Friday, 4 November 2016

Harimau Akuan

Bahagian 5 : Lembaga Hitam Dipokok Mengkudu


   Susah hendak menerangkan bagaimana seseorang itu boleh mudarat disebabkan ilmu kebatinan datuk nenek moyangnya dahulu.Seperti yang diterangkan oleh alang deraoh ilmu yang diamalkan oleh tok galat dulu bukanlah untuk tujuan jahat.Tok galat sentiasa  menggunakan ilmunya untuk kebaikan.

   Tetapi apa yang tidak disedari oleh alang deraoh ialah meminta dari harimau akuan tok galat itu,walau pun tujuannya untuk berbakti kepada masyarakat,tetapi akidah seseorang boleh terpesong.Masa hayatnya memang tok galat memberi kebajikan,bagaimanapun setelah dia meninggal dunia siapakah yang akan mengendalikan harimau akuan tersebut?.

   Apabila harimau akuan itu tidak dijaga dengan sempurna maka sudah tentulah ianya memberikan mudarat kepada keturunan tok galat sendiri.Ini lah yang dihadapi oleh saelah.Kalau saelah mahu menjaganya pula sudah tentulah saelah akan menjadi hamba kepada harimau akuan itu pula.Dia mesti memenuhi kemahuan harimau akuan berkenaan dengan menyediakan ayam panggang separuh mentah setiap kali bulan penuh.

   "Mak ngah memang dengar harimau itu bercakap dengan mak ngah.."Beritahu mak ngah som tersengih-sengih menerangkan tentang malam dia terserempak dengan harimau di penanggah.Memang dia boleh mengingatkan kejadian tersebut,tetapi perangainya seolah-olah seperti tidak siuman.

   Keadaan itu bukanlah disebabkan dia melatah,sebaliknya terjadi setelah dia mencebak busut dihujung halaman dengan cangkul.Kadang kala dia cuba mengawal dirinya supaya tidak tersengih-sengih tetapi tidak berjaya.Malah dia sendiri tahu bahawa dirinya sedang tersengih-sengih itu,anehnya dia tidak dapat melawan kuasa ynag mendorongkan dia tersengih-sengih.

   "Dulu surat yasin pun mak ngah kencingkan,ustaz."Katanya macam menyesali apa yang telah berlaku.

   "Tetapi sejak ustaz datang kesini mengubatkan,bolehlah mak ngah dapat sikit-sikit sembahyang."Jelasnya masih juga tersengih-sengih.Sekali sekala dia menggelengkan kepala sambil memekik bagaikan harimau sedang menderam.

   "Banyak berubah sekarang dia ni ustaz."Alang deraoh memberitahu.

   Sebelum itu jelas alang deraoh memang mak ngah som suka bermenung seorang diri sambil tersengih-sengih.Kemudian dia mencakar-cakar lantai atau dinding bagaikan seekor harimau.Atau dia memekik kuat laksana ngauman harimau.Semakin dibawa berubat,semakin bertambah pasang sakitnya.

   Bila ditegur oleh alang deraoh dia akan cepat-cepat mengambil al-quran.Dia memijak-mijak al-quran disamping mulutnya becok memaki-maki nama allah.Kelakuannya benar-benar seperti orang tidak siuman,tetapi mak ngah som sedar apa yang dilakukannya.Cuma dirinya saja tidak dapat mengawal perbuatan itu yang dirasakannya didorong oleh satu kuasa lain.

   "Puas mak ngah cuba melawan supaya jangan lakukan."Ujar mak ngah som menunduk.

   "Tapi mak ngah tak dapat mengawal diri yang didorong oleh satu kuasa yang mak ngah sendiri tak tahu.."Dia tersengih-sengih cuba melawan kuasa yang masih menguasai dirinya itu.

   Tentu lah aneh bagi mereka yang tidak pernah melihat kejadian seperti ini.Kalau mahu dikatakan mak ngah som tidak siuman,bagaimana dia boleh mengingati semua kejadian yang menimpa keatas dirinya.Dia sendiri mengaku bahawa dia tidak dapat mengawal dirinya untuk melawan kuasa yang mendorongkan perbuatannya itu.

   "Insya allah teruskan buat apa saya katakan."Sahut saya menguatkan semangatnya.

