyan disekeliling busut setinggi paras pinggang yang tersergam dihujung halaman rumahnya.Sehingga lah selesai majlis perkahwinan saelah,mereka tidak diganggu oleh kejadian-kejadian yang membingungkan orang ramai itu.
"Kalau kau letih,naiklah kerumah dulu joyah."Kata mak ngah som mencuit bahu joyah.Tetapi perempuan itu tidak menghiraukan mak ngah som.Dia terus juga membantu emak saudaranya itu berkemas pinggan mangkuk diatas penanggah.
Pinggan mangkuk itu dipinjam oleh mak ngah som dari jiran-jiran lain.Setelah dibasuh dan dikemas,pinggan mangkuk itu akan dipulangkan semula kepada tuannya.Kalau tidak dikemas betul-betul,mana tahu akan diterpa kucing hingga jatuh pecah berderai.
Sebab itu joyah mesti selesaikan kerjanya mengemaskan pinggan mangkuk itu sebelum naik keatas rumah merebahkan badan.Lagi pun bukan selalu mak ngah som meminta pertolongan dia.Apalah salahnya dia bertungkus lumus membantu tatkala saelah menjadi pengantin.Mana tahu lain kali dia juga memerlukan pertolongan dari saelah juga.
Hidup berjiran sama sekampung mesti banyak difikirkan tentang cara bermasyarakat.Kalau hidup bagai kan enau didalam belukar,alamat akan jadi kera sumbanglah di dalam kampung.
"Kau pun emon,kalau nak berehat,berehat la."Ujar mak ngah som.
Mak emon tidak menyahut.Dia terkial-kial menutup kawah dengan kepingan atap rembia.Bimbang juga dia kalau anjing melintas disitu tengah-tengah malam menjilat kawah.
Sebaik selesai saja dia menutup kawah,mak emon terus naik ikut tangga dapur.Tidak sepatah pun dia memberitahu mak ngah som.Sebenarnya dia sendiri sudah terlalu mengantuk akibat keletihan tidak berehat sejak siangnya.Dia lah yang bertungkus lumus menghidangkan makanan kepada tetamu yang datang.Dia juga yang membasuh pinggan di penanggah.Mereka keletihan itu benar-benar melesukan perasaannya.
Sampai saja diatas rumah,mak emon terus merebahkan badannya di celah-celah budak-budak yang sudah tidur nyenyak sejak tadi.Berkaparan mereka tidur didapur sampai ke tengah induk rumah bertupang tindih paha di kalangan mereka.
"Naiklah kau joyah,biar aku sudahkan."Ulangi mak ngah som berpaling pada joyah.Perempuan itu terkuat-kuap juga.
"Iya la,biar aku naik dulu mak ngah."Beritahu joyah melangkah longlai ke tangga dapur.Dia tahu mak ngah som bukannya takut apa-apa.Lampu pun masih terang-benderang sekeliling rumah,kerana sengaja dipasang oleh dalip anak buahnya iaitu suami joyah.
Sanak saudara masih ramai lagi berkumpul dirumah mak ngah som.Memang begitu lah mereka dikampung berkenaan bila mengadakan kenduri kendara,sanak saudara akan balik kerumah masing-masing setelah selesai semua barang-barang dikemas.Baik membuka tungku penanggahnya baik pulang memulangkan pinggan mangkuk kepada jiran-jiran yang meminjamkan,mahu pun menurunkan tabir langit-langit yang dipasang sejak lat nikah kahwin bermula.
Setelah joyah naik kerumah tinggallah mak ngah som seorang diri mengemaskan pinggan mangkuk di penanggah.Walau pun badannya terasa letih,tetapi hatinya tetap gembira.Bukannya disebabkan dapat menantu cikgu sekolah,tetapi semasa lat nikah kahwin berlangsung tidak diganggu oleh peristiwa-peristiwa ganjil.
Pada mula nya dia menyangka tentulah ada,kerana peristiwa semasa membuat tungku penanggah itu merupakan tanda-tanda gangguan selanjutnya akan berlaku.Bagaimana kalau berulang bakul beras melompat-lompat ketika majlis kahwin berlangsung?.Beras yang ditanah juga tidak masak sampai berjam-jam dijerang,kemudian bertukar menjadi hangus berbau hangit?.
