Harimau Akuan
Bahagian 7 : Bayang Hitam Melompat Di Kepala
Lama juga ngah lajim sakit selepas ayahnya dilintasi oleh bayang harimau akuan ketika menemani ayahnya balik kerumah.Mereka berdua beranak sama-sama jatuh sakit sebaik saja kerumah ayahnya.Badannya menjadi panas membahang.Malam itu juga dipanggil mak ngah som datang kerumah mertuanya,kerana ngah lajim tidak dapat lagi balik kerumah.
Rumah yang diduduki oleh mak ngah som sekarang ini lah rumah bapa mertuanya.Selepas kematian pak ulin rumah itu diwasiatkan supaya didiami oleh ngah lajim.Sebelumnya ngah lajim tinggal ditanah mertuanya iaitu ibu bapa mak ngah som.
Malam kejadian itu menimpa pak ulin,dia baru saja selesai mengubati orang sakit dihulu kampung.Kebetulan pula ngah lajim dimintanya ikut sama,kerana dia takut untuk balik kerumah seorang diri.Ngah lajim mematuhi kemahuan ayahnya.
"Jangan kau tegur apa-apa lajim,kalau terdengar apa-apa."Bisik pak ulin mengingatkan ngah lajim.
"Aku tau la..."Sahut ngah lajim mendehem.Sudah lama dia memahami akan pantang larang ayahnya.Kalau terdengar apa-apa bunyi sama ada ngauman harimau mestilah buat-buat tak dengar sahaja.Sejak dulu lagi pantang larang ini sudah difahami oleh ngah lajim.Malah ketika masih berumur belasan tahun lagi,dia sudah diberitahu oleh ayahnya mengenai pantang larang ini.
Malam gelap gelita.Mereka berdua beranak meranduk lorong kecil ditengah belukar senduduk dengan tidak membawa lampu suluh.Hanya api rokok pak ulin saja yang merah menyala apabila disedut kuat,tetapi kembali gelap gelita bila pak ulin menghembuskan asapnya keluar.
"Agaknya mak engkau masak tapai ni.."Ujar pak ulin didalam gelap itu.Bau asap saja terasa menusuk ke hidung ngah lajim.Dia mengekori ayahnya rapat dari belakang.
"Malam,malam buat tapai?"Soal ngah lajim.
"Hah,mak kau.."Sahut pak ulin tersengih-sengih."Mak kau,memang rajin buat tapai.Dua tiga hari lagi boleh lah makan."Jelasnya terus mara dengan tidak menoleh kebelakang.Dia tahu anaknya ngah lajim mengekori dia dibelakang.
"Hah,mak memang pandai buat tapai.Sedap tapai mak tu."Ujar ngah lajim mula membayangkan tapai emaknya.Selalunya emaknya suka membuat tapai dari pulut hitam.
Ayahnya pak ulin juga memang gemarkan tapai pulut hitam.Ngah lajim tahu memang ayahnya yang menyuruh emaknya membuat tapai.Ayahnya akan bercepak-cepak bibir bila menyudu tapai kemulut.
Tatkala melintasi belukar senduduk inilah ngah lajim mendengar bunyi harimau menderam.Dia mendiamkan diri saja kerana sudah difahaminya kalau menemani ayahnya memang harimau akuan itu sentiasa mengekorinya.Selalunya sampai kehalaman rumah harimau itu mengiringikannya.Sampai di busut di hujung halaman itu harimau berkenaan akan menggaru-garukan leher kesitu sebelum menghilang semula didalam gelap.
"Heh,buat apa awak ni main-main kan kawan.."Tiba-tiba saja pak ulin merungut.Ngah lajim tidak tahu mengapa ayahnya merungut demikian.
Didalam gelap itu tidak ada apa-apa yang dapat dilihat oleh ngah lajim.Hanya rungutan ayahnya saja macam menyimpan rasa mendongkol dihati.Mahu juga ngah lajim bertanya,tetapi dia bimbang akan melanggar pantang larang ayahnya.
"Kalau macam ni,biarlah kawan balik sendiri aje."Kata pak ulin mendengus.
"Mengapa tu ayah?"Ngah lajim tidak sabar lagi terus bertanya.Hairan juga dia mengapa ayahnya merungut sendirian didalam gelap itu.
Ketika inilah ngah lajim nampak bayang hitam harimau itu melompat melintasi kepala ayahnya.
"Huss,buat apa kau tegur.."Pak ulin memarahi anaknya.
Tiga kali harimau itu melompat kepala pak ulin,kemudian hilang dalam gelap malam.Tidak ada lagi terdengar oleh ngah lajim detup detap kaki mengekori mereka disebalik belukar senduduk itu.