   Mungkin disebabkan mak ngah som tidak menghiraukan sangat harimau akuan tok galat itu,menyebabkan dia diganggu demikian.Seboleh-bolehnya harimau akuan itu cuba memesongkan akidah mak ngah som sendiri,supaya memaki-maki allah.Diri mak ngah som juga dikawal supaya mengikut dorongan kuasanya untuk mengencingkan surat yasin dan memijak-mijak al-quran.

   Itulah yang saya katakan ilmu yang bukan dari allah,walau pun pada mulanya bertujuan baik,tetapi akhirnya tetap juga menentang allah.

   Sebenarnya perubahan pada diri mak ngah som belum lah banyak berubah apabila saya datang menemuinya sebulan selepas itu.Bagaimana pun dia tidak lah lagi memijak-mijak al-quran dan memaki-maki allah swt.Dia sudah mula mahu melakukan solat setiap kali masuk lima waktunya.

   Perubahan ini amat jelas selepas minah dan saelah melakukan solat sunat tahjud berturut-turut malam.Sejak itu penyakit saelah juga tidaklah selalu lagi menyerangnya.Bagaimana pun saya menyuruh dia jangan berhentikan dari melakukan solat sunat tahjud tiap-tiap malam.

   Disamping itu alang deraoh,cikgu madun dan sarip juga ikut sama melakukannya.Tetapi mereka tidak lah dapat melakukan tiap-tiap malam,bagaimana pun memadailah sebagai membantu minah dan saelah.

   Untuk memastikan gangguan ilmu kebatinan turunan dari tok galat ini,terpaksalah mencari punca sebenarnya.Hanya setelah mengetahui punca sebenar saja lah baru dapat ianya dihindarkan dari manusia.Apa yang hendak saya lakukan bukanlah disebabkan harimau akuan itu jahat,tetapi kalau dibiarkan boleh merosakkan akidah seseorang.

   Alang deraoh sendiri sudah menerangkan bahawa harimau akuan tok galat itu bukanlah jahat,malah dia sudah banyak menolong orang-orang kampung.Tetapi dia boleh mengganggu apabila dirinya tidak di jaga lagi.Ini lah yang terjadi kepada mak ngah som dan saelah.

   "Saya hanya sekali saja melihat harimau akuan itu."Ujar alang deraoh menerangkan.

   "Rupanya macam harimau betul,dan dia menggaru-garukan lehernya pada busut dihujung halaman tu."Katanya lagi.

   Ketika ini dia sendiri meminta dari ngah lajim untuk melihat.Oleh itu apabila bulan penuh,ngah lajim seperti biasa meletakkan ayam panggang separuh mentah diatas busut.Masa itu lah dia mengajak alang deraoh melihatnya dari celah tingkap.Dapat lah alang deraoh melihat dari samar-samar sinaran bulan bentuk lembaga harimau berkenaan.

   Tetapi semasa dia diubat tatkala patah pinggang,dia tidak melihat harimau akuan berkenaan.Cuma terasa nafas dan misai kerasnya dalam gelap tersebut.Malah ketika tubuhnya ditolak pun dia tidak terasa pun kuku harimau mencengkamnya.

   Mengenai harimau akuan ini memang saya sudah mendengar dari arwah datuk saya,tok aji.Saya juga pernah diingatkan mengenai kawannya yang sama datang dari tanah sumatera,memang mengetahui ilmu harimau akaun ini.Dia pernah memberitahu saya beberapa tahun dulu bahawa kawannya itu tinggal di kota tinggi.

   Oleh itu saya berharap akan dapat menemui kawan tok aji.Mungkin darinya saya boleh meminta bantuan untuk mengatasi masalah penyakit mak ngah som.Memang lah benar pertolongan hanya diminta dari allah saja,tetapi kita mesti juga tahu bagaimana cara memohonnya.

   "Tapi,jaeman memang pernah melihatnya dekat-dekat."Kata alang deraoh tersenyum mengingatkan peristiwa adik iparnya itu bertemu dengan harimau akuan.

   Tentulah jaeman lebih jelas dapat melihat harimau akuan itu dari alang deraoh sendiri.Jaeman terserempak dengan harimau tersebut sama seperti mak ngah som terserempak hanya beberapa ela saja jaraknya.Menggeletar tubuh jaeman sampai lidahnya kelu tidak dapat bercakap sepatah apa pun selama tiga hari.