Alangkah malunya dia suami isteri kalau peristiwa demikian berlaku.Tetamu yang datang sudah tentu akan kelaparan kerana tidak ada nasi yang dapat dihidangkan.
Mujurlah suaminya ngah lajim cepat menyedari akan ancaman tersebut.Cepat-cepat dia membakar kemenyan yang dipesakai oleh arwah ayah dan datuknya,sebelum majlis perkahwinan berlangsung.Mungkin itulah puncanya tidak ada lagi gangguan menimpa mereka.
Memang mak ngah som bimbang juga kalau gangguan itu menimpa kepada pengantin.Pernah juga berlaku di mancis pengantin tiba-tiba pengsan semasa bersanding diatas pelamin.Begitu juga di pelangai,pengantin lelaki sampai berpeluh-peluh tidak dapat melafazkan akad nikah.Rupa-rupanya ada orang meletakkan katak diikat perut dan diserkup dengan tempurung dibawah rumah bersetentang dengan pengantin duduk.Mancis dan pelangai bukan lah jauh sangat dari kampungnya.
Mak ngah som sendiri yang lihat dengan mata kepalanya peristiwa tersebut semasa menghantar pengantin lelaki dari kampungnya ke pelangai.Dia juga ada menghantar pengantin ke mancis,pekan kecil yang terletak disempadan pahang dengan negeri sembilan itu.Boleh dikatakan kampung-kampung yang berdekatan disitu seperti simpang durian,kapung sabun sampai lah ke durian tipus memang mak ngah som pernah sampai.
Kejadian-kejadian seperti itu memang selalu berlaku,kerana adanya orang-orang yang sengaja mahu dajalkan pengantin.Kadangkala sengaja mahu memberi malu tuan rumah,biar majlis kahwinnya menjadi buah mulut serata kampung.Perbuatan ini sudah menjadi lumrah penduduk-penduduk yang tinggal jauh di pendalaman seperti dikampungnya.
"Nasib baik lat kenduri aku tak diganggu apa-apa."Keluh mak ngah som perlahan-lahan sambil terkuap-kuap menahan mengantuk.Dia masih mengemas pinggan mangkuk di penanggah supaya susunan nya tidak mudah jatuh kalau dilompati kucing.Mana lah tahu kalau ada kucing melompat hingga semua pinggan mangkuk jatuh ke tanah.Semua akan pecah berderai.Dia dan suaminya juga terpaksa menggantikan pinggan mangkuk yang dipinjam dari jiran-jirannya.
Hujan rintik-rintik masih turun berdetup-detap memukul atap rembia di penanggah.Angin malam juga bertiup perlahan,tetapi tersilak juga kain sampai paras betis disinggahi angin lembut itu.Terasa sejuk menggigit sampai ke tulang akibat angin lembut dan hujan rintik-rintik berwap dingin itu.Namun mak ngah som masih berkeras mahu sudahkan kerjanya di penanggah.
Kegembiraan mendapat menantu disamping majlis kenduri kahwinnya yang selamat sempurna menyebabkan mak ngah som melupakan segala keletihan dan rasa mengantuknya.Dia terus mencangkung di penanggah meneruskan kerjanya mengemas pinggan mangkuk.
Sekonyong-konyong dia terdengar bunyi orang terbatuk-batuk tidak jauh dari situ.Mak ngah som tidak hiraukan sangat bunyi orang terbatuk itu.Boleh jadi yang terbatuk-batuk itu ngah lajim sendiri.Dia dapat mendengar ngah lajim masih berborak-borak dengan dalip suami joyah diserambi rumah.Boleh jadi deraoh suami mak emon juga ada bersama disitu.Boleh jadi cikgu madun menantunya itu juga ada bersama-sama berborak-borak.
Cikgu madun tentu tidak dibenarkan berborak-borak diserambi oleh daeroh.Tentu adiknya daeroh tidak mahu menantu baru itu menumpang orang lain berjaga sampai jauh malam sambil berborak-borak di serambi.Pengantin baru sepertinya perlu berehat dibilik bersama isterinya,kerana keletihan sepanjang hari akibat diajak orang memerlukan rehat panjang pada sebelah malamnya.
"Som,haus aku ni."Mak ngah som terdengar macam orang memanggilnya dari hujung halaman berdekatan dengan busut jantan setinggi pinggang orang yang tidak dibenarkan oleh suaminya diruntuhkan.
