Harimau Akuan
Bahagian 6 : Keluar Dari Lubang Kubur
Hairan juga jaeman dengan kejadian yang dialaminya apabila bertemu dengan harimau akuan tok galat.Kalau harimau biasa sudah tentu dia dibaham oleh harimau tatkala terserempak demikian.Dia mula memikirkan mengapa selama ini alang deraoh begitu takut kepada harimau tok galat.Menyebut nama tok galat pun alang deraoh tidak berani.
Dengan kejadian yang menimpanya itu jaeman sendiri mula percaya dengan kata alang deraoh.Terpaksalah dia menghantar pulut kuning sekeping dan telur sebiji kekubur tok galat.
"Itulah pengalaman kami,ustaz."Beritahu jaeman sendiri didepan saya.Mereka macam tidak percaya bila saya kaitkan penyakit yang dialami oleh mak ngah som itu mungkin berpunca dari ilmu kebatinan yang diamalkan oleh tok galat itu."Ilmu kebatinan dia untuk kebajikan orang ramai,bukannya untuk memberi mudarat.."Dia melanjutkan kata-kata nya.
Saya hanya menggangguk kepala dengan penjelasan jaeman.Sebelum peristiwa terserempak harimau itu berlaku dia memang tidak berapa yakin dengan harimau akuan tok galat ini.Dia merasa diganggu bayangan tok galat kalau masih berkeras tidak percayakan pertolongan harimau akuan berkenaan.
"Ini bukan nak olok-olok,ustaz."Sahut alang deraoh tersengih-sengih untuk menyakinkan saya dengan cerita jaeman.
Saya tetap menggangguk.Saya percaya dengan kejadian yang menimpa jaeman.Apa yang menyukarkan saya ialah hendak menerangkan kepada mereka bahawa ilmu kebatinan tok galat itu bukanlah untuk merosakkan anak cucunya.Memang semasa hayat nya orang tua itu terlalu jujur untuk berbakti kepada masyarakat.Sayangnya,bergantung dengan kuasa harimau akuan itu amat bertentangan dengan akidah islam.
Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai ilmu-ilmu demikian,saya berhasrat untuk menemui kawan arwah tok aji yang tinggal dikota tinggi,namanya wak samin.Mengenai kisah wak samin memang sudah saya dengar dari arwah tok aji,kerana apabila datang dari sumatera mereka sama-sama menuju ke kota tinggi.Atas sebab-sebab tertentu mereka terpaksa berpisah,apabila tok aji pergi pula ke singapura.
Tetapi semasa saya mencarinya dikota tinggi,saya mendapat tahu dia sudah lama berpindah ke endau.Wak samin merajuk kerana isterinya sendiri lari meninggalkan dia,sebab itu lah dia membawa diri ke endau.Disebabkan dia sudah berpindah ke endau tidak lah dapat saya menemuinya ketika itu.
Bagaimanapun saya dapat mengagak kubur tok galat yang dikatakan berlubang oleh alang deraoh itu,seakan-akan sama pula dengan kisah guru wak samin di sumatera dulu.Tok aji yang menceritakan kepada saya,itu pun wak samin sendiri yang menceritakan kepada tok aji.
Guru wak samin ini dikenali oleh orang-orang dikampungnya bernama tok malim udoh.Dia bukan saja guru silat tetapi seorang ahli agama yang mengajar dimadrasah kepunyaannya sendiri.Anaknya sendiri haji mat tahir sudah pun dihantar belajar ke mekah.Sekembalinya dari mekah,haji mat tahir membantu ayahnya mengajar dimadrasah tersebut.
Antara ramai muridnya yang belajar dimadrasah itu wak samin lah yang disayangi oleh tok mail udoh.Sebab itu lah sebelum dia meninggal dunia tok malim udoh hanya berpesan kepada wak samin seorang saja supaya menunggu kuburnya dengan membaca yasin tujuh malam.
Dia berbisik perlahan kepada wak samin."Ingat tu samin.Kau jangan takut,duduklah diatas kuburan tok selama tujuh malam.Tok minta sangat pada kau.."Dia meramas-ramas tangan wak samin seolah-olah menaruh kepercayaan yang tidak berbelah bagi kepada murid kesayangannya itu.