   Pada mulanya jaeman selalu menyindir alang deraoh kerana terlalu fanatik dengan harimau akuan tok galat.Dia sering dingatkan oleh alang deraoh jangan menghina-hina harimau akuan tok galat itu.Alang deraoh mengingatkan jaeman disebabkan adik iparnya itu tidak percaya mengenai harimau akuan.

   "Abang alang jangan jadi bodoh."Kata jaeman menyindir dia."Harimau tu binatang,akalnya lebih rendah dari manusia.Jangan kita harap dia yang menyembuhkan penyakit."Jelas nya kerana alang deraoh selalu memberitahu bahawa jasa harimau tok galat itulah pinggangnya sembuh semula.

   Jaeman merasa tersinggung bila alang deraoh menyuruh membawa pulut kuning sepinggan dan telur rebus sebiji kekubur tok galat,bila dia sembuh dari demam kura.Semasa jaeman tergigil-gigil menahan sejuk disebabkan demam kura,alang deraoh meminta ngah lajim mengubatinya.

   Tetapi jaeman tahu dia sembuh bukanlah disebabkan air tawar jampi dari ngah lajim.Sebaliknya cikgu madun yang ketika itu masih belum berkahwin dengan saelah memberikan pil kuning yang diambil dari hospital dibandar.Setelah menelan pil kuning itu demam kuranya sembuh.

   "Kau jangan cakap besar,jaeman."Kata alang deraoh menyindir dia pula."Bukan susah sangat kau bawa saja pulut kuning sepinggan telur sebiji tu."Ujarnya mengingatkan jaeman betapa besarnya jasa harimau akuan tok galat yang sudah menyembuhkan penyakitnya.

   "Siapa nak makan?"Jaeman masih berdegil tidak mahu melakukan apa yang disuruh oleh alang deraoh abang iparnya itu."Tok galat tu nak makan atau harimau tok galat tu nak makan?"Ujarnya macam mengejek.

   "Kalau kau tak mahu hantar,jangan kata macam tu."Mak emon pula mencelah.Dia juga tersinggung dengan sikap adiknya bertelagah dengan suaminya itu.Jaeman bukan tidak tahu selama lebih enam bulan alang deraoh terlantar dihospital,harimau akuan tok galat itu lah mengubatinya.

   Semasa ngah lajim membakar kemenyan pada malam mengubati alang deraoh itu,jaeman sendiri ada bersama.Cuma tubuh lembaga harimau itu saja yang tidak dilihat oleh jaeman,tetapi bunyi nafasnya serta bunyi lidahnya menjilat belakang alang deraoh jelas dapat didengar.Setelah harimau akuan itu pergi kesan air liurnya yang berlendir itu masih ada pada kulit belakang alang deraoh.

   Mengapa pula jaeman masih mahu berbantah-bantah dengan alang deraoh?.Kalau sekiranya jaeman tidak mampu membeli pulut,dia sendiri sanggup membelikannya.Dia boleh ambilkan telur itik dari rebannya untuk menolong jaeman.Tetapi,janganlah jaeman sampai terlanjur cakap menidakkan pertolongan harimau akuan tok galat kepada penduduk-penduduk kampung selama ini.

   Semenjak arwah ayah ngah lajim lagi orang-orang kampung sering mendapatkan pertolongannya apabila dihinggapi sakit tenat.Pak ulin ayah ngah lajim itu bukan saja mendapat bantuan harimau akuan pesaka tok galat,tetapi dia juga seorang dukun besar.Sebab itu lah pak ulin dijemput orang untuk mengubati pesakit sampai kesimpang durian di negeri sembilan,di pelangai dan di mancis.Malah orang dari chenor di temerloh pun ada menjemputnya.Kadang kala orang dari lacang juga datang menjemput pak ulin,walau pun terpaksa bermotosikal berbatu-batu.

   Tetapi orang-orang dikampungnya tahu bahawa pak ulin memang mendapat bantuan dari harimau akuan peninggalan arwah ayahnya itu.Apabila sampai kepada ngah lajim dia tidaklah mewarisi ilmu dukun ayahnya pak ulin,sebaliknya hanya mengharapkan bantuan dari harimau akuan tok galat itu saja.