Mak ngah som menggosok-gosok telinganya dengan bahu.Mana tahu telinganya salah dengar.Maklum saja lah tengah malam yang sepi itu macam-macam bunyi yang boleh menyebabkan telinga tersalah dengar.Kadangkala bunyi kuang jauh ditengah rimba pun macam bunyi orang melaung minta tolong.Malah hati juga mudah berdebar bila terdengar burung jampuk mendekut-dekut tengah malam sewaktu bulan mengambang bagaikan orang batuk semput.
"Haus aku ni,som."Ulangi suara itu lebih jelas.
Mak ngah som mulai rasa berdebar.Suara itu bukannya suara ngah lajim.Lagi pun kalau ngah lajim mahu minum tentulah dia menyuruh minah anak sulungnya kakak kepada saelah membuat air.Atau dia boleh mengejutkan sarip suami minah bangun membuatkan air.Menantunya sarip tidak akan membantah kalau disuruh bangun membuatkan air.
Suara yang didengar oleh mak ngah som itu terlalu asing.Suaranya bergetar jauh ke dalam kerongkong.Malah boleh dikatakan antara kedengaran dengan tidak saja bunyinya.
"Hausnya aku ni som,bagi lah aku air sejuk."Kata suara itu lagi bagaikan meminta-minta.
"Hah,nak minum ambillah sendiri."Gerutu mak ngah som,kerana dia sudah dapat mengagak ngah lajim mahu mempersendakannya.Suara bergetar itu memang ada mirip-mirip macam suara ngah lajim juga.
"Macam mana lah aku nak ambil sendiri?"Ujar suara itu bergetar.
"Awak jangan nak mengada-ngada,dah tua-tua pun lagi nak bergurau."Katanya macam memarahi ngah lajim."Awak tak nampak ke aku buat apa ni?"Rungut nya sambil berpaling mahu mencebik suaminya ngah lajim.
Dia tahu memang ngah lajim selalu mengusiknya.Perlahan-lahan ngah lajim menepuk bahunya dari belakang menyebabkan dia terlompat sambil melatah.Dia akan ternganga-nganga mencungap menahan sesak nafas akibat terlampau latah.Bila dia terlompat-lompat bertandak,ngah lajim pula bertepuk menyuruh dia terus bertandak.Bagaikan terkene pukau dia akan mengikut saja apa yang disuruh oleh ngah lajim.
Kadang kala marah juga dia dengan perbuatan ngah lajim sengaja mengusiknya biar melatah.Tetapi bukan ngah lajim suka mengusiknya,malah deraoh adiknya sendiri suka mengusik.Orang-orang kampung juga suka mengusik dia.Sebab itu kadnag mak ngah som tidak mahu datang kalau dipanggil kenduri kendara.Malu benar dia kalau sudah bertandak ditengah majlis akibat melatah setelah diusik orang.
"Awak nak mengada-ngada ye.."Dia mengangkat sabut berlonggok diatas penanggah mahu dibalingkannya ke arah ngah lajim.Sebelum ngah lajim mengusik biar dia terlebih dahulu melontarkan sabut kering itu kearah suaminya.
Sebaik saja dia berpaling kebelakang,tiba-tiba mak ngah som ternganga tidak dapat becakap sepatah pun.Lidah nya menjadi kelu melihat seekor harimau tercangkung dibawah pangkin penanggah.Tubuhnya menggeletar sehingga seluruh sendi anggotanya lemah tidak berdaya.Dia nampak dengan jelas mata harimau itu terkebil-kebil sambil mulutnya menganga terkuat-kuap.Bau wap busuk dari mulutnya juga terasa meloyakan tekak mak ngah som.
"Hei,rimau kau..rimau,hoii kau rimau ye."Sekaligus mak ngah som dapat memulihkan tenaganya.Dia menjadi berani akibat melatah lantas bertandak diatas pangkin penanggah.
"Kau ye,kau rimau ye..kau nak minum."Pekiknya melangsing.
Suara mak ngah som bergema sampai ketengah rumah.Joyah yang baru mahu merebahkan badan tadi bingkas bangun.Dia berkejar ke tingkap mahu memastikan siapa yang mengusik mak ngah som.Kalau lah suaminya dalip yang mengusik,memang dia akan seranah suaminya.Sudah tahu mak ngah som latah,mengapa pula diganggu dalam keadaan demikian?.
