Friday, 4 November 2016

Harimau Akuan

Bahagian 10 : Nasib Janda Bersuamikan Harimau


   Selepas menunaikan asar,kami ternampak empat lima orang budak berumur antara tujuh dan lapan tahun yang sedang bermain galah adang dihalaman sebuah rumah yang berhampiran surau tersebut.Cikgu madun segera turun sambil turun sambil memanggil budak-budak berkenaan.Tetapi mereka kelihatan takut-takut apabila terlihat kami bertiga turun dari surau.

   Bagaiaman pun seorang budak berkepala botak memberanikan diri mendapatkan kami ditangga surau.Dia tersengih-sengih bila dipanggil dekat oleh cikgu madun.

   "Siapa nama awak?"Tanya cikgu madun apabila dia hampir ke tangga surau.

   "Rasat..."Jawabnya pendek merenung muka cikgu madun.

   "Awak tau mana rumah wak samin?"Cikgu madun memegang bahu rasat.

   Dia tidak menjawap tetapi tersengih-sengih saja.Dia malu-malu bila berhadapan dengan kami.Peluh hangit mengalir dari tubuhnya yang tidak berbaju,sementara seluar lusuhnya kelihatan kepam.Seluar pendek itu menggelebeh sampai ke paras lutut.

   "Awak tau rumah wak samin?"Soal cikgu madun lagi.

   Dia hanya menggangguk.

   "Dimana..?"Cikgu madun menepuk-nepuk bahu rasat supaya anak kecil tidak malu-malu untuk menjawab.

   Dia menudingkan jarinya ke seberang sawah.

   "Itu rumahnya.."Saya pula mahu mempastikan arah yang ditunjukkan oleh rasat.Budak itu mengangguk.Hanya rumah sebuah itu saja lah diseberang sawah.

   Cikgu madun menyeluk poketnya memberikan itu rasat duit syiling lima puluh sen.Tetapi cepat-cepat rasat menolak."Ayah tak bagi,ayah tak bagi..."Katanya tegas.Dia kemudian mengajak kami mengikutinya keseberang sawah meniti titian buluh yang melintangi anak sungai berdekatan dengan surau.

   Rupanya rasat itu cucu wak samin.Apabila bertemu dengannya saya memperkenalkan diri saya iaitu cucu tok aji.Pada mulanya dia seolah-olah tidak berapa ingat mengenai tok aji.Tetapi apabila saya ceritakan mengenai tok aji yang sama-sama datang dari sumatera dengan nya,dan peristiwa dia dan tok aji membantu pak kidam menangkap harimau ketika di kota tinggi,cepat-cepat dia memeluk saya sambil mencium dahi saya berkali-kali.

   Tergelak besar wak samin bila saya tanyakan kepadanya mengenai harimau cinaku atau harimau jadian.Bagi mereka disumatera terutama didaerah jambi kisah harimau cinaku ini perkara biasa saja kepada mereka,tetapi bagi orang-orang disemenanjung mendengarnya sebagai cerita tahyul saja.Sebab itu lah wak samin tergelak besar,kerana pada sangkaannya saya mahu bertanya disebabkan merasakan cerita tersebut sebagai tahyol saja.

   Kebanyakan harimau cinaku ini boleh mencuri kerbau dan lembu orang-orang kampung.Mereka boleh menghilangkan diri dalam sekelip mata saja.Ada juga orang mengatakan bahawa cinaku ini hanya kepalanya saja bertukar menjadi harimau,sementara batang tubuhnya kekal sebagai manusia.

   "Wak tak dengar cerita macam tu."Beritahu wak samin apabila saya tanyakan mengenai cerita harimau cinaku yang kepalanya bertukar menjadi harimau sedangkan batang tubuhnya masih kekal seperti manusia biasa."Setahu wak,harimau cinaku ini berubah menjadi harimau seluruh tubuhnya."Jelasnya lagi.

   "Harimau cinaku ini banyak dijambi ye wak."Saya cuba mencuba.

   "Kebetulan saja."Ujarnya perlahan.

