Friday, 4 November 2016

Harimau Akuan

Bahagian 9 : Lembaga Besar Berlari Keliling Rumah


   Jalan lengang selekoh itu berlopak-lopak hingga kereta yang dipandu cikgu madun terhinggut-hinggut.Kalau hendak dipecut laju bimbang pula kereta itu akan melambung-lambung laksana menaiki sampan ditengah laut.Isi perut pun bagaikan melambak keluar bila kereta terlambung-lambung dijalan berlopak.

   Dikiri kanan jalan redup dengan pokok-pokok getah berdaun tua kekuningan.Daun-daun tua itu juga banyak berlonggok ditepi jalan.Saya melihat cikgu madun tidak bercakap apa-apa.Alang deraoh yang duduk dibelakang juga membisu saja.

   Kereta terus terhinggut-hinggut melalui jalan lengang banyak selekoh itu.Tidak pula nampak rumah dimana-mana.Tidak ada kampung  yang kami lalui disitu.Kalau ada kampung yang dilalui tentu bertemu juga dengan rumah sebuah dua.Mungkin juga bertemu dengan orang lalu lalang disitu.

   "Betul ke jalan kau ni madun?"Alang deraoh seolah-olah bimbang kami akan tersesat jalan.

   "Agaknya betul..."Beritahu cikgu madun perlahan.Dia pun bukanlah biasa sangat dengan jalan menuju ke endau ini.Lagi pun mencari rumah orang yang belum pernah ditemui tentulah menyulitkan juga.Sebab itu lah kami bertolak pagi-pagi lagi dari kampung alang deraoh,dengan harapan akan sampai ke endau sebelum asar.

    Tengah hari nya kami berhenti makan disebuah pekan kecil.Kemudian berhenti bersembahyang zohor disebuah masjid apabila melalui sebuah kampung.Jalan dikampung itu berdebu dengan tanah merah.Tetapi debu jalan itu tidak lah sama dengan harapan kami yang bagaikan diselaputi debu juga,debu kebuntuan bila mengenangkan sakit yang dihidapi oleh mak ngah som dan saelah.

   Saelah tidak la teruk seperti mak ngah som.Sakitnya hanya datang sekali sekala bila bulan penuh.Dia akan merasa seluruh tubuhnya kejang dan sendi anggotanya ngilu-ngilu.Tubuhnya juga semakin kurus sehingga kalau berjalan dengan anak dara suntinya yang berumur tiga belas tahun,orang akan mengatakan anak nya sama seperti adiknya saja.

   "Macam mana kalau kita tak jumpa rumahnya,ustaz?"Kebimbangan masih terbayang diwajah alang deraoh.

   Saya tersengih-sengih saja.

   "Kita tanya-tanya lah orang.."Sahut cikgu madun tersenyum.

   Alang deraoh memang ingin sangat bertemu dengan wak samin yang saya ceritakan kepadanya itu.Sudah lama dia memendam rasa mengenai sakit yang dihidapi oleh kakaknya mak ngah som.Kemana saja dia mendengar ada dukun yang sanggup mengubat,dia akan membawa mak ngah som untuk berubat.

   Selepas saya sendiri mendengar pengakuan mak ngah som bahawa dia sedar apa yang berlaku keatas dirinya,cuma tidak dapat mengawal dirinya dari melakukannya,alang deraoh mula bersetuju dengan apa yang saya beritahu kepadanya mengenai harimau akuan tok galat itu.Memang mak ngah som tahu dia tersengih-sengih seorang diri,bercakap seorang diri,kadangkala memekik-mekik seorang diri,anehnya dia tidak dapat menghentikan perbuatannya itu.Seolah-olah ada satu kuasa lain yang mendorongkan dia melakukannya.

   Apabila setelah saya mencuba untuk memulihkannya,keadaan mak ngah som berkurangan sedikit.Bagaimana pun dia tetap juga tersengih-sengih,bercakap seorang diri,dan kadangkala memekik-mekik.Tetapi tidak lah berpanjangan seperti sebelumnya.Malah ada waktunya dia seolah-olah sudah boleh menguasai dirinya semula.