Wak samin berjanji akan memenuhi permintaan gurunya itu.Bagaimana pun dia tidak berani mahu menyoal mengapa disuruh menunggu kuburnya selama tujuh malam selepas kematiannya?.Tambah menghairankan wak samin,mengapa tok malim udoh tidak menyuruh anaknya sendiri haji mat tahir melakukannya?.
Setelah tok malim udoh meninggal dunia,wak samin tidak dapat memenuhi permintaan gurunya itu.Hatinya sendiri merasa ragu-ragu dengan permintaan gurunya seorang ulama besar itu.Akhirnya dia membuat keputusan tidak mahu menunggu diatas kubur tok malim udoh dengan membaca yasin.Wak samin hanya melihatkan saja dari jauh selama tujuh malam itu kerana hendak melihat mengapa gurunya sampai berpesan demikian kepadanya.
Mungkin ada rahsia disebalik permintaannya itu.Kalau tidak masa kan guru itu membisikkan ketelinga dia seorang saja.Kenapa tidak diberitahu kepada murid-muridnya yang lain.
Pada malam ketiga selepas kematian tok malim udoh,dia pun memanjat sebatang pokok asam ditanah perkuburan itu yang berdekatan dengan kubur tok malim udoh.Kira-kira jam 12.30 malam dia terasa angin kencang bertiup hinggakan pokok asam tempat dia bersembunyi itu pun meliuk-liuk ditiup angin.
Tidak lama angin bertiup kencang itu memuput pohon-pohon kayu,ianya berhenti dengan tiba-tiba saja.Dalam kesepian malam itu lah wak samin melihat satu bayang hitam melintas melompat dari belukar di sekitar tanah perkuburan itu ke atas kubur tok malim udoh.Bila diamat-amati ternyata bayang hitam itu seekor harimau besar tercegat disitu.
Lama juga harimau berkenaan berdiri diatas kubur seolah-olah mahu memastikan supaya tidak ada orang melihat gerak-geri nya.Biasanya kalau sudah jam 12.30 tengah malam memanglah tidak ada siapa pun yang akan datang kekubur.Tetapi wak samin memang melihatnya kerana dia mahu tahu apakah rahsia disebalik permintaan gurunya itu.
Wak samin nampak harimau itu mengelilingi kubur tok malim udoh sebanyak tujuh kali.Selepas berkeliling itu dia berhenti sejenak sambil kepalanya menggeleng-ngeleng memerhati ke kiri ke kanan.Dia menderam sekali sebelum melompat dari hujung kaki ke kepala sebanyak tiga kali.Selepas itu dia melompat dari kiri ke kanan sebanyak tiga kali juga.
Apa yang dilihat oleh wak samin seolah-olah macam dalam mimpi saja,pada hal semuanya berlaku dengan nyata dihadapan mata kepalanya sendiri.
Disebabkan semuanya dirahsiakan oleh tok malim udoh,maka tidaklah,dapat wak samin bertindak menghalang perbuatan harimau tersebut.Dia sendiri tidak diberitahu bagaimana kah caranya mahu menghalang kalau melihat perbuatan harimau berkenaan.Oleh itu terpaksa lah wak samin melihat saja kejadian yang menimpa gurunya itu.
Kemudian harimau itu menggali kubur tok malim udoh,sehingga seluruh badannya boleh masuk melalui lubang tersebut.Tidak lama selepas itu wak samin nampak harimau itu menarik mayat tok malim udoh ke atas.Mayat tersebut dibaringkan diatas kubur.Apabila mayat sudah dibaringkan,harimau itu kembali melompat dari kaki ke kepala sebanyak tujuh kali,dan dari kiri ke kanan tiga kali.
Selesai melompat,harimau itu pun bertenggong dikepala mayat bagaikan sedang menunggu.Dari atas pokok asam itu wak samin dapat mendengar bunyi suara garau terketar-ketar tetapi tidak berapa jelas.Bagaimana pun dia dapat juga menangkap biji butir yang dicakapkan oleh suara garau tersebut.Sayangnya,wak samin tidak dapat memastikan sama ada suara itu berpunca dari harimau tersebut,atau dari balik-balik semak yang berhampiran dengan kubur.