   "Dulu,orang kata orang-orang jambi yang jadi harimau cinaku."Katanya tersengih-sengih macam gelihati dengan tuduhan tersebut.

   "Adakah tok malik udoh itu menuntut ilmu harimau cinaku?"Tanya saya selanjutnya.

   Dia menggelengkan kepala.Malah wak samin tidak mahu langsung menyebut kisah tok malim udoh,sekadar dia memberitahu mengapa dia datang ke tanah melayu ini.Kalau lah tidak berlaku peristiwa yang menimpa gurunya,memang dia tidak akan meninggalkan kampung halamannya merantau demikian jauh.

   Sebelum datang ke endau,wak samin pernah juga berkahwin dengan seorang janda dikota tinggi.Perkahwinan itu tidak lama kerana isterinya lari meningalkan dia.Disebabkan malu dengan peristiwa isterinya meninggalkannya itu wak samin lari membawa diri ke endau.Demikian tok aji memberitahu saya mengenai kawannya wak samin yang sama-sama menumpang kapal barang dari dumai menyeberang ketanah melayu dan naik dijohor.

   Semasa berkahwin dengan janda dikota tinggi itu,tok aji ikut sama jadi pengapit wak samin.Ketika ini tok aji juga berkahwin di kota tinggi dan sudah mendapat seorang anak lelaki.

   Pada malam pertama hari perkahwinannya itu,janda tersebut lisun terkejut kerana wak samin tidur bersenar kuat.Bunyi senarnya seolah-olah bunyi harimau mendengkur.Kerana was-was dengan suaminya yang datang berdagang ke situ,lisun bertanya dari mana kampung halaman wak samin.

   "Abang dari palembang,tetapi menetap di bukit tinggi."Dia menjelaskan kepada isterinya.

   "Abang bukan dari jambi?"Tanya lisun lagi.

   "Tidak..."Beritahu wak samin kehairanan.Hatinya mula tertanya-tanya sama ada isterinya menduga yang bukan-bukan terhadap dirinya."Lisun syak yang tak baik terhadap diri abang?"Soalnya macam rasa tersinggung.

   "Saya hanya nak tau,kerana orang kata orang jambi suka jadi harimau."Jelas lisun secara jujur.Memang dia pernah mendengar dari orang tua-tua mengenai kesukaan orang-orang dari jambi mempelajari ilmu kebatinan menjelma menjadi harimau.Kebanyakan mereka pula menyalah gunakan kepandaian tersebut,dengan melakukan rompakan dan mencuri harta benda.

   "Bukan semua orang jambi begitu."Wak samin menerangkan kepada isterinya.

   Segala kebimbangan isterinya itu diceritakan oleh wak samin kepada tok aji.Bagaimana pun tok aji menasihatkan dia supaya bersabar saja,kerana niat baik tentu dibalas dengan baik juga.

   Wak samin sudah mahu melupakan ilmu-ilmu kebatinan yang dituntutnya selama di sumatera dulu.Sebab itu dia lebih suka orang memanggilnya wak samin saja kerana panggilan wak itu biasanya digunakan kepada orang-orang dari tanah jawa saja.Kalau orang-orang dari sumatera biasanya dipanggil pak tua sebagai menghormati orang yang lebih tua.

   Kerana mahu melupakan kisah-kisah lama disumatera ini lah dia sanggup mengembara jauh.Dia hanya mahu menyerahkan diri semata-mata kepada allah.Ilmu-ilmu kebatinan yang berlawanan dengan ajaran islam,mahu dibuang jauh-jauh dari ingatannya.

   Rupa-rupanya orang-orang disemenanjung ketika itu apabila berkahwin dengan orang-orang dari sumatera,bimbang kalau berkahwin dengan orang-orang dari jambi.Cerita ini merebak dari satu telinga ke satu telinga sehingga mereka benar-benar takut kepada orang-orang jambi.

   "Mereka takut harimau kerinci..."Ujar tok aji ketawa geli hati dengan nasib yang menimpa kawannya wak samin.