   Dalam perjalanan ke endau itu lah alang deraoh menceritakan bagaimana mula-mulanya mak ngah som jatuh sakit.Selepas dia mencangkul busut larangan dihujung halaman rumahnya,tiba-tiba saja ngah lajim jatuh tersepuk tatkala sedang membersihkan tapak semaian.Ngah lajim mengadu kepada menantunya,sarip dia sakit kepala seperti dipukul orang.

   Semasa dibawa balik kerumah,ngah lajim dalam keadaan tidak sedarkan diri.Sakit inilah yangmembawa maut kepadanya.Seminggu selepas ngah lajim dikebumikan,alang deraoh pergi ke kuburnya untuk melihat sama ada kuburnya berlubang atau tidak seperti yang dialami oleh kubur tok galat.

   "Kuburnya tak terjejas sikit pun.."Beritahu alang deraoh mengenang kembali peristiwa bertahun-tahun dulu."Tapi,memang ada kesan tapak kaki harimau diatas kuburnya."Jelasnya lagi mengeluh pendek.

   Busut larangan itu tidak lah habis dicangkul mak ngah som setelah ditegah oleh alang deraoh.Bagaimana pun alang deraoh tidak dapat menghalang nasib yang menimpa ngah lajim setelah busut itu dicangkul.

   Ketika jenazah ngah lajim dimandikan terdapat kesan-kesan lebam dikepalanya.Rambutnya juga lerai dibahagian lebam-lebam tersebut seolah-olah terkena mata cangkul,sekali pun ianya tidak lah luka.Tatkala melihat kesan lebam seperti kena mata cangkul itu lah mak ngah som terkejut.Dia jatuh pengsan beberapa kali sehingga ngah lajim selamat dikebumikan.

   Beberapa malam selepas kematian ngah lajim,minah menemani emaknya.Dalam beberapa malam itu minah mendengar emaknya memekik-mekik tidak tentu hujung pangkal.Keadaan mak ngah som ini membimbangkan minah suami isteri.Alang deraoh juga diberitahu juga mengenai keadaan mak ngah som yang berubah selepas kematian ngah lajim.

   Disebabkan syak sesuatu perkara terjadi kepada ngah lajim,maka alang deraoh terus menyiasat ke kuburnya.Ternyata kubur ngah lajim tidak terjejas langsung.Hanya kesan tapak kaki harimau saja bertaburan disekitar tanah kubur.

   "Mungkin harimau itu mahu mengambil ngah lajim juga."Kata alang deraoh perlahan.

   "Tapi,ngah lajim tak amalkan ilmu tok galat.Dia hanya jaga peninggalan tok galat kerana amanat ayahnya aje.Agaknya pasal itu lah harimau tu tak jadi ambil ngah lajim."Ujarnya bagaikan gementar sedikit.

   Saya hanya mendiamkan diri saja tidak menyampuk apa-apa.Biar lah alang deraoh menceritakan apa yang terbuku dihatinya.Kalau saya menyampuk mana tahu dia akan tersinggung pula.Walau pun dia sudah mula mengakui ilmu yang diamalkan oleh tok galat itu berlawanan dengan akidah islam,namun saya masih tidak berani mahu menyatakan ianya berlawanan.

   Bimbang juga saya kalau dia tersinggung.Manalah tahu dia akan menuduh saya memperkecilkan tok galat pula seperti arwah lebai suh dulu.Akibatnya orang-orang kampung menuduh lebai suh mengajar ajaran sesat.Mereka tidak mahu lagi belajar dimadrasah lebai suh,kerana lebai suh dianggap memperkecilkan arwah tok galat.

   Mereka sudah menerima tok galat sebagai keramat.Kubur tok galat tempat mereka berkaul dan membayar nazar.Semasa hayatnya tok galat membuat kebajikan yang besar kepada penduduk-penduduk kampung.Sebab itu bila orang lain cuba menerangkan kedudukan sebenarnya,mereka menganggap orang tersebut cuba memperkecilkan tok galat.