"Hah,nahas geruh la aku ni."Keluh pak ulin perlahan.
Sedang ngah lajim sejak ternampak bayang hitam harimau melompati kepala ayahnya,dia sudah mula merasa seram sejuk.Seluruh anggotanya terasa panas membahang.Kakinya gementar mahu meneruskan ayun langkah merempuh kegelapan malam.
Sampai saja di rumah ayahnya,ngah lajim terus terbaring dihujung serambi.Badannya menjadi lemah longlai tidak berdaya untuk bangun.Dia terkapar bagaikan mengidap demam panas tiba-tiba saja ditengah malam tersebut.Manakala pak ulin juga memberitahu isterinya mak ibah,dia merasa tidak sedap badan.
Ketika ngah lajim mengerang-ngerang kesakitan seolah-olah terlalu bahang panas seluruh badannya,pak ulin pun mula berguling-guling menahan sakit perut.Malam itu juga mak ibah memanggil sanak saudara dan jiran tetangga yang dekat memberitahu mengenai penyakit pak ulin.
"Apa kenanya ulin ni?"Tanya lebai suh.
Mak ibah geleng kepala.Dia tidak tahu punca sakitnya.Hanya selepas balik dari mengubati orang sakit dihulu kampung,tiba-tiba saja pak ulin dua beranak sakit tidak semena-mena.Ngah lajim lah yang kelihatan lebih teruk kerana seluruh badannya memang terasa panas membahang.
Pada lebai suh inilah mak ibah harapkan boleh mengubati.Tidak ada siapa lagi didalam kampung boleh mengubati orang kalau dukun pak ulin sendiri sudah sakit.Cuma pada lebai suh saja orang-orang kampung meminta dia doakan sekiranya pak ulin keluar sampai ke chenor mengubati orang.Sebab itu lah pak ulin terlantar sakit,mak ibah minta panggilkan lebai suh.
"Lajim ni kenapa pula?"Lebai suh juga hairan tidak semena-mena saja dua beranak itu sakit secara mengejut.Lajim mengerang-ngerang menahan panas membahang seluruh badan,manakalah pak ulin bergulung-gulung menahan sakit perut memulas.
Mak ibah geleng kepala juga.Mak ngah som juga hairan dengan kejadian yang menimpa suaminya itu.
"Kita bakar aje kemenyan pak ulin."Alang deraoh mengesyurkan.Dia yakin kalau dibakar kemenyan peninggalan tok galat itu,mungkin harimau akuan tok galat muncul.Harimau akuan itu akan mengubati pak ulin dan ngah lajim.
"Tak payahlah."Beritahu pak ulin tersengguk-sengguk menahan sakit perut memulas-mulas.
"Kemenyan tu dah kepunyaan lajim,biar lajim yang jaga.."Katanya menggigit bibir.
"Bawa ulin ni kedalam."Perintah lebai suh."Kita tengok satu-satu dulu.Mula-mula biar aku tengok lajim."Ujarnya kerana keadaan bertambah kelam kabut disebabkan pak ulin dua beranak serentak sakit.
Orang ramai yang datang menjengah kesitu sama-sama mengusung pak ulin masuk kedalam.Ngah lajim ditinggalkan terbaring dihujung serambi.Mereka terpaksa berpecah dua.Sebahagian merawat pak ulin dengan diketuai oleh alang deraoh,manakala lebai suh pula merawat ngah lajim.
Walau pun pak ulin menghalang dari membakar kemenyan peninggalan tok galat,namun alang deraoh menyuruh mak ibah ambilkan juga perasap untuk membakar kemenyan.Mak ibah yang sudah tidak tahu apa yang harus dibuat menurut saja kemahuan alang deraoh.Cepat-cepat dia mengambil bara didapur dibubuh dalam perasap.Kemudian dia mengambil kemenyan yang dikatakan oleh alang deraoh.
Alang deraoh tidak peduli apa yang dibuat oleh lebai suh diserambi.Dia terus membakar kemenyan bagi memohon agar harimau akuan tok galat muncul mengubati pak ulin yang bergelut menahan sakit perut memulas-mulas.
Ketika ini diserambi lebai suh dengan beberapa orang lagi mengadap ngah lajim yang berhempas pulas menggelepar menahan rasa panas membahang.Mak ngah som duduk dikepala suaminya mengelapkan kain basah kekepala ngah lajim supaya panas nya mengendur.
Lebai suh duduk diatas tumit sambil menadahkan tangan berdoa memohon kepada allah swt agar menyembuhkan penyakit ngah lajim yang tidak diketahui puncanya.Selepas habis berdoa,lebai suh memegang bahu ngah lajim.Dia membacakan ayat-ayat dari surah asy-syafaar dengan jelas dan lantang.Kemudian menghembuskan dari kepala ngah lajim sampai ke kaki.