   Bagaimana pun tok aji dapat menyakinkan lisun bahawa cerita-cerita mengenai harimau kerinci,harimau cinaku atau harimau jadian itu hanya reka-rekaan saja bagi menakutkan orang-orang semenanjung dengan orang-orang jambi.Ketika ini ramai orang-orang semenanjung mengambil menantu dari mereka yang datang dari sumatera kerana dipercayai mempunyai ilmu agama yang tinggi.Untuk menyedarkan orang-orang seperti inilah ditimbulkan cerita-cerita seperti ini.

   Lisun pula tidaklah mengesyaki apa-apa lagi terhadap suaminya,malah dia semakin kasih akan wak samin.Dia sama-sama membantu wak samin pergi menoreh getah atau mengait kelapa.

   Satu ketika orang-orang kampung itu diganggu oleh harimau yang membaham kambing-kambing ternakan.Mereka takut dengan gangguan itu,kerana setiap masa ada saja mangsanya.Beberapa kali dibuat perangkap tetapi mereka tidak berjaya membunuh harimau tersebut.

   Akhirnya lembu ketua kampung sendiri dilarikan oleh harimau.Lembu jantan itu kesayangan ketua kampung pak kidam.Oleh itu pak kidam sanggup membayar sampai seratus ringgit kepada sesiapa yang sanggup membunuh harimau berkenaan.Pak kidam sendiri mengajak beberapa orang kampung mengikut jejak harimau itu masuk ke hutan dengan mengesan titisan darah lembu yang menjadi mangsanya.

   Diantara yang sama mengikut itu termasuklah tok aji dan wak samin sendiri.Sebagai orang dagang mereka terpaksalah mengambil hati ketua kampung supaya tidak dipandang serong.Mereka berdua sama-sama mengesan jejak harimau melarikan lembu itu.

   Mereka sampai juga kepada bangkai lembu yang sudah habis sebelah pehanya ditinggalkan pada sebatang pokok.Pak kidam pun menyuruh membuat pondok diatas pokok bagi menunggu kedatangan harimau mengulangi lagi bangkai lembu berkenaan.Pak kidam menunggu pada sasaran yang senang dia hendak membedil dengan senapangnya.Seolah-olah dia betul-betul berdendam dengan binatang tersebut.

   Tok aji pula sengaja memilih pondok tempat pak kidam menunggu dengan senapangnya.Sementara wak samin menunggu pada pondok yang satu lagi bersetentang dengan pondok pak kidam.

   Lama juga mereka menunggu sehingga hari malam,tetapi harimau itu tidak juga datang mengulangi mangsanya.Mereka tahu lambat laun harimau itu akan datang juga semula.Disebabkan terlalu lama menunggu,salah seorang yang bertahan dipondok wak samin iaitu jalit abang iparnya sendiri,terasa mahu buang air kecil.

   Dia malu mahu buang air dari atas pondok itu saja,maka terpaksalah dia turun ketanah.Ketika dia turun ini lah pak kidam ternampak dua biji mata mara ke situ.Pak kidam cepat-cepat menyuruh jalit naik segera ke pondoknya,tetapi belum sempat jalit naik semula kepondok,harimau itu sudah hampir benar.

   Serba salah pak kidam mahu menembak.Kalau tembakannya tidak tepat harimau itu pasti akan menerkam jalit.Harimau terluka tentu lebih ganas apabila ternampak mangsa.

   Disebabkan harimau itu sudah terlalu dekat,sedangkan jalit masih belum naik ke atas pondok tempat bertahan,maka wak samin pun terjun ke tanah mahu menyelamatkan abang iparnya iaitu abang kepada lisun.Sebaik saja harimau itu mahu menerkam,jalit nampak wak samin menekan ibu jari kakinya ke tanah menyebabkan harimau itu tidak dapat menerkam.

   "Kau nak tunjuk kuat ye."Herdik wak samin.

   Harimau itu seolah-olah meronta,tetapi badannya tidak dapat bergerak.Dia bagaikan terlekat pada tanah tidak boleh menghambur.Ngauman nya juga tidak keluar dari rahangnya,cuma rungutan kecil.Jalit nampak air liur harimau itu meleleh keluar seperti termakan cili padi.