   Ketika mak ngah som sakit ini dia sering terbangun tengah malam berlari ketengah halaman.Kadang kala dia merangkak berjalan menggunakan tangan dan kakinya seperti seekor harimau.Apabila disuruh naik oleh alang deraoh,dia akan menyeringaikan giginya laksana harimau mahu menerkam mangsanya.

   "Naik lah dulu kak som.."Jerkah alang deraoh seperti memaksa mak ngah som naik kerumah.

   Mak ngah som tidak menyahut,tetapi menyeringaikan giginya.Dia berlagak seperti seekor harimau yang mahu menerkam mangsanya.Tetapi dia tidak lah terus menerkam,hanya kakinya saja dihentak-hentak ke tanah seperti sedang mencakar.

   "Malam-malam ni tak elok ditanah,mak."Minah pula memujuk untuk meredakan kemarahan emaknya terhadap alang deraoh.

   Dia tersengih-sengih mendengar suara minah.Kemudian menderam seperti harimau lantas berlari semula berkeliling halaman.Alang deraoh hanya memerhatikan sahaja kakanya yang terlompat-lompat ditengah halaman itu.

   Setelah keletihan baru lah mak ngah som naik ke rumah.Dia tercungap-cungap apabila dipapah masuk ke tempat tidur.Alang deraoh dan isterinya mak emon,mana kala minah dan suaminya sarip sentiasa menjaga dia.Bimbang juga hendak ditinggalkan begitu saja.Saelah juga terpaksalah balik kerumah juga menjaga emaknya.

   Cikgu madun juga berusaha mencari dukun mengubati emak mertuanya.Dia percaya penyakit seperti itu tidak perlu dibawa ke hospital.Penyakit mak ngah som bukannya boleh diubat dihospital,kerana pihak hospital juga tidak akan tahu penyakitnya.Sebab itu dia mencari dukun dari metaus di durian tipus yang dikenali pak long saja.

   Semasa pak long datang dibawa oleh cikgu madun,mak ngah som mengerling saja kearah orang tua itu.Pandangannya seolah-olah mengancam.Alang deraoh menyerahkan kemenyan peninggalan ngah lajim kepada pak long untuk digunakan,tetapi pak long tidak mahu.Dia menyuruh alang deraoh membeli kemenyan baru dari kedai.Disebabkan cikgu madun sudah menerangkan kepada pak long latar belakang mak ngah som,jadi tatkala dia datang pak long akan membawa sehasta kayu tas.

   Kemenyan yang baru dibeli dikedai itu dijampinya terlebih dulu.Selepas itu baru dibakarnya.Asap kemenyan naik berkepul-kepul,lantas diambilnya kemenyan peninggalan tok galat itu diasapnya seperti melayur daun lakunya.

   Seperti kebiasaan mana-mana dukun,pak long juga memulakan kerja mengubati mak ngah som pada sebelah malam selepas isya.Dia mengambil wudhuk terlebih dulu sebelum memulakan jampi serapahnya.Ketika asap kemenyan naik berkepul-kepul,alang deraoh nampak pak long memejamkan matanya.

   Tangan pak long memegang kayu tas erat-erat.Sambil membaca jampinya dia memukulkan kayu tas itu ke lantai.Setiap kali dia memukul kayu tas itu ke lantai mak ngah som terjerit kesakitan.

   "Kalau rimau asal kau,balik kau kepada asal usul kau."Suara pak long bergetar lantas memukulkan kayu tas kuat-kuat ke lantai.

   "Rimau apa ni,rimau apa?"Sahut mak ngah som mengeliat-liat.

   Mak emon bersama minah dan saelah memegangkan dia supaya tidak terlepas.Bimbang juga kalau mak ngah som terjuk ke tengah halaman berlari memencak-mencak.

