Harimau Akuan
Bahagian 2 : Jelmaan Kerana Air Sungai Kerinci
Ketakutan mak ngah som semakin menjadi-jadi.Kemana saja dia berpaling bagaikan terpandang-pandang harimau terconggok didepan matanya,kadang kala dia meracau-racau sambil menunjuk-nunjuk ke bumbung memekik sekuat hati."Rimau...itu dia rimau,itu dia rimau."
Hampir dua minggu mak ngah som terbaring akibat menderita sakit terkejutkan harimau.Puas pula deraoh dan mak emon menunggu dia bergilir-gilir dengan minah dan suaminya sarip.Saelah pula tidak lah dapat mengikut suaminya ke berek sekolah kerana terpaksa menjaga emaknya sakit.
Bagi memulihkan mak ngah som,terpaksa juga lah ngah lajim membakar kemenyan pesaka dari arwah datuknya itu.Dia mengasapkan kemenyan itu pada busut dihujung halaman.Setelah diasapkan kemenyan tersebut,dia menyuruh supaya diusung mak ngah som kesitu.
Setelah dibaringkan mak ngah som pada busut berkenaan,mereka semua beredar jauh dari situ.Tidak lama kemudian mereka semua dapat melihat seekor harimau menjelma dari balik busut tersebut.Mula-mulanya dia menggaru-garukan lehernya pada busut itu.Selepas itu dia mengelilingi busut sambil ekornya dikibas-kibas ke badan mak ngah som.
Cikgu madun tidak ada ketika ngah lajim mengubati mak ngah som kerana balik ke rompin.Sebenarnya dia balik pun semata-mata mahu mencari dukun disana bagi memulihkan semangat mak ngah som yang terkejut itu.Tetapi apabila dia balik semula kerumah mertuanya,mak ngah som sudah baik pulih seperti sediakala.
"Itulah jangan diganggu anak cucu tok oii."Laung ngah lajim dari tangga semasa harimau itu berligar dikeliling busut."Anak cucu lemah semangat,jangan la tunjuk batang tubuh datuk."Katanya bergetar bagaikan terharu tatkala harimau itu mengibas-ngibaskan ekornya ke tubuh mak ngah som.
Setiap kali harimau itu berlegar di sekeliling busut langkahnya tidak sama macam harimau biasa.Apabila dia membelakang kelihatan seperti orang tua berjalan terbongkok-bongkok.Kira-kira tujuh kali dia berkeliling pada busut itu,tiba-tiba saja dia menghilang disebalik busut berkenaan.Setelah harimau itu tidak mejelma lagi barulah ngah lajim menyuruh mak ngah som dibawa ke naik kerumah.
Keesokannya mak ngah som sudah sembuh betul.Dia sudah boleh kesungai membasuh kain.Tidak lagi dia ketakutan melihat bayangan harimau.Bagai mana pun kerana terlalu marah dengan ngah lajim yang mempunyai harimau akuan,mak ngah som telah mencebak busut berkenaan dengan cangkul.Tetapi ternyata busut tersebut bukanlah ditinggikan oleh anai-anai.Tanahnya tidak lah lembut seperti disarangi oleh anai-anai,sebaliknya keras bagaikan tanah batu gerewel.
Setiap kali mak ngah som mencebak,mata cangkulnya sumbing sekali pun tanah busut itu bersepihan juga terkopak.
"Kak,jangan buat macam itu."Pekik deraoh yang ternampak kakaknya mencebak busut tersebut."Kalau nak runtuhkan juga tunggu lah bang ngah lajim dulu.Tanya dia dulu.."Katanya mendapatkan kakaknya.
Kebetulan deraoh sengaja datang mahu menemui ngah lajim.Dia sudah berjanji dengan ngah lajim untuk pergi mendekut burung wak-wak pada sebelah malamnya.Bila teringin makan burung wak-wak dia mengajak ngah lajim mendekut ditengah sawah.Memang ngah lajim tahu mengenai cara mendekut wak-wak.Tidak sampai setengah jam dia mendekut akan datang beribu-ribu ekor burung wak-wak terbang keawan lalu turun didepannya.Deraoh akan menangkapnya dengan menggunakan tangguk.