   "Dengan orang kampung ni kau boleh tunjuk keras kepala,tapi dengan samin kau jangan cuba main-main"Wak samin mengertap bibir sambil berjalan mara mendapatkan harimau yang terkaku didepannya.

   Pak kidam yang memegang senapang tidak dapat melepaskan tembakan dia.Jarinya seolah-olah kaku tidak dapat memetik triger.Dia terpegun melihat wak samin yang tiba-tiba saja melompat ketanah sebaik saja abang iparnya terperangkap tidak sempat naik keatas pondok.

   "Biadap kau..."Tempiknya lantas menampar muka harimau itu sekuat hatinya.

   Harimau itu menjerit kesakitan tetapi kakinya tidak terlepas dari bumi.Kaki harimau itu seolah-olah diikat dengan simen ke tanah tidak boleh diangkat langsung.

   "Depan samin,kau jangan nak tunjuk garang."Dia menampar sebelah lagi muka harimau itu.

   Tok aji nampak apa yang dibuat oleh wak samin,kerana kedudukan pondok itu tidaklah jauh sangat.Cahaya samar-samar di pinggir hutan itu masih jelas boleh nampak dari jarak yang tidak berapa jauh.Tok aji hanya tersenyum melihat kehebatan kawannya,tidak lah terperanjat seperti pak kidam.Malah pak kidam sendiri terasa gementar apabila wak samin menampar muka harimau itu.

   Harimau itu merungut-rungut,tetapi tidak mengaum kuat.Air liurnya meleleh-leleh keluar.Jalit yang tercegat di bawah tempat mereka membuat pondok terkencing dalam seluar kerana terlalu takut.Dia melihat sendiri harimau sebesar lembu itu tercegat didepan adik iparnya.Kemudian adik iparnya menampar beberapa kali ke muka harimau itu,tetapi sedikit pun harimau itu tidak melawan.

   Beberapa minit kemudian tidak kedengaran lagi rungutan harimau.Wak samin berpaling ke belakang dan berjalan mendapatkan abang iparnya jalit yang terketar-ketar ketakutan.Apabila dia meninggalkan harimau berkenaan,tiba-tiba saja tubuh harimau itu berdebap jatuh.

   Barulah semua orang yang diatas pondok turun ke tanah.Mereka memeriksa harimau itu sama ada sudah mati atau masih hidup.Sebenarnya tidak siapa pun berani mendekati harimau itu apabila turun dari tanah.Hanya setelah tok aji merapati harimau tersebut sambil menyepak-nyepak punggungnya,baru lah orang lain berani.

   Setelah diperiksa didapati muka harimau lekuk seperti disinggahi pukulan yang terlalu kuat lagi berat berpikul-pikul.Harimau itu sudah mati terbujur dengan tulang mukanya remuk.Kalau diamati-amati bekas penampar wak samin yang singgah ke muka harimau itu seolah-olah bekas diterjah kayu balak yang besar.

   "Tak sangka awak boleh menentang harimau wak samin."Keluh pak kidam masih terasa gementar.

   Wak samin tidak menyahut.Dia sendiri menyesal kerana terlalu cepat menunjukkan kepandaiannya.Tetapi kalau dia terlambat,tentulah abang iparnya jalit menjadi mangsa pula.Harimau itu sudah bersedia untuk menerkam semasa dia terjun ke tanah.Sebab itu lah wak samin tidak bertangguh terjun ke tanah bagi menyelamatkan abang iparnya.

   Ketika ini dia tidak memikirkan apa orang kampung akan kata.Boleh jadi orang-orang kampung merasa kagum dengan tindakannya,dan boleh jadi juga mereka takut bila berhadapan dengannya.Itulah pertama kali wak samin menunjukkan kepandaiannya.Selama ini dia tidak pernah menunjukkan apa-apa kelebihan kepada masyarakat kampung.Malah tok aji sendiri tidak tahu tentang kebolehan wak samin menentang seekor harimau liar dihutan.

   "Terima kasihlah wak samin kerana sudah menolong orang-orang kampung."Kata pak kidam mengajak semua anak buah balik semula.