"Bangun adik,bangun..."Suara itu sayup-sayup macam dibawa angin lalu menyebabkan wak samin sendiri seram sejuk.
Bagaimana pun dia tetap tabahkan hati melihat kejadian menimpa gurunya itu.Saat ini timbullah kesal dihatinya kerana tidak mematuhi permintaan guru yang dikasihinya itu.Kalau lah hatinya tidak bersoal jawab mahu mengetahui rahsia sebenarnya,mungkin kejadian itu tidak berlaku.
Dua malam berturut-turut sebelum itu memang wak samin duduk diatas kubur sambil membaca yasin.Tatkala jam 12.30 itu lah angin bertiup kencang seperti yang dialaminya malam itu.Apabila angin bertiup semakin kencang dia semakin nyaring membacakan yasin.Akhirnya angin itu pun berhenti.Tidak ada apa-apa kejadian ganjil berlaku yang dilihatnya.
Disebabkan dua malam berturut-turut dia menunggu diatas kubur itu tidak terdapat apa-apa kejadian ganjil,menyebabkan hati wak samin berbelah bagi.Akhirnya dia mengambil keputusan tidak mahu lagi menunggu diatas kubur,sebaliknya mahu mengendap sendiri apakah rahsia yang hendak disembunyikan oleh gurunya dari dirinya.
Rupanya itu lah rahsia yang tidak mahu diberitahu oleh gurunya.Mungkin gurunya sengaja mahu menguji kejujuran hati seorang murid yang disayanginya selama ini.Saat ini,wak samin benar-benar menyesal kerana tidak dapat menyelamat kan gurunya tok malim udoh.
"Adik bangunlah,adik bangulah."Wak samin dapat mendengar suara garau itu sayup-sayup dari balik semak-semak tanah perkuburan.
Harimau yang menggali kubur tadi masih juga menunggu dikepala mayat.Hampir satu jam dia menunggu,di samping suara garau sayup-sayup menyuruh mayat itu bangun berulang kali,wak samin melihat kain kapan tok malim udoh mula bergerak-gerak.Harimau yang menunggu dikepala mayat membiarkan saja kain kapan itu bergerak-gerak.
Selepas itu keluarlah seekor harimau lagi dari kain kapan tadi.Harimau itu bertubuh lemah dan masih belum berdaya untuk berdiri.Harimau yang datang mengambilnya tadi pun mula menjilat-jilat tubuh tok malim udoh yang sudah bertukar menjadi harimau,seperti seekor ibu harimau menjilat-jilat anaknya.Setelah harimau yang lemah tadi boleh berdiri,dia pun mengikut harimau yang menjemputnya tadi masuk kedalam semak-semak disitu langsung menghilangkan diri.
Esoknya seluruh kampung menjadi gempar kerana kubur tok malim udoh didapati berlubang.Haji mat tahir mengeluh melihat kejadian yang menimpa kubur ayahnya.Apabila dijolok dengan kayu melalui lubang tersebut dia dapat mendengar bunyi kayu itu diketuk-ketuk kepada papan liang lahad.
Disebabkan atas rasa berdosa kepada arwah gurunya,segala peristiwa yang berlaku diatas kubur itu diceritakan oleh wak samin kepada haji mat tahir."Tak apalah samin,boleh jadi kau bermimpi."Ujar haji mat tahir tidak mempercayai cerita dari wak samin.
"Ini bukan mimpi tok guru."Sahut wak samin.
"Kau terlampau ingatkan arwah ni,sebab itu lah kau termimpi-mimpi.Cuba banyakkan mengingati allah.."Haji mat tahir menasihatkan dia.
Mengeluh panjang wak samin kerana haji mat tahir tidak mempercayai ceritanya.
Hanya dia seorang yang melihat kejadian tersebut.Jadi,bagaimana mahu menerangkan kepada murid-murid haji mat tahir yang lain.Malah,mungkin dia sendiri yang ditertawakan.Tidak mungkin seorang guru agama terkenal seperti tok malim udoh boleh mempelajari ilmu-ilmu yang rendah martabatnya sehingga matinya menjadi seekor harimau.
Bileh jadi orang ramai akan menuduhnya cuba memfitnahkan kesucian guru agama itu supaya kedudukannya tercemar.Masalah kuburnya berlubang boleh jadi ketika dikambus dulu tanahnya tidak padat.Sebab itu lah bila ditimpa hujan tanahnya mendap ke bawah hingga menjadikan ianya berlubang.