Tetapi deraoh tidak benarkan deraoh menangkap berlebihan.Dia akan menangkap tujuh lapan ekor saja seorang iaitu secukup-cukup dimakan sekeluarga.Burung wak-wak yang lain akan dilepaskan semula terbang kedalam gelap malam entah kemana.Sebab itu deraoh banyak sangat mengetahui mengenai latar belakang ngah lajim.
Apa lagi mereka memang berkawan sejak kecil lagi.Rumah tempat tinggal ngah lajim itu adalah rumah pusaka dari arwah datuknya lagi.Memang itu lah pesanan arwah datuknya supaya tanah pusaka tapak rumah itu mesti dijaga oleh anak cucunya yang sanggup saja.
"Jangan cangkul busut tu."Kata deraoh keras.
"Ini,tempat rimau kau tau.Aku tak mau berlakikan orang membela rimau."Bentak mak ngah som.
"Tak baik cakap macam tu."Deraoh memujuk.
Mak ngah som tidak menyahut.Dia terus mencebak busut yang tersergam disitu sejak arwah datuk ngah lajim hidup lagi dengan harapan tidak ada lagi harimau akuan datang menjelma kesitu.Mana lah tahu dihari lain harimau itu muncul lagi mengganggu anak cucunya pula.
Sebab itu lah mak ngah som mahu memusnahkan juga.Kalau sudah dimusnahkan tentu lah ngah lajim tidak dapat lagi menggunakan busut tersebut untuk memanggil harimau akuan yang dijaganya selama ini.
"Jangan dicangkul busut itu,kak."Suara deraoh keras melarang kakaknya.
Tetapi mak ngah som tidak peduli.Mungkin deraoh tidak merasai apa yang terbendung di jiwanya.Dia sendiri melihat harimau itu terlangut pada pangkin penanggah.Misainya bergerak-gerak sambil menyeringai taringnya.Alangkah gementarnya dia tatkala itu rasakan tidak boleh berjejak lagi.Kaki nya menjadi lemah tidak bertenaga langsung.
Tentu deraoh tidak mengetahuinya.Bagaimana kalau kejadian itu menimpa pula pada minah atau saelah.Bagaimana suami mereka akan memarahinya kerana ayah mereka memelihara harimau akuan.Sebab itu busut berkenaan mesti diruntuhkan juga.Biar lah harimau akuan ngah lajim lari disebabkan busut tempatnya dijamu makan sudah diruntuhkan.Biarlah ngah lajim memarahinya kerana perbuatannya itu.Dia sanggup dimarahi oleh ngah lajim.
"Jangan dicangkul kata aku."Cepat-cepat deraoh merampas cangkul dari tangan kakaknya.
"Kau nak bersubahat membela rimau?."Bentak mak ngah som marah dengan sikap adiknya.Hatinya mendongkol apabila deraoh merampas cangkul dari tangannya.
"Aku kata jangan,janganlah."Balas deraoh.
Tatkala inilah sarip menantu mak ngah som memanggil dari luar pagar.Mereka berdua berpaling kearah sarip,dilihatnya tiga orang pemuda membantu sarip menyorong basikal membawa ngah lajim dalam keadaan tidak bermaya.Terkejut mak ngah som melihat suaminya dipapah naik kerumah.
Setahunya ngah lajim ke baruh bersama sarip menerangkan tapak semaian.Dia sengaja tidak ikut sama,kerana memadailah ngah lajim dengan menantunya saja yang menerangkan.Bila tiba masa menyirak benih semaian,memang dia sendirilah akan menyirakkannya.Selalu nya bila musim turun ke sawah,memang ngah lajim cepat-cepat mencari tapak semaian terlebih dahulu.
Ngah lajim dibawa naik kerumah.Dia dibaringkan ditengah rumah tidak bergerak lagi.Nafasnya saja turun naik.
"Kenapa ayah kau sarip?"Tanya mak ngah som tidak keruan.
"Entah..."Sahut sari menggeleng kepala."Sama dengan aku menebas belukar dibaruh.Tiba-tiba saja dia jatuh sambil memegang kepalanya."Beritahu sarip menahan kesedihan.