   "Jangan nak berselindung,sekarang tunjukkan rupa kau."Bentak pak long bagaikan mencabar.Dia memukulkan juga kayu tas ditangannya ke lantai beberapa kali.

   Ketika ini lah mereka terdengar bunyi ngauman dihujung halaman berhampiran dengan busut larangan tok galat.Meraka semua jadi tergamam dengan ngauman harimau tiba-tiba saja.Kemudian bunyi tapak kaki berlari dikeliling rumah seolah-olah harimau akuan itu menyahut cabaran pak long.

   "Kau nak buat apa ni long?"Mak ngah som bersuara terketar-ketar bagaikan tenggelam di kerongkongnya.Suara itu pula garau dan tak sama dengan suara asal mak ngah som."Kalau kail panjang sejengkal,jangan lautan nak diduga long."Ujarnya mengejek-ngejek pak long.

   "Kecil jangan disangka anak,besar jangan disangka bapa."Sahut pak long memukul lantai sekuat hatinya dengan kayu tas ditangan.

   Terjerit mak ngah som seperti menahan kesakitan.Ketika ini dikeliling rumah masih ada kedengaran seperti ada lembaga besar berlari-lari.Mereka semua sudah dapat mengagak sudah tentulah harimau akuan tok galat yang berlari di tanah.Dia seolah-olahnya muncul apabila dicabar oleh pak long.

   "Balik lah kau long.."Ejek mak ngah som lagi.

   "Aku balik,kalau awak lepaskan som ni."Sahut pak long.

   "Bini kau ke som ni?"Mak ngah som tersengih-sengih.

   "Awak jangan cuba nak main-main."Bentak pak long."Kalau awak tak muncul disini,biar kami turun ke tanah."Katanya meneruskan cabaran.

   Terdiam mak ngah som.Matanya meliar memandang ke kasau atap.Dia bagaikan berdendam pada pak long,tetapi tidak dapat melepaskan diri kerana badannya dipegang kuat oleh mak emon,saelah dan minah.

   "Lepaskan aku.."Mak ngah som meronta-ronta.

   "Lepas nak ke mana?"Jerkah pak long seperti memarahi mak ngah som.

   Tetapi mereka semua tahu pak long bukan berbantah-bantah dengan mak ngah som.Gangguan halus ini lah yang selama ini menyebabkan mak ngah som menjadi orang hilang akal.

   "Lepaskan aku."Pekik mak ngah som meronta-ronta kuat.

   "Nak ke mana?"Soal pak long keras.

   "Apa kau peduli.."Dia meludah ke arah pak long.

   "Kalau awak anak jantan,buat apa meludah-ludah."Pak long mengejeknya.

   "Kau ni bodoh ke,som ni jantan ke betina?"Mak ngah som ketawa berdekah-dekah.

   "Oh,jadinya awak ni betina la ye?"Tegas pak long meninggikan suara.

   Mak ngah som tidak menyahut.Dia mendiamkan diri saja bila diejek oleh pak long sebagai betina saja.Tetapi pak long tahu yang dicabarnya itu bukan mak ngah som.Kalau mak ngah som memanglah orang perempuan.Masakan dia sengaja mencabar orang perempuan seperti mak ngah som.

   Alang deraoh,cikgu madun,mak emon dan orang-orang kampung yang datang menziarah juga tahu bahawa pak long tidak mencabar mak ngah som.Pak long mencabar gangguan halus yang menguasai diri mak ngah som.Pada zahirnya memang lah mak ngah som yang berkata-kata,tetapi sebenarnya gangguan halus itu yang berkata-kata melalui suara mak ngah som.

   "Kalau awak betina,biar aku turun ke tanah."Ujar pak long lantas bangun turun ke tanah.

   Ketika ini bunyi lembaga besar berlari-lari di sekeliling rumah masih kedengaran.Sekali sekala dia melanggarkan tubuhnya ke dinding rumah menyebabkan rumah bergegar kuat.Tetapi setelah pak long turun ke tanah bunyi lembaga besar berlari keliling rumah itu pun berhenti.