   Bagaimana pula jaeman yang dibesarkan di kampung tersebut tidak mengakui akan pertolongan ngah lajim selama ini?.Apakah jaeman terpengaruh dengan cikgu madun yang mengajar dikampungnya?.Mak emon tahu cikgu madun berkawan rapat dengan jaeman disebabkan cikgu madun tidak ada kenalan yang sebaya dengannya disitu.Lagi pun sekolah kecil yang terpencil dikampung itu,tidak ramai guru.Hanya tiga orang saja guru yang mengajar disitu.

   "Sakit kau dah sembuh,aku ingat elok lah kau bayar pengeras dikubur tok galat itu."Alang deraoh masih mengharap jaeman tidak menghampakan kemahuannya.Membayar pengeras kepada harimau akuan tok galat tidak sama dengan membayar pengeras kepada seorang dukun seperti arwah pak ulin.Pengeras yang dibayar dikubur tok galat itu hanya sebagai tanda berterima kasih kepada pertolongan yang telah diberikannya.

   Itu saja harapan alang deraoh.Bukan lah tujuannya untuk memuja-muja sangat arwah tok galat itu.

   "Aku tak mahu buat macam tu."Tegas jaeman.Dia tidak peduli sama ada hati abang iparnya tersinggung atau tidak."Tok galat tu bukannya wali.."Katanya membantah kemahuan alang deraoh.

   "Tak baik kau cakap besar,nanti dihalang oleh harimau tok galat,padan muka kau."Alang deraoh marah dengan sikap adik iparnya.

   "Ah,karut aje tu abang alang."Jaeman mencebik bibir."Tok galat dah mati,tak kan dia nak bangkit dari kuburnya."Katanya keras bercampur geram dengan sikap alang deraoh yang terlalu fanatik terhadap harimau akuan tok galat itu.

   "Suka hati kau la.."Rungut alang deraoh memasamkan muka.

   "Kalau jadi apa-apa pada diri kau,jangan menyesal."Katanya marah.

   Jaeman memang tidak gentar kalau dihalang oleh harimau akuan tok galat yang ditakuti oleh alang deraoh.Kalau lah harimau akuan itu dipercayai tidak jahat,masa kan dia mengganggu orang.Masakan dia marah kalau orang tidak mempercayai akan kekuasaannya.Bagaimakah dikatakan baik,kalau dia marah apabila orang tidak mahu mempercayai kekuasaannya?.

   Sejak lama lagi jaeman memang tidak berapa berpegang kuat seperti kepercayaan abang iparnya alang deraoh mengenai harimau akuan tok galat itu.Dia sering kekubur bila musim langsat berbuah,kerana pohon-pohon langsat wakaf dikubur itu siapa pun boleh mengambil buahnya.Tidak ada apa-apa keganjilan pada kubur tok galat yang dikatakan keramat oleh orang-orang kampungnya.

   Bukan saja pada alang deraoh,malah kepada kawan-kawannya yang lain pun jaeman selalu berkata dia tidak percaya akan kekuasaan harimau tok galat.

   "Aku sakit bukan diubat oleh harimau,tetapi aku makan pil yang diberi oleh cikgu madun."Dia mengejek-ngejek didepan kakaknya mak emon.

   Mengapa jaeman berfikiran demikian alang deraoh tidak tahu.Kalau mahu dikatakan dipengaruhi oleh cikgu madun,tidak pernah pula cikgu madun memperkecilkan harimau akuan tok galat.Malah cikgu madun sendiri mengakui akan kebolehan ngah lajim sebagai seorang dukun keturunan dari tok galat.

   Satu pagi,jaeman buang air ke sungai.Memang ke sungai lah tempat orang-orang kampung buang air atau pun mandi.Pagi itu embun turun menyebabkan kabus tebal menyelaputi pohon-pohon.Didalam kabus itu lah jaeman berlari-lari anak menuju kesungai untuk membuang air besar.

   Sejuk terasa sampai ketulang sum-sum.Sebab itu jaeman berselubung dengan kain sarung menuju ke sungai.Tanah baru terang samar-samar kerana pagi masih awal benar.Orang-orang kampung pun masih belum bangun untuk kesungai.Mereka yang bersembahyang subuh pun hanya mengambil wudhuk dengan air didalam tempayan didapur saja.

   Kalau ada pun yang bersembahyang disurau hanya beberapa orang yang tinggal dibaruh kampung kerana mereka dekat dengan sungai.Jaeman berlari merempuh belukar mengkudu.Sebaik sampai saja disungai dia terus membuang air besar.Selepas itu dia terus mandi saja.