"Dah aku cakap."Beritahu deraoh mengingatkan kakaknya."Jangan dicangkul busut tu,kakak degil.Sekarang pergi ambil kemenyan dia."Perintah deraoh.
Mak ngah som tidak menyahut.Dia mematuhi perintah adiknya mencari kemenyan kepunyaan ngah lajim yang tersimpan dalam bakul alat-alat berdukunnya.Sementara sarip,dan tiga orang pemuda yang dipanggilnya untuk membantu membawa ngah lajim balik lajak,seman dan badun terpinga-pinga tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh deraoh.
Mereka memerhatikan saja deraoh membakar kemenyan seperti yang dilakukan ngah lajim sebelum ini.Selepas membakar beberapa ketika deraoh berlari kehujung serambi memerhati kearah busut dihujung halaman.Sarip juga mengekori bapa saudara isterinya itu untuk memastikan apakah yang hendak dibuatnya.
Puas deraoh memerhatikan kearah busut itu,tetapi dia tidak melihat harimau akuan ngah lajim muncul.Masakan kemenyan yang sama dibakar,tetapi apabila dia membakarnya harimau akuan itu tidak muncul.Bagaimana kalau kemenyan itu dibakar oleh ngah lajim ianya segera muncul menggaru-garukan leher kebusut berkenaan.
Kegagalan deraoh memanggil harimau akuan ngah lajim,walau pun kemenyan yang sama telah dibakar menjadikan dia serba salah.Keadaan ngah lajim bertambah tenat kerana nafasnya saja kencang turun naik.Dia masih tidak sedar diri.
Dua hari ngah lajim menghidap penyakit tidak sedar diri dengan tidak semena-mena itu dia pun meninggal dunia.Semasa dimandikan mak ngah som dapat melihat kesan-kesan lebam pada kepala ngah lajim bagaikan dipukul dengan benda keras.Baru lah dia menyedari bahawa busut yang dipelihara oleh suaminya ni mempunyai rahsia tertentu.Sayangnya ngah lajim semasa hayatnya tidak mahu menceritakan rahsia tersebut kepadanya.
"Macam itu lah kisahnya ayah si saelah itu ustaz..."Beritahu deraoh atau dikenali sebagai alang deraoh kepada saya,bila diperkenalkan oleh cikgu madun.
Disebabkan saelah selalu mengadu sakit kepala,disamping marah-marah tidak bersebab,alang deraoh cuba juga mengunjungi dengan membawa ubat-ubat tradisional cara kampung.Ketika ini lah saya bertemu dengannya yang kebetulan dia juga sedang berada dirumah cikgu madun.
"Jadi,alang memang tahu mengenai ngah lajim ni?"Tanya saya.
Dia mengangguk kepala.Saelah sendiri memberitahu bahawa banyak rahsia mengenai ayahnya diketahui oleh alang deraoh.Mereka bukan saja berkawan sejak kecil,tetapi hubungan mereka semakin rapat setelah dewasa.Apa lagi dengan perkahwinan ngah lajim dengan mak ngah som kakak kandung alang deraoh.
Sebab itu lah pada alang deraoh diceritakan oleh ngah lajim bagaimana harimau akuan itu boleh menjadi peliharaannya.Dari arwah ngah lajim itu lah alang deraoh mendapat cerita bagaimana keadaan dikampungnya semasa tok aki ngah lajim masih hidup,terdapat gangguan harimau cinaku atau harimau kerinci.Setiap malam penduduk-penduduk diganggu ketakutan kerana binatang ternakan mereka dibaham oleh harimau cinaku atau harimau jadian ini.
Mereka juga mendapat tahu jelmaan harimau cinaku itu berasal dari orang biasa yang berasal dari kerinci disumatera.Dengan meminum air sungai kerinci di jambi,orang ini bertukar rupa menjadi seekor harimau.Ini lah cerita yang dihebahkan oleh orang-orang kampung mengenai gangguan harimau jadian itu.
Kejadian itu berlaku semasa ngah lajim masih belum lahir lagi kedunia.Tok akinya bernama galat masih lagi muda belia.Suatu malam tok galat bersama dua orang kawan-kawan sebaya dengannya telah mengintip harimau jadian yang menganggu binatang ternakan penduduk-penduduk kampung seperti lembu,kambing dan kerbau.