Cepat-cepat joyah menolak tingkap.Sebaik saja tingkap terbuka joyah tergamam melihat mak ngah som bertandak diatas pangkin penanggah,mana kalah seekor harimau tercangkung melangut memerhatikannya.
"Oii,mak oi..rimau..rimau.."Pekik joyah berpaut pada jenang tingkap.Dia merasa kakinya goyah tidak berdaya untuk berdiri tegak.Hatinya gementar melihat keadaan mak ngah som bertandak-tandak melatah berhadapan dengan harimau tercangkung sebesar lembu melangut dari bawah pangkin.
Pekikan joyah itu menyebabkan ngah lajim yang sedang berborak-borak diserambi tergamam.Dalip juga terkejut mendengar pekikan joyah.Mereka berdua bingkas bangun menjengah ke induk rumah.Dalip nampak isterinya bergayut pada jenang tingkap dalam keadaan lemah tidak berdaya.
"Kenapa kau joyah?"Tanya dalip kehairanan.
"Itu..itu...rimau..rimau..."Sahut joyah tergagap-gagap sambil menuding jari kearah penanggah.
Dalip berkejar ke tingkap.Dia ternampak harimau tercangkung melangut di pangkin penanggah memerhati mak ngah som terlompat-lompat bertandak.
Sebaik saja mendengar pekikan joyah sebelumnya,memang ngah lajim sudah menduga bahawa harimau yang menakutkan perempuan itu sudah dimakluminya.Cepat-cepat ngah lajim turun ketanah mendapatkan isterinya di penanggah.
"Awak bela rimau ye,awak bela rimau."Mak ngah som terus melatah lantas membaling sabut kering kearah ngah lajim yang muncul didepannya."Bawak balik rimau awak,bawak balik rimau awak tu.."Jeritnya terlompat-lompat bertandak bagaikan tidak sedar diri.
Ngah lajim tidak menyahut.Dia mengambil segelas air.Kemudian menarik bahu harimau itu menuju ke busut dihujung halaman.Disitu dia memberi harimau itu minum.Sementara dalip pun apabila melihat harimau itu terlalu jinah dengan ngah lajim,dia terus turun mendapatkan mak ngah som.
Beberapa orang yang tertidur diatas rumah juga terbangun sebaik mendengar bunyi riuh rendah di penanggah.Deraoh adik mak ngah som juga cepat-cepat mendapatkan kakaknya di penanggah apabila dia sampai kesitu.Ketika ini tidak ada apa-apa lagi yang mereka lihat,selain dari ngah lajim bertenggong berhampiran dengan busut tinggi separas pinggang dihujung halaman.
Mak ngah som tidak henti-henti memarahi suaminya melepaskan geram,kerana terkejut benar dia apabila melihat seekor harimau terconggok melangut dipangkin penanggah.Itulah pertama kali dia melihat harimau berkenaan sekali pun sudah lebih dua puluh tahun hidup menjadi suami isteri.
"Awak bela rimau ye...awak bela rimau?"Gerutunya setelah semua orang naik semula kerumah.Mak ngah som masih termengah-mengah terjelopok dipangkal serambi.
Ketakutan masih menyelubungi hatinya dengan peristiwa tersebut.Cikgu madun dan saelah juga terbangun mendengar riuh-rendah itu.Mereka sama-sama keluar dari bilik tidur hendak mengetahui apakah sebenarnya telah terjadi.
"Halau rimau awak tu,halau.."Jerit mak ngah som semakin seram sejuk bila mengenangkan harimau terconggok didepan mata.
Ngah lajim tunduk tidak bercakap apa-apa.Dia menelan kata-kata isterinya dengan sabar.Kalau dia mahu berkeras memang boleh.Kalau lah tidak kerana harimau itu muncul,sudah tentut gangguan ketika majlis perkahwinan anaknya berlangsung terjadi lagi seperti tatkala memasang penanggah.Dia tahu ada orang sakit hati bila dia menerima pinangan cikgu madun untuk memperisterikan saelah.