Disebabkan malu kepada murid-murid haji mat tahir yang lain,wak samin tidak lagi datang ke madrasah.Dia tidak mahu dituduh cuba mencemarkan nama baik seorang guru agama yang telah meninggal dunia.Sepatutnya sebagai murid yang dikasihi oleh arwah gurunya,dia mesti memuliakan guru itu sama ada sewaktu hidupnya mahu pun matinya.
Tetapi dia tidak lagi dapat memberikan kemuliaan kepada gurunya.Kalau lah dia mendengarkan amanat gurunya supaya menunggu selama tujuh malam berturut diatas kubur sudah tentu harimau itu tidak datang mengambil gurunya dibawa ke martabat yang rendah menjadi seekor haiwan.Setiap malam selepas menunaikan solat tahjud,wak samin menangis mengenangkan nasib gurunya.
Hanya beberapa minggu kemudiannya,murid-murid haji mat tahir menjadi kelam kabut semasa hendak menunaikan fardhu maghrib di madrasah.Mereka ternampak seekor harimau duduk bertenggong ditempat selalunya arwah tok malim udoh duduk berzikir.Setelah diberitahu haji mat tahir segera melihat sendiri dari jauh.
"Subhanallah..."Keluh haji mat tahir.Bagaimana pun dia tidak berani mendekati harimau tersebut.Lantas disuruhnya memanggil wak samin segera datang.Wak samin tidak datang apabila dipanggil oleh haji mat tahir,kerana dia merasa malu.
Disebabkan ketakutan mereka semua tidak jadi sembahyang maghrib di madrasah.Sebaliknya mereka berjemaah dirumah haji mat tahir dengan harapan harimau itu segera pergi meninggalkan madrasah.
Tengah malamnya semasa haji mat tahir dan murid-muridnya bangun untuk solat sunat istiharah,dia terdengar esakan orang menangis ditengah madrasah.Dia mengajak beberapa orang muridnya pergi mempastikan siapakah yang menangis teresak-esak itu.Mijano sepupu wak samin yang menjadi murid kepercayaan haji mat tahir ikut sama terbongkok-bongkok didalam gelap mengendap ke madrasah.
Sebaik mereka naik keatas madrasah dilihatnya wak samin yang menangis sambil merebahkan kepala ke pangkuan harimau yang duduk seperti orang sedang wirid.Sejak senjanya harimau itu tetap duduk disitu tidak berubah tempat.
"Maafkan saya tok guru,saya tak tunaikan amanat."Wak samin tersengguk-sengguk menyesali perbuatannya yang telah terlanjur.
Harimau itu menggeleng-geleng kepala saja sambil tangannya macam menepuk-nepuk bahu wak samin.Dia seolah-olah mengerti apa yang terbendung dijiwa wak samin,cuma suaranya saja tidak keluar untuk berkata-kata disebabkan sifat haiwan yang sudah bertukar keatas dirinya.
"Saya lihat sendiri,saya lihat tok guru.Saya lihat apa yang terjadi pada tok guru."Kata wak samin lagi masih membongkok dihadapan harimau tersebut."Kalau saya ikutkan amanat tok guru,sudah tentu tok guru tak jadi macam ni.Tok guru akan aman dalam persemadian tok guru.Ampunkan saya tok guru."Rintih wak samin menangis tersedu-sedu.
Bahu harimau itu pun tersengguk-sengguk seolah-olah seperti orang menangis.Namun wak samin dapat merasakan dua tiga titik air mata harimau tersebut jatuh menitik dikepalanya.
Setelah mendengar sendiri bualan tersebut,baru lah haji mat tahir insaf akan kebenaran cerita wak samin.Dia pun segera menerpa mendapatkan harimau yang amat ditakuti sejak senja tadi.Dia juga melutut didepan harimau itu lantas memeluk lehernya.
"Kenapa ayah tak beritahu kami tentang rahsia ini?"Tanya haji mat tahir menahan perasaan hiba yang mula menyelubungi jiwanya.