   Disebabkan dia memang tidak pernah sembahyang subuh,maka tidak lah penting sangat dia mahu tergesa-gesa berkejar balik untuk sembahyang subuh.Entah mengapa pagi itu perutnya memulas-mulas menyebabkan dia terpaksa berkejar kesungai.Walau pun sejuk dingin pagi itu,namun jaeman mandi juga.

   Tergigil-gigil dia menahan sejuk kerana mandi dikala kabus tebal yang sememangnya mengeluarkan wap dingin.Ketika dia naik ke tebing sungai kabus tebal.Tanah pun masih terang-terang samar.Jaeman terus berjalan balik dengan berselubung kain sarung.

   Apabila sampai dibelukar mengkudu,hati jaeman berdebar kerana terlihat satu lembaga duduk dibawah sepohon mengkudu.Sebaik saja dia menghampiri lembaga itu,rupa-rupanya seorang lelaki tua memakai serba hitam duduk disitu terketar-ketar.Rambutnya panjang terikat dengan kain hitam tetapi sebahagian hujung rambutnya itu menutup mukanya.

   Pada sangkaan jaeman alang deraoh yang duduk dibawah pohon mengkudu itu.Bila diamat-amatinya ternyata bukanlah alang deraoh.Tidak pernah dia berjumpa dengan lelaki tua berkenaan.Mungkin juga orang tua itu tersesat datang dari kampung lain.

   "Tok aki ni dari mana?"Jaeman memberanikan diri menegurnya.

   "Kemari aje,nak tengok anak cucu."Sahut lelaki itu bersuara garau terputus-putus.

   "Mengapa tok aki duduk disini?"Soalnya lagi.

   "Penat,baru sampai pagi ni.."Ujarnya mendehem terbatuk-batuk payah.

   "Tak sejuk ke tok aki ni?"Jaeman berdiri tegak memerhatikan orang tua itu yang masih menunduk kesejukan.

   "Sejuk juga.."Beritahu orang tua itu tergigil-gigil menahan rasa sejuk yang menyusup sampai ketulang sum-sum.

   "Marilah kerumah saya dulu."Kata jaeman mempelawanya.Kasihan juga dia melihat orang tua itu tersesat dikampungnya.Tentulah semalaman itu orang tua berkenaan berjalan merayau-rayau.

   "Tak apalah,tak apalah.."Jelas orang tua itu tergigil-gigil kesejukan.

   "Tok aki nak cari rumah siapa?"Soal jaeman kerana mahu tahu siapakah anak cucu orang tua itu dikampung tersebut.

   Kalau orang-orang dikampung itu memang jaeman tahu belaka.Siapa pula yang dikampung itu mempunyai saudara mara yang sudah tua tinggal jauh dari kampungnya?.Mengapa lelaki tua itu tidak mencari pada siang hari supaya mudah mencari rumah anak cucunya?.

   "Tok aki nak cari rumah siapa?"Ulangi jaeman.

   "Lajim..."Katanya perlahan.

   "Ngah lajim..?"Jaeman tergamam bila disebut nama ngah lajim.

   Hatinya tiba-tiba berdebar.Dia mula teringat kata-kata abang iparnya mengenai harimau akuan tok galat.Embun masih tebal sehingga menutupi pandangannya dibalik-balik belukar pohon mengkudu.Ketika ini lah dia mengerling kearah lembaga hitam orang tua yang duduk memaut lutut dibawah pohon mengkudu tadi.

   Orang tua itu tidak ada disitu.Hanya seekor harimau duduk tercangkung melangut kearahnya.Sekali sekala harimau itu menyapu mukanya dengan tangan bagaikan seekor kucing manja sedang menguap-nguap dimuka pintu.Jaeman lihat sendiri harimau itu tercangkung disitu.

   Tiba-tiba kakinya merasa lemah.Dia tidak berdaya mahu melangkah melarikan diri.Lama dia terkaku tidak bercakap apa-apa.Beberapa minit dia terlangut disitu,harimau itu masuk melenggang kedalam belukar mengkudu.Setelah harimau itu menghilangkan didalam belukar mengkudu,jaeman masih juga tercegat disitu.Dia tidak dapat bergerak.Seluruh sendi anggotanya terasa lemah longlai.