Sebab itu lah dia bertindak mengawal kesejahteraan rumah tangganya supaya tidak dapat diganggu oleh orang lain yang mengamalkan ilmu hitam.Kejadian bakul beras melompat-lompat itu memang perbuatan ilmu hitam,sehingga beras yang ditanak juga tidak masak menjadi nasi.Apabila dipulihkan semula ternyata nasi didalam kawah sudah hangit menjadi hitam berbau.
"Memang awak tak berotak,bela rimau.."Mak ngah som melepaskan geramnya.
"Sabar dulu kak..."Sampuk deraoh bila dilihatnya kakaknya semakin memberang."Bercakap masa hati panas ni,tak sama dengan masa fikiran siuman."Ujarnya meminta mak ngah som bertenang.
"Dia nak bunuh aku.Disuruhnya harimau melangut aku,kau tau..tau?"Pekik mak ngah som.
"Tak baik cakap macam tu."Daraoh mengeraskan suaranya.
Dia tahu abang iparnya itu tidaklah bermaksud menakutkan mak ngah som.Mungkin harimau yang menjelma dihadapan mata mak ngah som,disebabkan ngah lajim terlupa membakar kemenyan lagi.Maklum lah masa bila pula dia mahu membakar kemenyan tatkala orang masih sibuk sebaik saja majlis perkahwinan selesai.
Sudah lama deraoh mengetahui ngah lajim memang ada akuan harimau yang dibela sejak turun temurun.Ngah jalim pernah memberitahu nya semasa mereka berdua sama-sama ke hutan.Kebetulan ngah lajim memang rapat dengannya sejak muda hingga lah dia menjadi abang ipar deraoh,persahabatan mereka tetap akrab.Semasa sama-sama mencari rotan dihutan,deraoh ternampak petai lantas memanjatnya.
Apabila dia berada tinggi sedikit,deraoh memerhati kebawah jauh dikawasan lalang ternampak olehnya seekor harimau berbaring disitu.Deraoh menjadi gementar kerana ketika ini ngah lajim berada dibawah dan tidak mengetahui mengenai harimau berkenaan.Mahu dilaungnya ngah lajim supaya ikut sama memanjat,bimbang pula dia kalau harimau itu tersedar.
Apa yang ditakutinya memang berlaku,harimau itu tersedar lantas berdiri dengan menggeliat-ngeliat.Kemudian dia ternampak deraoh yang berpaut pada dahan pokok petai.Dalam keadaan ketakutan itu deraoh nampak harimau itu melenggang menuruni kawasan lereng bukit itu menuju ke arahnya.
"Abang lajim,rimau."Pekik deraoh serba salah.
Semasa ngah lajim berpaling harimau tersebut sudah dekat dengannya.Deraoh nampak ngah lajim berdiri tegak tidak bergerak semasa harimau itu hampir kepadanya.Tidak lama kemudian harimau itu ternganga-nganga sambil menggeleng kepala.Mulutnya juga berbuih-buih bagaikan gementar berdepan dengan ngah lajim.Akhirnya harimau itu memusingkan badannya lantas pergi mendaki bukit hilang dalam semak anak-anak kayu.
Tidak jadi deraoh mengambil petai.Lantas dia turun mengajak ngah lajim balik saja ke rumah.Untuk menghilangkan rasa takut dihati deraoh,barulah ngah lajim menceritakan memang kemana saja dia pergi dihutan akan diperhatikan oleh harimau jelmaan dari datuknya.Sebab itu lah dia sering membakar kemenyan yang dipesakai dari datuknya sebagai tanda dia sentiasa memelihara harimau jelmaan datuknya itu.
Harimau biasa dan lain-lain binatang buas tidak akan berani mengganggunya selagi harimau jelmaan datuknya itu ada.Sebab itu lah semasa anaknya minah berkahwin dengan sarip terjadi juga gempar apabila rumahnya dibaling batu dari setiap penjuru.Hendak dikatakan ada orang membaling,mereka berkawal di sekeliling rumah tidak ada kelihatan kelibat orang.
Adalah mustahil kalau batu itu dibaling dari jauh,kerana tidak mungkin sampai kerumahnya kalau perbuatan manusia biasa.Belukar yang ada disekeliling rumahnya jauh dari kawasan rumah.Kalau orang membaling batu dari arah kawasan belukar itu pun nescaya tidak akan sampai menimpa atap rumah.