Harimau itu hanya menggeleng-gelengkan kepala saja.Airmatanya mengalir tidak dapat ditahan-tahan lagi.Sekali sekala mulutnya terbuka bagaikan mahu berkata-kata,tetapi suaranya tenggelam jauh dikerongkong.Dia juga tidaklah mengaum,sebaliknya mendengus-dengus saja seperti hidung tersumbat oleh selsema.
Mereka semua duduk menghadapi harimau berkenaan.Mereka tidak lagi merasa takut kerana sudah diketahuinya harimau itu penjelmaan dari tok malim udoh.Walau pun jasadnya sudah bertukar,namun mereka tetap menghormatinya sebagai guru agama yang mereka kasihi juga.
Mungkin ada ilmu-ilmu tuntutan tok malim udoh dulu yang bertentangan dengan akidah islam yang masih dipakainya sehingga akhir hayatnya.Ini lah kesan yang diterimanya,walau pun ilmu tersebut digunakan untuk kebajikan.Malah dia sendiri bukanlah rendah pengetahuan agamanya.Agaknya itulah sebabnya dia menyuruh wak samin membacakan yasin selama tujuh malam berturut-turut diatas kubur nya supaya jasadnya tidak dapat diambil oleh harimau akuannya sendiri.
Boleh jadi juga tok malim udoh tidak berdaya untuk membuangkan kuasa ilmu kebatinan sebelum hayatnya.Kuasa itu akan hanya boleh dibuang selepas kematiannya dengan syarat seorang orang yang kepercayaannya sanggup melakukannya.Dia telah memilih wak samin,sayangnya wak samin sendiri tidak dapat memenuhi permintaannya.
Sebab itu lah tok aji mengingatkan saya supaya jangan mengharapkan pertolongan kepada seorang manusia walau pun orang yang boleh dipercayai.Boleh jadi ianya terlupa,atau mungkin juga dia mahu tahu rahsia sebenarnya mengapa kita meminta pertolongan.Akibatnya jadi lah seperti tok malim udoh yang mengharapkan pertolongan dari wak samin.
Sekiranya memohon pertolongan dari allah,jelas tok aji mengingatkan saya,bahawa satu saat pun allah tidak akan terlupa untuk menolong kita.Hal ini lah sentiasa menjadi pegangan saya,kerana apa yang disuruh oleh tok aji ini saya tanam kukuh-kukuh dalam jiwa saya.Oleh itu sentiasa lah memohon pertolongan dari allah.
Kalau lah tok malim udoh mengharapkan pertolongan allah,sudah tentu dia tidak mengalami kejadian seperti itu.Demikian tok aji mengingatkan saya apabila menceritakan kejadian tersebut yang melibatkan rakannya itu.
Kerana bimbang murid-murid yang tidak mengetahui tentang harimau itu akan takut,haji mat tahir meminta ayahnya supaya tidak menjelmakan diri dimadrasah tersebut."Ayah.."Kata haji mat tahir dengan suara tertahan-tahan kerana terharu."Orang-orang disini takutkan ayah.Saya bukan nak halau ayah,tapi disebabkan dunia ayah sudah lain dari kami,janganlah ayah jelmakan diri ayah disini."Dia merayu dengan penuh harapan.
Harimau itu mengganguk-angguk.Kemudian dia berpaling pada wak samin dan majino.Airmatanya tetap mengalir kerana terlalu sedih dengan perpisahan tersebut.
"Kami semua sayangkan ayah."Ujar haji mat tahir mengusap-usap bahu harimau itu.
"Tapi apa boleh buat,dunia ayah lain,dunia kami lain.Baliklah ayah kedunia ayah dengan aman.Kami disini mendoakan ayah supaya dicucuri rahmat allah,insya allah.."Jelas haji mat tahir selanjutnya.
Harimau itu merenung muka haji mat tahir.Dia mengangguk kepala tanda memahami maksud yang tersirat dihati haji mat tahir.Kesedihan terbayang pada air muka harimau berkenaan seolah-olah tidak mahu berpisah.Bagaimana pun dia seolah-olah memahami bahawa dirinya bukan lagi tok malim udoh,tetapi jasadnya sudah berubah sama sekali.
"Marilah kami hantarkan ayah.."Haji mat tahir bangun perlahan-lahan macam mengajaknya bangun dari duduk disejadah tempat duduk tok malim udoh.