   Cerita wak samin menentang harimau dengan tidak bersenjata itu cepat saja merebak keseluruh kampung.Jalit juga memuji-muji adik iparnya itu,malah dia terasa terhutang nyawa kepada wak samin.Kalau lah tidak kerana wak samin cepat datang menolong sudah tentu dia menjadi mangsa harimau.

   Kegagahan wak samin menentang harimau ini menjadi bualan.Tidak lama kemudian tok aji pun membawa anak isterinya ke singapura,tinggal lah wak samin saja dikota tinggi.Ketika ini lisun sudah mula mengandung 3 bulan.Entah mengapa dalam masa mengandung ini lisun kuat mendesak wak samin ke hutan kerana dia mahu melihat harimau hidup-hidup.

   Wak samin tahu desakan lisun itu bukanlah kerana mendengar kegagahan dia menentang harimau dan menyelamatkan jalit,tetapi pembawaan orang mengandung.Hairan juga dia dengan pembawaan lisun itu.Kalau perkara lain dia memang bersedia untuk memenuhi kemahuannya,tetapi untuk melihat harimau yang hidup bukanlah perkara yang menjadi kebiasaan.

   "Saya hendak sangat melihat harimau hidup,bang."Desak lisun selepas makan tengah hari.

   "His,merepek aje kau ni lisun."Rungut wak samin.

   "Betul-betul ni bang,saya ingin sangat."Kata lisun lagi bagaikan tidak sabar.

   "Harimau ditengah hutan,macam mana nak bawa kau ke sana?"Wak samin cuba menasihati isterinya.

   "Cubalah abang tolong saya bawa jumpa harimau."Ujar lisun bersungguh-sungguh.

   Wak samin tahu permintaan lisun itu bukanlah berolok-olok.Memang pembawaan orang mengandung bermacam-macam.Tetapi dia hairan juga dengan pembawaan lisun yang ganjil dari orang lain.Belum pernah dia mendengar pembawaan perempuan mengandung mahu melihat harimau berjalan-jalan dan melompat-lompat.

   Harimau binatang ganas yang liar dihutan,bukanlah seperti kucing yang boleh dibuat permainan.Sebaliknya bila didesak oleh lisun,dia menjadi serba salah juga.Kalau tidak dipenuhi pembawaan orang mengandung,entah apa pula bencana.

   Puas memikirkan apa harus dibuat,wak samin mengadukan halnya kepada jalit.Selalu nya dia meminta buah fikiran tok aji,tetapi disebabkan tok aji tidak ada,dia pun bertanyakan pada jalit.

   "Kau dah gila.."Jalit memarahi adiknya lisun kerana membuat permintaan yang bukan-bukan."Apa yang kau minta samin lakukan ni cari nahas saja."Ujar jalit keras.

   "Saya tahu abang samin boleh jinakkan harimau.Nyawa abang pun abang samin yang selamatkan."Lisun tersinggung dengan sikap abangnya berkasar terhadap dirinya."Takkan dia tak boleh jinakkan harimau,kalau saya sendiri yang hendak tengok."Katanya macam mengejek.

   "Perkara sia-sia yang kau minta samin buat."Jerkah jalit masih hairan dengan permintaan adiknya  itu.

   Dia tahu lisun sudah mendengar cerita wak samin menentang harimau untuk menyelamatkan dirinya.Tetapi mengapa dia mendesak wak samin membawanya kehutan untuk melihat harimau hidup-hidup.Kalau mahu memakan daging binatang hutan seperti pelanduk,kijang,rusa atau napuh dia sendiri sanggup menemankan wak samin pergi memburu.

   Tetapi permintaan seperti lisun ini jarang benar didengar.Malah tidak pernah perempuan mengandung mahu mengidam melihat binatang buas hidup-hidup.Apa lagi harimau yang ganas dihutan.

   "Jangan lah kau minta yang bukan-bukan lisun."Ujar jalit menasihatinya.

   "Saya ingin sangat nak tengok..."Lisun macam merayu.

   "Tak bolehkah kau minta yang lain?"Soal jalit semakin hairan.

   "Entah lah bang,saya tak dapat nak minta yang lain."Jelasnya tegas.