Tiba-tiba saja ngah lajim ketawa terbahak-bahak bagaikan menyindir lebai suh.Tetapi lebai suh tetap tenang sambil mengisar-ngisar tapak tangan.Kemudian mengusap ke mukanya sendiri.Lebai suh menahan nafasnya sambil kedua tapak tangannya diurut menyilang dari bahu sampi ke pangkal peha.
"Apa awak ni lebai suh,awak baca apa?"Ngah lajim tersengih-sengih tetapi menutup mukanya dengan dua tapak tangan.
Lebai suh tidak menyahut.Kedua-dua tapak tangannya dihalakan ke muka ngah lajim.Dia memejamkan mata membaca ayat kursi tiga puluh tiga kali.Ketika dia membaca ayat kursi ini dengan kuat dan jelas,ngah lajim hanya ketawa saja bagaikan mengejeknya.Sekali sekala terdengar pula pak ulin menendang lantai hingga berdegum degam di dalam.
"Sia-sia aje awak baca apa pun lebai suh..."Kat angah lajim terbatuk-batuk mendehem.
Namun lebai suh tetap tidak menghiraukan apa pun yang dicakapkan oleh ngah lajim.Dia tahu yang bercakap dengannya sekarang bukan lagi ngah lajim.Suara yang terluah dari mulut ngah lajim itu pun bukannya suara ngah lajim lagi,tetapi terketar-ketar dengan diselang seli dengan batuk-batuk yang payah.
Mata lebai suh tetap dipejamkan.Dia kemudian membaca surah al-fusilaat sebanyak 54 ayat.Kedua tapak tangannya tetap dihalakan ke muka ngah lajim,menyebabkan ngah lajim terseringai bagaikan seekor kucing yang takutkan lidi.Kemudian lebai suh mengisar-ngisar kedua tapak tangannya sambil menahan nafas lagi.
"Kenapa kau tak bercakap lagi...?"Tanya lebai suh.
Ngah lajim teridam.Peluh memercik didahinya.Bahang panas diseluruh badannya terasa memijar kepada mak ngah som.Ketika ini mereka yang mengadap ngah lajim diserambi tidak pedulikan apa yang terjadi kepada pak ulin.Hairan juga mereka mengapa pak ulin dua beranak dengan ngah lajim tiba-tiba jatuh sakit.
Sekali sekala mak ibah menyebut-nyebut juga dia sudah pun membuatkan tapai yang dikehendaki oleh pak ulin.Sudah dua tiga hari dia memeramkan tapainya.Kalau pak ulin sembuh boleh lah mereka makan tapai bersama-sama.
"Bercakap lah kau,aku nak dengar lagi.."Lebai suh macam mengejek ngah lajim.
Tetapi ngah lajim tidak bersuara.Batuk mendehem-dehem juga tidak lagi kedengaran.Mereka yang berceratuk diserambi tidak percaya kalau ngah lajim diganggu jembalang atau puaka,kerana pak ulin dukun bersar didalam kampung.Masa kan pak ulin boleh diganggu oleh jembalang atau puaka,sedangkan mahkluk-mahkluk berkenaan tunduk patuh kepada pak ulin.
"Bercakaplah..."Kata lebai suh keras.
"Macam mana nak cakap?"Sahut ngah lajim terketar-ketar.
"Aku tahu kau bukan lajim.."Jerkah lebai suh mengejek.
Ngah lajim ketawa memanjang.Bagaimana pun batuknya semakin menjadi-jadi bila dia terus ketawa.
"Kau dah tua,dah tak larat nak ketawa."Lebai suh mengisar-ngisar tapak tangannya semula.
"Kaf ha ya ain sat,ha mim ain sin kaf..ini kalimat allah,aku genggam ha ti jantung kau."Ujar lebai suh mengertap bibir sambil mengisar-ngisar tapak tangannya.
"Hiss,nanti dulu.Awak ni membunuh kawan ke..?"Suara terhambur dari mulut ngah lajim tetap terketar-ketar menahan batuk panjang.
"Hah,tadi nak menyorok sangat.."Lebai suh terus mengejek,kerana dia bukan lagi bercakap dengan ngah lajim."Sekarang tunjukkan diri kau,kerana kalimat allah lebih kuat dari kau."Katanya menudingkan jari kedada ngah lajim.
Orang-orang yang mengadap ngah lajim mula resah.Mereka hairan jembalang mana pula berani mengganggu ngah lajim anak dukun besar didalam kampung.Apa yang berlaku antara ngah lajim dan lebai suh samalah seperti mereka lihat dengan keadaan tatkala pak ulin mengubati orang-orang yang terkena sampuk jembalang.