   Bila pagi mulai terang benderang,dan kabus tebal pun sudah mula menghilang,barulah jaeman dapat merasakan tenanganya pulih semula.Dengan segera dia berlari kencang balik kerumah.Tercungap-cungap dia sampai dimuka tangga akibat terlalu takut.

   Sebaik sampai saja dirumah jaeman terus menelungkup ditempat tidur berselubung dengan selimut.

   "Kenapa kau jaeman?"Tanya emaknya mak nah.Hairan juga dia melihat kelakuan jaeman.

   Jaeman tidak menyahut.Dia menggeletar didalam selubung selimutnya.Lidahnya bagaikan kelu tidak dapat bercakap lagi.Hanya debaran dadanya saja termengah-mengah kencang.

   "Apa kenanya budak ni?"Rungut mak nah bercampur bimbang melihatkan anak bujangnya yang sudah terlajak sampai umur tiga puluh tetapi masih juga belum berkahwin.

   Dia sedar pagi benar jaeman bangun tidur.Tidak tahu pula dia kemana dituju oleh jaeman.Hatinya mula mengesyaki jaeman mengendap anak dara orang.Boleh jadi jaeman dipukul oleh orang kerana berani pagi-pagi buta mengendap rumah orang.

   Tetapi anak dara mana pula yang dihendap oleh jaeman?.Kalau jaeman sudah mahu berkahwin mengapa pula dia mesti mengendap?.Cakap saja anak dara mana yang jaeman berkenan,bila-bila dia sanggup pergi meminangkan.Mak nah yakin selama ini orang-orang kampung menghormati dia,sudah tentulah kalau wakilnya masuk meminang tidak akan dihampakan oleh pihak perempuan.

   "Kau menghendap anak dara orang?"Cepat-cepat mak nah menuduh anak bujangnya yang sudah terlajak umur.

   "Dulu lagi aku suruh nikah kau tak hendak,sekarang dah dipukul orang ke kau...?"Getar suara emaknya menusuk-nusuk ketelinga jaeaman.Namun dia tidak dapat juga mahu menyahut.

   Hati mak nah sudah menduga jaeman bangun tidur pagi-pagi memang menghendap anak dara orang.Sudah tentu mereka selalu berjumpa secara sembunyi-sembunyi.Pagi itulah malang menimpa anaknya jaeman kerana terserempak dengan saudara mara pihak perempuan.Tentulah jaeman tidak dilepaskan oleh mereka begitu saja.

   Ketika hati sedang membara marah,orang tidak peduli lagi jaeman anak mak ngah yang dikenali sebagai bidan dikampung itu.Mereka tidak peduli mengenai jasa bidan tersebut terhadap orang-orang kampung.Disebabkan jaeman cuba memberi malu keluarga mereka,maka jaeman mestilah menerima padahnya.

   "Kau kene pukul ke jaeman?"Soal mak nah keras.

   Jaeman terketar-ketar juga dibawah selubung selimut.Selurh tubuhnya mula memercik peluh,walau pun pagi masih sejuk lagi.

   "Cakaplah,siapa pukul kau?"Mak nah menggertap bibir menahan geram.Kalau benar pun anak bujangnya bersalah tidak patutlah dipukul dengan tidak bertanya.Apalah salahnya serah dulu anak bujangnya kepada dia sebelum dipukul tidak berkira.

   Marah benar mak nah dengan perbutan orang yang memukul anak bujangnya.Kalau sekadar mengendap anak dara orang,mengapa sampai pukul memukul.Perkara seperti itu boleh dibawa berunding untuk meneruskan aturan-aturan untuk menikahkan mereka berdua.Mentang-mentanglah anaknya bujang terlajak umur,takkan cara demikian bertindak untuk melepaskan geram.

   Kalau ikutkan hati memang mak nah sanggup menyerbu kerumah orang yang memukul anaknya itu.Hidup bermasyarakat dalam satu kampung bukan begitu caranya,kalau mahu mencari kebenaran.Sekiranya jaeman bersalah mengendap anak dara orang,cukuplah dengan menangkapnya saja.Kemudian serahkan kepada ketua kampung.Mengapa pula mereka mesti memukul jaeman.

   "Cakaplah.Siapa pukul kau?"Bentak mak nah menarik selimut yang menyelubungi tubuh jaeman.