   Wak samin terdiam dengan desakan isterinya itu.Dia semakin gelisah mengenangkan permintaan yang diluar dugaan nya itu.Bagaimana pun seorang perempuan mengandung mengidam mahu melihat harimau hidup-hidup pada hal tidak pernah didengarnya perempauan mengidam demikian.

   Tetapi pembawaan perempuan mengandung memang bermacam-macam.Ada perempuan yang suka menghisap putung rokok saja,ada yang suka makan sepah sirih,ada yang mahu makan asam,ada yang suka mandi air telaga dan bermacam-macam lagi.Wak samin menerima hakikat ini bahawa amalan yang dipelajarinya dari tok malim udoh inilah yang sedang menguji dia sekarang.

   Sedang jalit sendiri sudah tidak berupaya untuk menghalang kemahuan lisun.Apa lagi permintaan itu merupakan pembawaan perempuan mengandung.

   "Aku tak dapat nak cakaplah,samin."Keluh jalit memberi keputusan kerana tidak sanggup lagi menasihatkan lisun.

   "Tak apa lah bang jalit,moga-moga dia boleh lupakan juga."Sahut wak samin dengan satu harapan tergaris dihatinya.

   Tetapi sepeninggalan jalit itu,lisun tetap tidak mahu mengalah.Dia berkeras juga mahu mengajak wak samin ke hutan kerana hendak melihat sendiri harimau hidup-hidup.Puas wak samin memujuk dia berkeras juga mahu seperti yang dihajatinya.

   "Nanti kau terkejut kerana takut."Wak samin cuba berdalih.

   "Ah,itu dalih abang saja kerana tak mahu membawa saya ke hutan."Lisun mencemiknya.

   "Kalau lisun nak tengok harimau tak payah ke hutan."Beritahu wak samin perlahan."Abang boleh panggilkan harimau datang kesini."Jelasnya tersengih-sengih macam menduga perasaan lisun.

   "Abang sengaja nak takut-takutkan saya."Perempuan itu menjuihkan bibir mengejek."Kalau betul abang boleh panggilkan,panggillah..."Ujarnya mencabar wak samin.

   "Nanti lisun ketakutan."Wak samin masih menasihati dia.

   "Saya teringin nak tengok,takkan saya ketakutan."Sahutnya keras.

   "Kalau begitu,baiklah."Wak samin memberi jaminan.

   Sedapat-dapatnya dia tidak mahu melukakan hati isterinya.Dia tahu hidup berdagang dirantau orang mesti tahu membawa diri.Mesti selalu merendahkan diri kepada sesiapa saja.Apa lagi dengan isteri sendiri,dia mesti tunjukkan segala kasih-sayangnya.Apa saja permintaan isterinya mestilah dipenuhi juga.

   Dia menyuruh lisun naik keatas para rumah,iaitu lantai yang sengaja dibuat seperti siling rumah.

   "Lisun tunggulah disini,dan jangan kemana-mana."Katanya kepada isterinya dengan penuh kasih sayang.

   Setelah lisun naik keatas para rumah,wak samin pun mula membakar kemenyan.Dia duduk menghadap kemenyan didalam perasap sambil mulutnya kumat kamit membaca sesuatu.Lisun memerhatikan saja kelakuan suaminya,sementara matanya melingas-lingas dari arah manakah harimau yang dipanggil oleh suaminya akan masuk kedalam rumah.

   Lama lisun memerhatikan suaminya dia terperanjat bila wak samin membongkok sambil meneran sesuatu seperti laku orang mahu membuang air besar.Tiba-tiba ekor panjang keluar dari punggungnya.Setelah ekornya keluar,wak samin mula meniarap seperti kucing bangun dari tidur.

   Kemudian dia mengguling-gulingkan badannya.Mengeliat-ngeliat.Dari sinilah tubuhnya berubah sedikit demi sedikit menjadi harimau sepenuhnya.Apabila sudah menjadi harimau sepenuhnya,wak samin pun melompat dan berjalan dari serambi masuk ke induk rumah.Dia menganga-ngangakan mulut seperti terkuap-kuap kelaparan.Sekali sekala dia mengerling juga ke arah para rumah supaya isterinya dapat melihat dengan jelas rupa seekor harimau yang hidup.