   Lama dia turun ke tanah tidak ada apa yang didengar oleh mereka yang diatas rumah.Pada mulanya alang deraoh mahu juga turun ke tanah,tetapi cepat-cepat ditegah oleh cikgu madun.Dia tahu pak long boleh menghadapi masalah tersebut,kerana dia bukanlah dukun sebarangan di mentaus.

   Pernah cikgu madun mendengar cerita bagaimana pak long dapat menangkap perbuatan ilmu hitam orang yang mahu membalas dendam dengan mengikat bangkai katak dan dihanyutkan ke sungai.Akibat perbuatan ilmu hitam yang kejam itu seorang pemuda menderita seluruh badannya berkudis seperti hampir reput kulitnya.

   Pak long dipanggil setelah keadaan pemuda berkenaan bertambah teruk.Dengan membakar kemenyan dia mengasapkan segeluk air dengan asap kemenyan itu.Kemudian mencampakkan tujuh kuntun bunga berlainan warna ke dalam air geluk itu.Pak long memejam kan mata membaca serapahnya,lantas memasukkan limau yang dibungkus dengan kain putih serta diikat dengan benang tujuh warna kedalam air digeluk tersebut.Kemudian dia mengasapkan pada asap kemenyan sambil menghayunnya perlahan.

   Mulut pak long terkumat kamit membaca serapah.Sekaligus dicampakkan limau diikat benang tujuh warna itu kedalam geluk,kemudian direntapnya keatas kuat-kuat.

   "Rasakan,ini bom atom dari aku tau."Bentaknya macam mengherdik seseorang yang dibencinya.

   Ada juga orang yang geli hati dengan kelakuan pak long.Maklum saja dia membentak dengan mengatakan bom atom itu hanya sebutir limau yang telah meletup.Tentulah perbuatan pak long itu seolah-olah mempermainkan orang ramai lagi.

   Setelah limai itu dikeluarkan,dia lantas berdiri mengangkat tapak kakinya seolah-olah mahu memijak geluk.Tetapi dia tidak memijaknya.Sebaliknya melangkah geluk itu tiga kali.

   "Kau sudah kene bom aku,kau tak akan dapat lari ke mana."Pekiknya lantasnya melangkah geluk itu tiga kali.

   Selepas itu dia duduk tercungap-cungap bagaikan keletihan amat sangat.Seolah-olah dia berjalan terlalu jauh.Sekali ini dia terus menyelukkan tangannya ke dalam geluk.Semua orang terkejut kerana geluk yang kosong tadi hanya semata-mata berisi air tiba-tiba ada satu bungkusan kain putih sebesar penumbuk.

   Bungkusan itu pula dipenuhi oleh lumpur dan daun-daun rumput benta.Barulah orang terdiam kerana apa yang dilakukan oleh pak long itu belum pernah mereka lihat sebelum ini.Mereka mula mengkagumi pak long yang dianggapnya semacam berolok-olok pada mula-mulanya tadi.

   Sebaik saja dibuka bungkusan tersebut didapati bangkai seekor katak yang hampir reput diikat dengan benang tujuh warna.Pada bangkai itu dicucuk dengan tujuh batang jarum dari tengkorak kepala sampai ke bahagian punggung.Setelah barang-barang itu diperolehi,pak long mengasapkanbangkai katak itu dengan asap kemenyan.Kemudian baru lah jarum dicabutkan.Benang yang mengikat bangkai katak itu dipotong.

   Bangkai katak serta barang-barang yang digunakan sebagai ilmu hitam itu dibungkus baik-baik oleh pak long bersama limau yang diasapkannya tadi.Apa yang dibuatnya pada bangkai kata itu siapa pun tidak tahu.Tetapi pemuda yang menderita sakit seluruh tubuh nya berkudis hingga reput kulit itu beransur-ansur sembuh akhirnya.