Mereka bertiga memanjat sebatang pokok berhampiran dengan rumah pak jibon yang dikatakan berasal dari jambi,sumatera.Sebab itu lah tok galat mengesyaki pak jibon ini lah yang mempunyai angkara menganggu penduduk-penduduk kampung dengan menjelma menjadi harimau jadian.Masa ini mereka disitu mengatakan harimau cinaku atau harimau kerinci saja.
Ketika ini bulan mengambang penuh.Mereka boleh melihat ditanah dari atas pokok tersebut.Disebabkan masa ini hutan belukar masih belum diteroka memanglah bunyi binatang buas boleh didengar dari balik-balik bukit.Apa lagi bila suasana malam semakin sepi.
"Kau dengar tu...?"Bakar menepuk bahu tok galat."Kau dengar bunyi ngauman harimau."Ujarnya sambil matanya melingas-lingas memerhatikan sama ada harimau jadian itu benar-benar keluar dari rumah pak jibon.
Tetapi mereka tidak nampak apa-apa dihalaman rumah.Tidak jauh dari rumah itu terdapat kandang lembu pak jibon.Selama ini memang lembu ternakan pak jibon tidak diganggu oleh harimau jadian seperti ternakan orang lain dikampung itu.Hal ini lah menyebabkan syak tok galat semakin kuat menuduh pak jibon bertanggungjawab menjelma menjadi harimau cinaku atau harimau kerinci itu.
"Kau dengar bunyi harimau?"Tanya sudin pula berbisik.
Tok galat mengangguk.Bukanlah dia seorang saja yang mendengar bunyi ngauman harimau tersebut.Kedua-dua orang kawannya bakar dan sudin juga sama-sama mendengarnya.Jadi,bukanlah bunyi ngauman itu mimpinya saja.
"Tapi bunyi itu jauh dibalik bukit."Ujar tok galat.
Mereka bertiga tetap tidak turun dari atas pokok tersebut.Dia memerhatikan pintu serambi rumah pak jibon,kerana mahu memastikan sama ada harimau melompat dari situ.Mereka mendengar cerita dari orang tua-tua,orang yang menjadi harimau jadi-jadian itu akan meneran ekor terlebih dahulu sebelum menjelma menjadi harimau.Oleh itu bagi memudahkannya meneran ekor,dia mesti mencangkung pada lubang lantai.Setelah ekornya terjulur dan mencecah ketanah dari lubang lantai itu barulah tubuhnya bertukar menjadi harimau.
Pertukaran bentuk tubuhnya menjadi harimau juga memakan masa yang agak lama.Kadang-kadang lebih setengah jam barulah dia dapat bertukar menjadi harimau.Semua yang diceritakan oleh orang tua-tua ini tetap bermain dalam kepala tok galak.Dia dan kawan-kawannya hanya mahu menyaksikan sendiri bagaimana pak jibon bertukar menjadi harimau,bukanlah mahu menagkap orang tua itu.
Hasratnya mahu melihat harimau jadi-jadian pak jibon mada malam itu tidak berhasil.Sehingga subuh mereka bertiga menunggunya,tetapi tidak juga ada harimau muncul ditengah halaman pak jibon.Seminggu berturut-turut mereka mengintip dirumah pak jibon,tetapi tidak kelihatan juga harimau jadi-jadian yang disebut kan oleh aki edot.
Dari aki edot ini lah tok galat dapat tahu mengenai harimau jadi-jadian.Malah aki edot sendiri kuat mengesyaki pak jibon itu lah yang menjelma menjadi harimau jadi-jadian kerana dia berasal dari kerinci di sumatera.
Dalam masa mereka bertiga mengintip dirumah pak jibon itu,kejadian lembu ditangkap harimau berlaku juga.Kali ini lembu dara kepunyaan aki edot sendiri yang ditangkap harimau.Kawasan kandang itu penuh dengan jejak kaki harimau,mana kala darah lembu juga bertitisan dari kandang itu hingga sampai ke belukar kubur.Titisan darah masih boleh diikuti sampai naik kebukit sebelah darat kampung,tetapi mereka tidak berani lagi mengikutinya.