Harimau itu tidak membantah.Dia bangun berdiri untuk beredar dari situ.Sebaik sampai ke pintu madrasah,segera wak samin memeluk lehernya.
"Maafkan saya tok guru."Kata wak samin tersedu-sedu.
"Kerana saya abaikan amanat tok guru lah,maka tok guru jadi macam ni."Dia terus tidak dapat menahan keharuan yang bergelora didadanya.
Harimau itu tidak menyahut.Dia terus berjalan keluar dari madrasah diikuti oleh beberapa orang muridnya bersama haji mat tahir,wak samin dan majino.Mereka semua menghantar harimau berkenaan sampai dipinggir hutan.
Disebabkan rasa malu dan kesal sentiasa menyelubungi perasaannya,wak samin mengambil keputusan meninggalkan kampung halamannya di sumatera menuju ketanah melayu.Semasa sama-sama menumpang kapal barang ini lah dia bertemu dengan tok aji iaitu arwah datuk saya.
Kisah wak samin ini saya ceritakan kepada alang deraoh,supaya dapat menjadi perbandingan kepadanya.Apabila dia menceritakan mengenai kubur tok galat berlubang itu,saya teringatkan cerita wak samin ini mengenai kubur tok malim udoh yang berlubang.
Bagaimana pun saya tidak lah berani mahu mempersoalkan didepan alang deraoh atau pun jaeman.Lain lah dengan cikgu madun yang tidak fanatik dengan tok galat,walau pun saelah isterinya itu dari keturunan tok galat.
Saya memang bercadang juga mahu mengajak cikgu madun menemui wak samin ini.Cadangan untuk menemuinya hanya setelah dapat mengesan dimana dia tinggal setelah berpindah ke endau.Sebab semasa dia naik dibenut sewaktu datang dari sumatera,memang bersama-sama dengan tok aji.Mereka sama-sama menuju ke kota tinggi.
Perhubungan mereka terputus apabila tok aji menuju ke singapura.Apabila tok aji berpindah ke semenyih,kemudian datang kekampung nenek saya,dia tidak pernah lagi bertemu dengan wak samin.Sebab itu lah saya mesti mempastikan dimana dia tinggal baru lah boleh menemuinya.Mana tahu kalau dia langsung tidak teringat lagi dengan tok aji,sudah tentu dia tidak percaya dengan cerita saya untuk menemuinya itu.
Cikgu madun pula memang teringin hendak bertemu dengan wak samin.Bukan saja disebabkan gangguan yang dideritai oleh isterinya saelah,tetapi mahu mengenali diri orang tua itu serta amalan apakah yang sebenarnya sehingga berlakunya kejadian seperti dialami oleh tok malim udoh itu.
"Malam kejadian mak mertua saya terkejutkan harimau tu,saya belum tidur lagi,ustaz.."Jelas cikgu madun kepada saya."Saya terdengar mak mertua saya bercakap-cakap dipenanggah.Saya ingatkan ada orang lain di penanggah masa tu."Dia mengingatkan semula peristiwa malam yang menyebabkan mak ngah som terjerit-jerit kerana terserempak harimau.
Suara orang lelaki terbatuk-batuk dipenanggah itu pun disangka oleh cikgu madun bapa mertuanya ngah lajim.Tetapi yang menghairankan dia ngah lajim sedang berbual-bual diserambi dengan kawan-kawannya.
Apabila mak ngah som terjerit melaung,cikgu madun pun segera menerpa ke tingkap.Dia tidaklah terus keluar keserambi.Perlahan-lahan dia menggerakkan saelah,tetapi saelah juga tidaklah tidur.Maklum saja lah malam pengantin yang pertama,memang mata tidak mahu lena.
Semasa dia membuka tingkap,cikgu madun ternampak kelibat hitam melompat didepan tingkap setentang bilik tidurnya hinggakan saelah sendiri tergamam.Desus angin tatkala lembaga hitam itu melompat memang jelas terasa kemuka mereka berdua.
Setelah semua orang terbangun akibat jeritan mak ngah som,baru lah cikgu madun dan saelah keluar dari bilik.Mereka berpura-pura baru saja terbangun.Ketika ini ngah lajim sudah duduk bersila dihujung serambi membakar kemenyannya.Dia mengisar-ngisar tapak tangan lantas diusapkan kemuka,kerusuk langsung ke pangkal peha.