   Sebab itu lah cikgu madun yakin pak long tidak akan menghadapi masalah apabila dia sudah turun ke tanah menghadai harimau akuan itu.Setengah jam kemudian pak long naik semula ke rumah.Dia kelihatan letih sambil menunjukkan kayu tasnya yang hancur.Sebaik saja naik kerumah lantas dia meminta segelas air sejuk untuk minum.

   "Insya allah,dia tak akan menganggu lagi."Beritahunya termengah-mengah dengan tidak menceritakan pengalamannya semasa turun ke tanah.

   Semasa dihantar balik ke mentaus oleh cikgu madun baru lah pak long mahu menceritakan peristiwa semasa dia turun ketanah.Itu pun setelah didesak oleh cikgu madun dan alang deraoh yang sama-sama menghantarnya balik ke mentaus.

   Sebaik saja dia sampai ditengah halaman,satu lembaga hitam sebesar kerbau jantan melompat didepannya.Memanglah lembaga itu seekor harimau besar dengan lambir lehernya mencecah ketanah.Pak long sudah bersedia dengan kayu tas ditangan.Tetapi harimau itu tidak merasa gerun langsung kepada kayu tas tersebut.

   Harimau itu seolah-olah mengajak pak long ke busut larangan di hujung halaman.Pak long menurut saja kemahuan harimau tersebut,yang kemudiannya menjelma menjadi orang tua bongkok dengan bahunya berbonggol.

   "Buat apa awak takutkan kami dengan kayu awak tu?"Orang tua itu mengejek.

   "Kalau tak takut cubalah dekat."Kata pak long mendengus marah.

   Pantas saja orang tua itu menghambur melompati kepala pak long,cepat-cepat pula pak long menyebat orang tua tersebut dengan kayu tas di tangannya.Setiap kali kayu tas itu singgah dibelakang orang tua berkenaan darah memercik.Tetapi orang tua itu tetap tertawa seolah-olah mengejek-ngejek pak long.

   Apabila birat tengah belakangnya disinggahi kayu tas pak long itu timbul,cepat-cepat pula dia menyapu dengan tapak tangan.Birat kemerah-merahan yang jelas dapat dilihat oleh pak long didalam gelap malam itu,sembuh tiba-tiba.Sehingga hancur kayu tas ditangan pak long,orang tua itu tetap tidak mengalah.Dia menerkam juga seperti seekor harimau yang ganas.

   "Baiklah,kalau awak tak takut kayu tas,aku boleh gunakan lain."Jerkah pak long menggertap bibir.

   Orang tua itu ketawa berdekah-dekah seolah-olah mempersendakan pak long.Dia melihat pak long seperti anak-anak masih berhingus yang berani mencuba kehebatan dirinya.Tetapi pak long sedar lawan yang didepannya bukanlah bermaksud jahat,sebaliknya mahu memaksa dia jangan mengubati mak ngah som.

   Pak long mula menekan ibu jarinya ketanah."Alif lam mim sat,kaf ha ya ain sat,ha mim ain sim kaf,ya syafi ya kafi ya wafi,berkat kaliamt allah aku pijak hati jantung kau,kullu nafsin za ikatil maut."Dia berdoa dengan penuh khusyuk menyerahkan diri kepada allah.

   Ketika ini orang tua itu terbatuk-batuk memegang dadanya.Dia termengah-mengah bersandar pada busut larangan yang tersergam dihujung halaman.Sedikit demi sedikit dia menjadi lemah tidak bertenaga.

   "Cukuplah..."Teriaknya melambaikan tangan kearah pak long."Kami tau,awak orang berani.Tapi berani saja belum cukup dengan bekal didada awak."Dia terbatuk-batuk juga sambil tersenyum mengerling kearah pak long.

   Pak long dapat merasakan bahawa orang tua itu boleh melepaskan diri dari cengkamannya kalau dia mahu.Tetapi sengaja orang tua itu tidak mahu bertindak lagi.Mungkin orang tua itu sudah dapat mengukur sejauh mana kebolehan pak long untuk menghadapi dirinya.