Aki edot bersama orang-orang kampung datang menyerbu rumah pak jibon.Mereka semuanya menuduh pak jibon yang melakukan perbuatan menangkap binatang ternakan mereka.
"Kau yang menjadi puaka dalam kampung ni.."Jerit aki edot menyeranah pak jibon yang tercegat dimuka pintu rumahnya.
Tetapi ketua kampung ulung selamat menasihatkan mereka supaya tidak bertindak gila.Dia cuba mententeramkan orang-orang kampung yang mula naik berang terhadap pak jibon.
"Ini lah harimau kerinci."Bentak aki edot menuding jari kearah pak jibon.
"Tengok alur bibir bawah hidungnya itu tak ada,itu tandanya."Jelas aki edot terlalu marah kerana lembunya dibaham harimau.
"Jangan terburu-buru aki."Ulung selamat masih menyabarkan dia.
"Kalau lembu aki dibaham harimau jadian pak jibon,tentulah bangkai lembu tu ada disini."Jelasnya macam mempertahankan pak jibon.
Sementara pak jibon pula terkebil-kebil matanya didepan pintu.Dia tidak menjawap sepatah pun tuduhan yang dilemparkan oleh aki edot.Semasa kejadian ini berlaku tok galat ada bersama-sama dengan orang-orang kampung menyerbu rumah pak jibon.
Sebenarnya ulung selamat juga mengesyaki pak jibon,tetapi di bimbang kalau pak jibon membalas dendam.Sebab itu dia cuba mempertahankan pak jibon supaya orang tua itu tidak membalas dendam dengan sewenang-wenangnya.Kononnya,harimau jadian ini mudah bertindak membalas dendam dengan membunuh mangsanya.Orang tidak boleh menuduhnya melakukan pembunuhan kerana yang menyerang mangsanya adalah harimau.
Tindakan ulung selamat itu hanyalah untuk menyelamatkan penduduk-penduduk kampung supaya tidak menjadi mangsa dendam harimau jadian pak jibon.
"Kita bakar saja rumahnya..."
Tiba-tiba ada orang melaung dari kumpulan orang ramai yang menyerbu dihalaman rumah pak jibon.
"Sabar dulu.."Ulung selamat mendepa tangan dimuka tangga rumah pak jibon menghalang orang-orang kampung dari bertindak.
"Jangan tunggu lagi,sekarang kita bakar."Sahut yang lain pula menggesa supaya meneruskan langkah mereka membakar rumah pak jibon.
Ketika ini lah pak jibon lari kedalam rumah,kemudian keluar semula dengan parang terhunus."Sekarang,cuba bakar.Aku akan amuk korang semua."Dia memberi amaran kerana terlalu marah dengan sikap orang-orang kampung.
"Bangsat kau."Bentak aki elot bila dicabar oleh pak jibon.Lantas dia mara ketangga rumah mahu mendapatkan pak jibon.Tetapi segera dihalang oleh ulung selamat.
"Jangan buat macam ni aki."Ujar ulung selamat merayu."Kalau kita tuduh jibon tak usul periksa,nanti kita malu dibelakang hari."Dia mengingatkan aki edot yang sedang marah akibat dendam yang membara didada.
Siapa lah tidak marah macam aki edot kerana lembu dara kesayangannya dibaham harimau.Seisi kampung semuanya menuduh harimau jadi-jadianlah yang melakukannya.Hanya harimau jadi-jadian saja yang berani masuk ke tengah kampung merempuh kedalam kandang.Harimau biasa tidak akan berani masuk apa lagi bila sudah tercium bau manusia.Mereka semua percaya harimau biasa memang disumpahnya bertemu manusia,kerana tujuh hari lamanya akan mahal rezekinya.
Tidak ada orang yang akan menjadi harimau jadi-jadian selain pak jibon,kerana dia saja lah orang jambi yang datang dari kerinci.Tentu lah dia ada membawa bersamanya air sungai dari kerinci,dan apabila diminum air sungai tersebut akan menjelma lah dia menjadi seekor harimau.
"Aku tau dia lah rimau kerinci.."Aki edot masih berkeras menuduh pak jibon.