   Kira-kira setengah jam dia menjelma menjadi harimau,wak samin pun memulihkan semula dirinya.Setelah dia kembali kepada asalnya,cepat-cepat dia mendapatkan isterinya diatas para.Tetapi,alangkah terkejutnya dia melihat lisun pengsan tidak sedarkan diri.

   Disebabkan dia sudah menduga lisun memang terkejut melihat harimau hidup maka tidaklah wak samin terkejut benar.Tetapi apa yang diketahui oleh wak samin ialah lisun terkejut kerana melihat suaminya sendiri bertukar menjadi harimau.

   Terpaksa pula wak samin memulihkan isterinya dari pengsan.Sebaik saja lisun sembuh dia terus meluru ke pintu lari dari rumahnya.Dia terus balik ke rumah emaknya dan enggan balik semula kepada suaminya.Puas dipujuk oleh jalit supaya lisun jangan ikutkan perasaan,namun dia tetap berdegil tidak mahu balik lagi mendapatkan wak samin.

   "Selam ni saya nikah dengan harimau."Dia merintih-rintih memberitahu keluarganya."Saya lihat sendiri samin bertukar menjadi harimau.Saya tak mahu lagi bersuamikan harimau."Katanya menangis hiba.

   "Perasaan kau saje lisun."Kata jalit memarahinya."Pasal kau berkeras mahu melihat harimau,sebab tu samin pun kau kata harimau."Jalit tidak percaya dakwaan adiknya wak samin bertukar menjadi harimau.

   "Saya tak mahu bersuamikan harimau."Lisun tersedu-sedu menangis ketakutan.

   "Jangan ikutkan perasaan lisun."Pujuk jalit mententeramkan adiknya.

   Emaknya juga menasihatkan lisun supaya balik kerumah.Masalah wak samin bertukar menjadi harimau bukanlah perkara yang boleh meruntuhkan rumah tangga mereka.Wak samin tidak pernah mengganggu sesiapa pun dengan kepandaiannya menukar dirinya menjadi harimau itu.

   Malah dia sudah menolong pak kidam dengan kebolehannya itu,disamping menyelamatkan nyawa jalit.Ilmu di dada menjadi salah kalau ianya disalah gunakan,tetapi kalau digunakan ke jalan kebaikan,ianya tetap memberi manafaat kepada semua orang.

   Setelah mendapat tahu isterinya tidak mahu lagi balik kepadanya,disamping menuduhnya seekor harimau,maka dengan diam-diam wak samin melarikan diri dari kampung tersebut.Dia malu untuk bertemu dengan emak mertunya dan juga sanak saudara lisun.Tidak pula diduganya lisun akan membuka rahsia tersebut kepada kaum keluarganya.

   Tiada siapa pun mengetahui kemana wak samin membawa dirinya.Sementara lisun pula sentiasa meracau-racau takut menjadi isteri harimau.Dia memekik-mekik kerana sudah terpedaya hingga menjadi isteri harimau.Penyakit lisun itu tidak dapat diberitahu kepada wak samin.Hingga akhirnya lisun meningal dunia akibat terkejut melihat suaminya menjadi harimau,siapa pun tidak dapat menyampaikan berita itu kepada wak samin.

   "Saya kira amalan menjadi harimau ini bertentangan dengan ajaran islam."Kata saya memerhatikan wak samin.

   Dia menganggukkan kepala.Kemudian menunduk macam memikirkan sesuatu."Iya,kerana menyamakan diri kita dengan binatang."Keluhnya perlahan.

   Saya tahu wak samin juga bukanlah sebarangan orang dari segi pengetahuan agama.Sebab itu saya tidak banyak bertanya mengenai perkara lain selain dari amalan dirinya yang boleh menukarkan sifat tubuh nya kepada harimau.

   "Ustaz tak takutkan wak?"Katanya macam menyindir.

   "Tidak."Sahut saya menggelengkan kepala."Saya hanya takut kepada allah."Beritahu saya tegas.