"Tabek anak cucu,minta tok nenek jaga kan anak cucu,jangan diganggu."Seru ngah lajim membiarkan asap kemenyan meruap-ruap kemukanya.
Selepas itu dia bangun membawa perasapnya turun ke tanah.Siapa pun tidak mengekori dia.Saelah pula terburu-buru membantu emaknya yang dipapah naik oleh joyah dan mak emon.Ketika ini mereka tidak pedulikan lagi apa yang dibuat oleh ngah lajim yang turun membawa perasap.
"Anak cucu dah selamat,mintalah tok nenek balik semula.Janganlah tunjuk rupa lembaga.."Suara ngah lajim jelas kedengaran dari tengah halaman.
Dia terus menuju ke busut di hujung halaman.Disebabkan ingin tahu apa yang dilakukan oleh bapa mertuanya itu,cikgu madun memberanikan hati turun ketanah.Dia nampak ngah lajim mengelilingi busut tetapi tidak ternampak harimau yang menggerunkan mak gah som tadi.Kalau ada pun bayang yang dilihatnya mungkin bayang busut itu sendiri.
"Minta maaf anak cucu hai tok nenek,baliklah.Janganlah tunjuk rupa lembaga."Ngah lajim berseru-seru sambil mengelilingi busut.
Pada mulanya cikgu madum mahu juga pergi kebusut itu,tetapi cepat-cepat ditegah oleh alang deraoh.Tidak tergamak pula dia mahu berkeras setelah ditegah alang deraoh.Bimbang juga dia kalau tersinggung pula hati bapa saudara isterinya.Namun dia tetap berdiri ditengah halaman mahu melihat sendiri apakah sebenarnya yang menggemparkan emak mertuanya tadi.
"Kau jangan kesitu.."Alang deraoh mengingatkan.
Cikgu madun termati langkah apabila ditegah.Tetapi hatinya tetap tertanya apakah rupanya harimau akuan yang ditakuti sangat oleh alang deraoh itu.Setelah ngah lajim naik semula kerumah,semua orang tidak berani lagi turun ketanah.Mereka tidak juga berani membuka tingkap kalau mahu meludah pun,melainkan meludah melalui celah lantai.
Namun cikgu madun tetap tidak puas hati.Apabila dia masuk semula kebilik tidur ia membuka tingkap sedikit.Dia mengintai dari situ kearah busut di hujung halaman.Tetapi sehingga pagi dia tidak melihat apa-apa pun disitu.
Esoknya sengaja dia kebusut berkenaan untuk melihat apa sebenarnya berlaku.Memang benar dilihatnya tapak harimau disekeliling busut tersebut.Terkejut juga dengan apa yang dilihatnya.Malah apabila dilihatnya di penanggah tapak kaki harimau juga berserabut disitu.
"Ela,pernah ke tengok harimau tu?"Cikgu madun mahu menduga isterinya.
"Entah,tak pernah pula ela tengok."isterinya menjelaskan.
Memang dia tidak pernah melihat harimau akuan yang dikatakan pesaka dari tok galat iaitu moyangnya.
Tetapi saelah memang mendengar dari ayahnya bahawa datuknya pak ulin meninggal dunia akibat terkejut setelah dilintasi oleh harimau akuan tersebut.Pada malam itu datuknya balik dari mengubati orang sakit.Ngah lajim sama menemankan ayahnya itu,kerana biasanya ayahnya memang takut untuk balik bersendirian setelah mengubati pesakit.
Sebelum sampai kerumah pak ulin dilintasi oleh bayangan hitam seekor harimau sebanyak tiga kali.Ngah lajim sendiri melihat harimau itu melompat melampaui kepala ayahnya.
"Geruh aku ni nampaknya lajim."Kata ayahnya berbisik.
Sampai dirumah pak ulin mengadu sakit perut.Hanya beberapa jam saja selepas itu dia pun meninggal dunia.Itulah yang diceritakan oleh saelah pada suaminya,cikgu madun.
(Bersambung...)
Sumber : Naskah Dari Tok Awang Ngah
No comments:
Post a Comment