Namun pak jibon tetap tidak menyahut.Dia berdiri di muka pintu memegang parang terhunus.Selagi rumahnya tidak dibakar orang,selagi itu lah dia tidak akan mengamuk ke tengah halaman.Mak sijah isteri pak jibon yang sejak tadi terlangut ditingkap memerhatikan orang-orang kampung mengancam suaminya,lantas jalan kepintu serambi mendapatkan suaminya.
"Bawa bertenang aki."Kata mak sijah dari belakang suaminya.
"Laki kau tu rimau kerinci."Bentak aki edot mendongak pak jibon yang berdiri dikepala tangga di muka pintu.
"Kalau dia rimau dah dibahamnya kalian semua."Sahut mak sijah mempertahankan suaminya.
"Orang kerinci memang tak boleh percaya."Gerutu aki edot meludah ketanah menandakan hatinya tersangat marah."Orang kerinci semuanya jadi rimau,laki kau pun memang rimau kerinci."Katanya bertambah meradang kerana mak sijah cuba membantahnya.
"Sabar dulu,aki."Ulung selamat tetap bertahan didepan tangga menghalang aki edot supaya tidak menyerang pak jibon.Dia tahu orang sedang marah memang sukar mengawal perasaan.Apa saja boleh terjadi kalau tidak berusaha dileraikan.
Orang-orang kampung masih tidak berganjak dari tengah halaman rumah pak jibon.Mereka menunggu saja perintah dari aki edot mahu membakar rumah pak jibon mereka sanggup melakukannya.
Tetapi apa pula kata ulung selamat yang menjadi ketua kampung mereka selama ini.
Sebaliknya kalau dibiarkan pak jibon berleluasa dengan ilmuanya menjadi harimau jadian,maka ketenteraman kampung bertambah meruncing.Ternakan mereka akan menjadi sasaran.Sudah tentu lah lembu dan kambing dikandang habis menjadi mangsa harimau jadian itu.
"Rimau ni mesti dibunuh."Pekik aki edot.
Sekaligus pak jibon turun ke tanah.Dia berdiri ditengah halaman dengan memegang parang terhunus.
"Sekarang bunuh lah.."Katanya menggertap bibir kerana dicabar oleh aki edot."Kalau nak merasa penangan anak jambi,sila lah tuan-tuan."Pak jibon membuka buah langkah silatnya.Dia melompat kekiri kekanan laksana seekor harimau sedang melompat.
Orang yang melihatnya menjadi gerun kerana setiap gerak pak jibon memang sama dengan gerak harimau.Tok galat sendiri melihat bagaimana pak jibon membuka langkah ditengah halaman.Dia sendiri merasa gerun kerana setiap kali pak jibon melompat itu dilihatnya seolah-olah seekor harimau sedang berlegar-legar ditengah halaman.
"Siapa yang cuba nak bunuh aku,sila kan.."Jerkahnya bagaikan mencabar siapa saja.Dia terus membuka buah silatnya dengan kemas.
Aki edot segera melompat ketengah halaman.Hatinya tiba-tiba saja meruap akibat dicabar oleh pak jibon."Aku...aku,aku yang akan membunuh kau jibon.."Ujar aki edot mula mendekati pak jibon.Ketika ini pak jibon melihat aki edot sudah menekan ibu jari kakinya ketanah.
Orang ramai mula cemas dengan kesanggupan aki edot mahu menentang pak jibon.Mereka bimbang kalau ketika ini pak jibon menukarkan dirinya menjadi harimau,tentulah aki edot akan menjadi mangsa dibaham harimau.
"Tidak ada kuasa yang boleh mengatasi allah."Ujar aki edot tidak bergerak dari tempat berdirinya dengan ibu jari kakinya menekan ke tanah.
Pak jibon tidak melompat lagi.Dia termengah-mengah sambil memegang dadanya.Bagaimana pun dia tetap tersenyum mengerling ke arah aki edot.
"Aku tahu,awak menggunakan makrifat."Kata pak jibon.
"Tapi ilmu allah kalau digunakan dijalan yang tidak baik,tak juga memberi manafaat."Jelasnya masih mengurut-urut dada.
"Aku tak jual,kecuali hanya membeli."Beritahu aki edot.