   "Ilmu awak bagus,tetapi bekal sebanyak itu belum cukup."Ujar orang tua itu lagi termengah-mengah menyandarkan belakangnya ke busut berkenaan.

   "Awak orang baik,kenapa ganggu orang?"Soal pak long menyedari bahawa lawannya bukanlah setanding dengan dirinya.

   Orang tua itu tertawa terbahak-bahak mendengar soalan pak long."Aku bukan ganggu som,aku cuma tengok-tengokkan dia."Jelas orang tua tersebut dihujung ketawanya."Kalau aku tak tengok-tengokkan dia,tak tau apa akan jadi pada dirinya.Hati nya sudah pasal menyesal sudah mencangkul busut ini menyebabkan lakinya mati.Sebab itu lah dia jadi macam tu."Beritahunya macam mengingatkan pak long.

   "Betulkah pasal dia cangkul busut ni?"Pak long mahu menguji.

   Orang tua itu mengangguk lemah.

   "Busut ini persumpahan tok galat.Selagi busut ini tegak disini,siapa pun tak boleh ganggu anak cucu tok galat."Katanya sayu seolah-olah menyesali yang berlaku ke atas diri ngah lajim.

   "Som tak tau,buat apalah awak susahkan dia?"Pak long menyindirnya.

   "Bukan menyusahkan dia.."Balas orang tua itu mencepak-cepak bibir."Dia susah hati,sebab itu kami tengok-tengokkan dia.Lajim pun sentiasa ada bersama dia."Katanya tersengih-sengih seolah-olah terasa dirinya disindir oleh pak long.

   "Kalau macam tu eloklah awak semua tinggalkan dia."Ujar pak long menasihatkan.

   "Eh,mana boleh.Kalau kami tak tengok-tengokkan entah macam mana pula dia merapik-rapik."Beritahu orang tua  itu selanjutnya.

   "Awak bohong."Pantas saja pak long menyindirnya.

   "Allah lebih baik menjadi pelindungnya dari awak.Lebih baik awak tinggalkan dia,biarlah allah saja yang memberi perlindungan kepadanya."Tegasnya mengingatkan orang tua itu.

   "Awak ni tak faham."Cakap orang tua itu mendengus memarahi pak long.

   "Aku ke ta faham,awak yang tak faham?"Pak long juga marah dengan sikap orang tua tersebut yang masih berkeras.

   "Awak memang berani,tapi bekal awak tak cukup."Ulangi orang tua itu lagi seolah-olah mengugut pak long.

   "Cukup tak cukup aku tak peduli.Aku memohon perlindungan allah.Kalau awak nak mulakan lagi,aku tak akan berundur."Pak long juga sama-sama mengugut.

   "Awak ni tak boleh bawa berunding..."Bentak orang tua itu mendengus marah.

   "Ini bukan pasal berunding tak berunding.Aku mahu awak tinggal kan som."Sahut pak long keras.

   "Kalau aku tak tengok-tengokkan,awak jamin som itu tak merepak-repek?"Orang tua itu mengejek.

   "Itu urusan kami,bukan urusan awak."Tegas pak long.

   Orang tua itu ketawa terkekeh-kekeh.Dia terketar-ketar bangun sambil berpaut dengan busut.Pak long nampak tubuh orang tua itu bersatu dengan busut yang tersergam itu.Lama-kelamaan dia hilang didalam busut tersebut.

   Setelah orang tua berkenaan hilang didalam busut,baru lah dia naik ke atas rumah.Pak long sendiri tidak dapat mengagak apakah yang dikehendaki oleh lembaga tersebut sehingga dia enggan meninggalkan mak ngah som.Apakah selagi busut persumpahan itu masih tersergam dihujung halaman,selagi itu lah dia terus mengawal diri mak ngah som.Pak long juga tidak dapat memberikan jawapannya.

   Saya terangguk angguk mendengar penerangan dari cerita yang didengar oleh alang deraoh dari mulut pak long sendiri.Cikgu madun juga mengakui cerita tersebut kerana mereka sama-sama menghantar pak long balik ke mentaus.