Setelah ngah lajim membakar kemenyan peninggalan arwah datuknya dan ayahnya barulah kejadian membaling batu yang berlaku selama dua hari itu terhenti.Anehnya batu yang dibaling itu tidak akan menyinggahi manusia.Hanya nyaris-nyaris saja terkene,seolah-olah batu-batu itu tahu menggelakkan diri supaya tidak menyinggahi manusia atau pinggan mangkuk yang berselerak di penanggah.
Ketika ini tidak ada pula harimau jelmaan itu muncul.Siapa pun tidak tahu mengenai harimau berkenaan.Bagaimana pun deraoh sudah berjanji tidak akan menceritakan kepada sesiapa pun akan harimau jelmaan yang dicakapkan oleh ngah lajim itu.Pernah juga deraoh memujuk ngah lajim supaya membakar kemenyan semata-mata hasratnya untuk melihat harimau jelmaan itu.
Disebabkan deraoh terlalu mendesak,terpaksa lah ngah lajim memenuhi hasrat adik ipar dan sahabatnya itu.Memang deraoh dapat melihat sendiri dari tingkap hujung serambi dengan tidak diketahui oleh sesiapa pun didalam rumah itu,harimau jelmaan itu muncul selepas ngah lajim membakar kemenyan.
Harimau itu tiba-tiba saja berdiri berhampiran dengan busut jantan dihujung halaman.Kemudian dia menggaru-garukan leher kepada busut itu.Selepas itu dia hilang semula secara tiba-tiba."Kalau aku tak ada gangguan apa-apa,dia susah nak muncul."Beritahu ngah lajim kepadanya.
"Elok kakak bersabar."Deraoh mengingatkan kakaknya.
Ngah lajim tetap membisu sekali pun dicaci oleh isterinya.Dia tahu mak ngah som terlampau terkejut dengan kejadian itu menyebabkan dia terlalu marah.Sebab itulah mulutnya lancang mengatakan apa saja terhadap dirinya.
Tetapi peristiwa malam itu tetap menjadi kenangan pada cikgu madun,kerana malam pertama hari perkahwinannya dia mengalami kejadian seperti itu.Walau pun dia tidak melihat mengenai harimau jelmaan yang menyebabkan emak mertuanya terkejut,namun dia dapat merasakan ketakutan emak mertuanya itu.
Dia sendiri tidak berani bertanya kepada isterinya saelah apakah benar cerita emak mertuanya.Malah saelah sendiri tidak tahu menahu mengenai harimau jelmaan tersebut.
"Mungkin orang kata cerita tahyul,ustaz.."Beritahu cikgu madun kepada saya,apabila kami bertemu beberapa tahun kemudian selepas kejadian tersebut.
"Tetapi itulah cerita mengenai bapa mertua saya,walau pun saya sendiri tak pernah melihatnya."Ujar cikgu madun lagi.
Cikgu madun memberitahu ceritanya itu kepada saya,apabila saya mahu tahu latar belakang isterinya saelah yang selalu merasa sakit kepala.Kadang-kadang mukanya jadi pucat bila diserang sakit kepala.Mereka telah beberapa kali mendapatkan rawatan doktor dihospital dan klinik swasta,tetapi pihak doktor mengesahkan saelah tidak menghidap apa-apa penyakit.
Setelah di x-ray kepalanya juga didapati semuanya normal.Puas juga cikgu madun berubat melalui bomoh-bomoh di beberapa kampung,malah sampai ke air hitam johor pun,sampai ke air lanas di kelantan,tetapi setiap bomoh memberi tafsiran yang berlainan.
"Cubalah ustaz tengokkan pula.."Saelah sendiri yang mula-mula menyuarakan keinginannya.
"Saya ni bukannya bomoh."Ujar saya tulus ikhlas.
"Saya pun tak minta diubatkan."Sahut cikgu madun perlahan."Saya hanya nak minta ustaz doa-doakan.Mana lah tahu,untung-untung makbul pula."Katanya tersengih-sengih mengerling kearah saya.
Dari sini lah saya hendak tahu kan latar belakang keluarga saelah,sama ada pernah berdukun atau tidak,dan sama ada mempunyai akuan turun temurun atau tidak.Saya hanya sekadar ingin tahu saja dari mereka berdua.
(Bersambung...)
Sumbur : Naskah Dari Tok Awang Ngah
No comments:
Post a Comment