   Dia melihat tidak ada kesan lebam-lebam ditubuh jaeman.Kepala jaeman tidak dipukul oleh sesiapa.Tetapi hatinya masih kuat mengesyaki jaeman memang mengendap anak dara orang.

   Mak emon dan suaminya alang deraoh pun segera dipanggil.Ketika mereka berdua sampai keadaan jaeman masih tidak berubah.Tubuhnya menggeletar bagaikan terlalu sejuk sama seperti dia mengidap demam kura sebelumnya.Mak emon pula mengesyaki penyakit demam kuranya berulang balik.

   Sehingga tengah hari hampir jam 11.00 pagi,jaeman masih juga terketar-ketar.Dia tidak juga dapat bercakap hanya merungut-rungut saja seperti keli dalam lubang.Mak nah sendiri sudah naik bingung dengan keadaan anak bujangnya itu.

   Hendak dikatakan jaeman dipukul orang tidak ada kesan-kesan dipukul.Walau pun dia tahu anak bujangnya itu sudah terlajak umur,dan mempunyai keinginan untuk beristeri namun dia masih belum pernah mendengar jaeman suka mengendap anak dara orang.Masakan jaeman dipukul kerana mengendap anak dara kalau seumur hidupnya dia tidak pernah melakukan perbuatan tersebut.

   "Adik kau ni mengendap anak dara orang ke?"Soal mak nah resah merenung muka mak emon.

   "Hiss,takkan jaeman buat macam itu."Mak emon tidak percaya adiknya melakukan demikian.

   "Habis,siapa yang pukul dia?"Gerutu mak nah macam hilang akal.

   "Mana pula kene pukul.."Geli hati juga emon mendengar kata-kata emaknya."Nantilah daeroh memanggilkan ngah lajim dulu."Dia cuba mententeramkan hati emaknya.

   Ngah lajim datang kerumah mak nah selepas asar.Waktu ini jaeman tidak lagi mengerang terketar-ketar.Dia sudah mula tenang walau pun matanya liar memerhatikan sekeliling seperti orang dalam ketakutan.Namun suaranya masih tidak keluar.

   "Kenapa kau jaeman?"Tanya ngah lajim sebaik saja dia membakar kemenyan.

   "Rimau.."Tiba-tiba saja jaeman bersuara bagaikan melepaskan sesuatu yang terpendam dihatinya.

   Mereka semua terkejut mendengar kata-kata jaeman.Cikgu madun yang sama menziarahi kawan rapatnya itu terkejut,tetapi dapat mengagak mungkin jaeman dalam keadaan ketakutan disebabkan terserempak harimau.

   "Rima,rimau..."Pekik jaeman dengan matanya liar.Mukanya kelihatan pucat lesi tidak bermaya.

   "His,mana ada rimau disini."Kata ngah lajim tersengih-sengih.

   Tersinggung juga ngah lajim,kerana disangkanya jaeman menuduhnya harimau.Selama ini memang dia tahu jaeman tidak percaya sangat dengan harimau akuan tok galat.Bagaimana pun ngah lajim bukanlah menyuruh orang percaya kepada harimau akuan tersebut.Apa yang dibuatnya selama ini sebagai menurut perintah yang diamanahkan oleh arwah ayahnya dulu.

   "Mana ada rimau disini."Ujar ngah lajim.

   "Rimau....rimau..."Ulangi jaeman ketakutan.

   Tiga hari jaeman terlantar dalam ketakutan.Ngah lajim tidak mengelak mengubati jaeman walau pun dia tahu anak bujang mak nah tidak percayakan dirinya.Dia datang juga mengubatinya.

   Selepas itu lah apabila jaeman pulih semula dia menerangkan peristiwa dirinya terserempak harimau itu.Ngah lajim tahu harimau yang ditemui oleh jaeman itu memang harimau akuan tok galat.Harimau itu muncul disitu kerana selama ini jaeman berkali-kali terlepas cakap mahu bertemu dengan harimau akuan tok galat.

   Sejak itu jaeman tidak berani lagi menyebut-nyebut harimau akuan tok galat.Kalau dia mahu menyebut dia terpaksa mematuhi cara-cara ngah lajim iaitu dengan menyebut orang tua saja.Memang ngah lajim melarang orang-orang kampung menyebutnya harimau akuan tok galat,tetapi memadai dengan memanggil orang tua.

(Bersambung...)

Sumber : Naskah Dari Tok Awang Ngah

No comments:

Post a Comment