   "Kenapa tak suruh pak long itu teruskan mengubati mak ngah som?"Soal saya.Dari cerita alang deraoh itu dapat saya agakkan bahawa pak long juga berkebolehan sehingga dapat bertemu muka dengan harimau akuan yang orang tua itu.

   "Dia kata memadai dengan apa yang dilakukannya."Jelas cikgu madun.

   "Dia meminta kami menunggu sehingga enam bulan,kalau tak ada perubahan baru panggil dia semula."Dia menerangkan selanjutnya.

   "Apa jadi selepas enam bulan?"Desak saya lagi.

   Cikgu madun mengeluh perlahan.Dia memerhatikan debu merah berterbangan dari jalan merah berlopak-lopak itu.Kami cepat-cepat naikkan cermin supaya debu itu tidak masuk ke dalam kereta.Sekali sekala kereta terlambung-lambung juga tidak dapat dikawal.Terlambung-lambung pula rasanya tali perut bila guncangan kereta semakin kuat.

   "Kami tak pergi jumpa pak long tu selepas enam bulan."Beritahu alang deraoh setelah cikgu madun terdiam saja."Macam lupa pula kami pada dia,hingga dah dekat setahun baru kami ke mentaus mencari dia."Dia melanjutkan ceritanya.

   "Sampai-sampai saja kami,orang di situ kata dah dua minggu pak long meninggal dunia.."Keluh cikgu madun menerangkan.

   Orang-orang kampung memberitahu pak long meninggal dunia secara mengejut setelah menghidap sakit kepala.Dia mencakar-cakar lantai kerana tidak tertahan dengan sakit kepala yang dihidapinya.Kelakuannya seperti seekor kucing ketika mencakar-cakar ke lantai.

   Saya menggeleng-geleng mendengar cerita dari alang deraoh itu."Subhanallah.."Keluh saya perlahan.

   Cikgu madun mengerutkan dahi apabila alang deraoh menerangkan cerita yang terjadi pada pak long.Selama ini cikgu madun seolah-olah mahu menyembunyikan.Saya tidak menyahut.Hanya kepala diangguk-anggukkan dengan tidak mempunyai tujuan apa-apa.

   Semuanya dari saya,kerana dia bimbang saya akan menjadi gementar.Mungkin saya tidak sanggup untuk meneruskan usaha memulihkan mak ngah som,kalau sudah mendengar nasib mereka yang telah mencubanya.

   Lagipun pak long dukun besar pun menerima padah demikian kerana mencuba mengubati mak ngah som.Sebab itu lah cikgu madun tidak mahu menceritakan kepada saya.Bagaimana pun setelah alang deraoh sendiri yang menceritakannya,terpaksalah dia mengakui juga.

   "Kalau ustaz tak sanggup,kami pun taklah berkuat sangat.."Ujar cikgu madun lemah seolah-olah kesal dengan sikap alang deraoh menceritakan kejadian yang menimpa pak long dukun besar dari mentaus itu.

   "Tak apalah,kita cari wak samin dulu."Ujar saya selamba."Nanti,kita ceritakan pada dia masalah ni.Mana tau dapat pula dia ikhtiarkan."Saya memberi keyakinan kepada mereka berdua.

   Sehingga masuk waktu asar kami masih belum menenui kampung yang kami cari,walau pun sudah melepasi pekan endau.Hanya jalan berlopak-lopak yang sunyi itu saja kami tempuhi.Setelah melepasi belukar kecil yang dipenuhi pokok getah tua,barulah kami menemui sawah padi dan beberapa buah rumah papan.

   Kami singgah terlebih dulu disurau di sebatang anak sungai untuk menunaikan asar sebelum bertanya kepada orang-orang disitu dimana rumah wak samin yang kami cari.

(Bersambung...)

Sumber : Naskah Dari Tok Awang Ngah

No comments:

Post a Comment