   "Alhamdulillah."Dia tersenyum menatap muka saya.

   Ketika ini saya membacakan ayat kursi didalam hati hingga sampai 313 kali.Tetapi saya lihat wak samin tetap tidak menghadapi apa-apa perubahan.Kemudian dia tersenyum lagi sambil menepuk peha saya.

   "Wak tak ada apa-apa,ustaz."Katanya lagi.Saya merasa diri saya disindir,tetapi saya sedar wak samin juga tahu saya sedang mengujinya."Wak tak ada amalkan ajaran yang berlawanan dengan aqidah islam.Hanya kepada allah,wak mohon pertolongan dan perlindungan."Jelasnya terangguk-angguk.

   Saya percaya dengan kata-kata wak samin itu.Memang tok aji sudah pesankan kepada saya mengenai diri wak samin itu,dia tidak lagi mengamalkan pertapaan yang membolehkan seseorang itu menukarkan dirinya menjelma menjadi haiwan.Sudah tentulah menjadikan diri kepada haiwan itu tidak dikehendaki oleh islam.

   Bagaimana pun kisah wak samin di kota tinggi itu tidaklah diketahui oleh cikgu madun dan alang deraoh.Mereka juga tidak juga tahu mengenai sindiran wak samin itu.Sedapat-dapatnya wak samin mahu menyembunyikan peristiwa tersebut dari mereka berdua.

   Beberapa kali dia menyebut nama tok aji,kerana selepas berpisah di kota tinggi mereka tidak pernah lagi bertemu.Saya hanya mengenali diri wak samin dari tok aji saja.Kebetulan kerana peristiwa yang menimpa mak ngah som ini lah menguatkan hati saya mencari wak samin.Itu pun saya tidak tahu sama ada saya mencari seorang yang masih hidup atau sudah tiada lagi.

   Mujurlah wak samin yang saya temui itu masih gagah,walau pun umurnya sudah hampir seratus tahun.Dia juga masih dapat mengingat dengan baik mengenai pertemuan dengan tok aji,dan kemudian sama-sama merantau ke tanah melayu.Wak samin dapat mengecam saya kerana wajah saya ada iras-iras dengan tok aji semasa mudanya.Sebab itu lah dia cepat percaya pengakuan saya bila memperkenalkan diri kepadanya.

   "Rumah dekat surau tu,rumah anak perempuan wak."Jelasnya sambil memerhati rasat cucunya duduk di kepala tangga."Anak yang bongsu sekali,kahwin dengan orang kampung juga.Jali nama menantu wak tu."Katanya tersengih-sengih kerana terlalu suka dapat bertemu saya cucu kawannya yang berpisah langsung tidak dapat ditemui lagi.

   Alang deraoh yang sejak tadi diam tidak berkata apa-apa kelihatan gelisah saja.Dia tertunggu-tunggu saya memulakan kata mengenai penyakit mak ngah som.Tetapi sehingga kopi sudah diangkat keluar oleh isteri wak samin,embah jora sepatah kata pun mengenai mak ngah som tidak saya sebutkan.

   "Jauh sangat anak-anak semua datang.."Wak samin menghirup kopi seolah-olah membuka jalan kepada kami menceritakan hajat kedatangan menemui dia.

   Saya tersengih-sengih lantas menepuk peha cikgu madun.Sengaja saya tidak mahu memulakannya,kerana lebih baik serahkan perkara itu kepada cikgu madun saja.Lagi pun mak ngah som ibu mertuanya,tentulah dia lebih berhak menyatakan hajat tersebut pada wak samin.

   Sekali lagi wak samin tergelak besar bila menyatakan hajat kedatangan kami meminta dia mengubati mak ngah som.

   "Orangnya kami tak bawa hari ini,pasal bimbang tak berjumpa rumah wak.."Ujar cikgu madun.Memang saya tidak mahu membawa mak ngah som dan saelah datang bersama,kerana bimbang wak samin yang dicari itu sudah tidak ada lagi.

(Bersambung...)

Sumber : Naskah Dari Tok Awang Ngah

No comments:

Post a Comment