"Hasbiallahiwatawakkal tuallahu wahuarabilarsyil azzim."Terdengar pak jibon mengucapkannya tiga kali.Kemudian dia melompat jauh sedikit dari aki edot."Awak salah orang edot.Awak nak memusuhi orang sesama islam."Dia meneruskan kata-katanya macam menyindir.
Ketika ini cepat-cepat ulung selamat meleraikan mereka berdua.Mak sijah juga melompat turun menghalang suaminya dari terus mencabar aki edot.
"Aku tak mau cari musuh dengan edot."Ujar pak jibon tersenyum."Tapi,aku mau dengan ilmu didadanya biarlah dia cari kebenaran."Jelasnya menyindir aki edot.
Orang-orang kampung mula menginsafi bahawa pak jibon bukanlah mencari musuh dengan mereka.Mereka sendiri mengakui kebenaran kata-kata pak jibon bahawa sekiranya benarlah orang tua itu menjadi harimau yang mengganas tentulah bangkai lembu aki edot ada dikandang lembunya.Tetapi titisan darah dari bangkai lembu aki edot itu ternyata menuju kearah hutan didarat kampung.
Malah sisa lembu yang sering menjadi mangsa harimau itu ditemui dihutan.Pak jibon juga menceritakan perkara harimah jadi-jadian yang ditakuti oleh mereka itu,bukanlah harimau jadian yang mereka pernah dengar ceritanya.Harimau jadian itu hanya sebahagaian badannya saja disebelah atas menjadi harimau kerana mengamalkan ilmu hitam.Harimau jadian seperti ini tidak akan membunuh atau membaham lembu-lembu yang menjadi mangsanya,tetapi mencurinya untuk tujuan dijual.
"Ilmu kebatinan terpulang kepada kita,kalau kita gunakan untuk kejahatan maka jahatlah jadinya,tetapi kita gunakan untuk kebaikan,akan memberi manafaat lah dia.."Ujar pak jibon merapati aki edot sambil menepuk-nepuk bahunya.
Aki edot juga menginsafi akan kesilapannya menuduh pak jibon."Sebaik-baik ilmu ialah bersabar.."Keluhnya bila dipeluk oleh pak jibon.
Tidak jadi lah dia orang yang diketahui oleh orang-orang kampung sebagai guru silat itu,mengadu kekuatan pada hari itu.Tok galat memang tahu bahawa aki edot memang guru silat yang ramai muridnya,tetapi dia tidak pernah mengetahui mengenai kebolehan pak jibon sebagai guru silat.Apabila pak jibon membuka langkah silat,memang dia dapat mengagak tentulah geraknya seakan-akan sama dengan gerak harimau.
Akhirnya orang-orang kampung tahu juga bahawa harimau yang mengganas itu bukanlah harimau jadian.Sebenarnya adalah harimau yang datang dari hutan.Mereka dapat tahu harimau tersebut beranak kecil,sebab itu lah dia mengganas ke dalam kampung.
"Memang aku boleh menjelma jadi harimau,tetapi bukanlah harimau jadian."Beritahu pak jibon secara jujur kepada penduduk-penduduk kampung."Hal ini sama juga macam menjelma menjadi helang.Semua nya boleh berlaku kalau diizinkan allah."Katanya mengingatkan.
Bagaimana pun dia tetap berpegang pada janjinya ia itu setiap ilmu kebatinan kalau digunakan kepada kebajikan maka ianya jadilah bermanafaat.Kalau digunakan kepada kejahatan,maka jadilah ianya jahat.
Dengan usaha pak jibon harimau yang ganas itu dapat ditangkap.Siapa pun tidak melihat pak jibon menjelma harimau,tetapi dia dapat menangkap harimau itu bagaikan menangkap seekor kambing saja.Pada mulanya dia tidak mahu membunuh harimau berkenaan.Ulung selamat sendiri meminta padanya supaya harimau tersebut dibunuh agar orang-orang kampung tidak takut lagi akan gangguan harimau.
Harimau itu akhirnya dibunuh oleh orang-orang kampung,kerana pak jibon tidak tergamak mahu membunuhnya.Selepas kejadian inilah tok galat bernekad untuk belajar dari pak jibon mengenai kekuatan dan kelemahan harimau.
(Bersambung...)
Sumber : Naskah Dari Tok Awang Ngah
No comments:
Post a Comment