Tetapi ketika ini lebai suh sudah merasakan dirinya tidak lagi duduk dihujung serambi menghadapi ngah lajim.Dia merasa dirinya sudah melayang jauh sampai ketengah rimba yang dipenuhi dengan batu-batu kerikil.Di tengah-tengah batu kerikil itu terdapat lubang yang besar bagaikan sebuah gua.Disitu seorang lelaki tua berpakaian serba hitam duduk memaut lutut menunggu kedatangannya.
"Aku tahu niat awak baik.."Jelas lebai suh merenung tepat-tepat ke muka orang tua berkenaan.Tetapi orang tua itu tidak berani memandang lebai suh."Awak nak beri pada dia,sedangkan dia tak mahu..awak nak paksa juga?"Suaranya keras macam mengancam.
"Ini hak dia."Beritahu lelaki tua gementar."Ini janji kita dengan galat,kita punya tanggungjawab menjaga anak cucu galat."Jelasnya perlahan.
"Tak payah awak menjaganya."Jerkah lebai suh.
"Ini janji kita dengan galat."Sahutnya terbatuk-batuk.
"Awak pun batuk-batuk,tak larat nak jaga cucu galat."Lebai suh terus menyindir supaya lelaki tua itu melenting marah.Namun lelaki tua itu tetap tabahkan hati.Dia tidak marah pun dengan ejekan lebai suh."Allah lebih berkuasa memelihara anak cucu galat,awak tak ada kuasa apa-apa."
Lelaki tua itu menunduk.Dia mengangkat muka perlahan-lahan tersengih-sengih macam kan geli hati mendengar kata-kata lebai suh.
"Awak pun tak ada kuasa apa-apa."Katanya keras.
"Memang aku tak ada kuasa apa-apa..."Sahut lebai suh pantas."Tetapi,aku berlindung kepada allah dari syaitan yang direjam."Katanya berdiri tegak sambil mengisar-ngisar tapak tangan.
"Janganlah buat macam tu."Lelaki tua itu segera merayu apabila lebai suh mengisar tapak tangannya.
"Buat macam mana?"Lebai suh tersengih-sengih.
"Awak ni nak membunuh kawan nampaknya."Ujar lelaki tua itu berdiri lelaki tua itu kesal.
Lebai suh berundur sedikit bila dilihatnya lelaki tua itu berdiri terketar-ketar.Tetapi dia tidak dapat berdiri tegak.Sebaliknya terbongkok-bongkok dan jelas ada berbonggol pada bahagian bahunya.Lelaki tua itu mengeliat-liat lantas menderam-deram.Tangannya mencakar-cakar ketanah sehingga ekor keluar memanjang dibahagian punggungnya.
Apabila dia mengangkat muka memerhati ke arah lebai suh,kepalanya sudah bertukar menjadi seekor harimau ganas.Sedikit demi sedikit seluruh badannya juga berubah menjadi seekor harimau besar.
"Baru sekarang awak nak tunjukkan diri.Tadilah aku dah awak disini,bukannya lajim."Suara lebai suh lantang.
Harimau itu berpusing-pusing di sekeliling gua.Dia berpaling kearah lebai suh mahu menerkam.Tetapi cepat-cepat lebai suh menekan ibu jari kakinya ke tanah.Lompatan harimau tersekat bagaikan dia menerpa kearah tembok.Dia jatuh terpelanting ke belakang.
"Hasbiallah wal nikmal wakil,nikmal maula,walnikmal nasir.."Lebai suh menguatkan hatinya menunggu serbuan harimau tersebut.
Berguling-guling harimau tersebut bila dia jatuh terpelanting.Dia kembali berpusing-pusing tidak berani menerkam lagi.Kemudian dia berundur ke batu-batu pejal dibelakangnya lalu berubah menjadi asap tebal yang menutupi pandangan.
Perlahan.lahan lebai suh mengucapkan."Wawaja da ka lan pahada..."Berulang kali.
Sekaligus asap tebal itu berputar-putar menjadi bola api menerkam ke arah lebai suh.Tetapi lebai suh sudah bersedia membaca surah al-ikhlas tiga kali.Bola api itu terus pecah berkecai berserak-serak menjadi debu.
"Nampaknya awak nak berlawan ye."Soal lebai suh sambil menyepak debu-debu yang bertaburan itu.Kemudian debu-debu itu kembali berpusar-pusar menjadi asap tebal.
Dengan pantas pula lebai suh membacakan."Innahu min sulaiman wainnahu bismillahhirahman nirrahim."Asap tebai itu berputar-putar bagaikan dirempuh angin kencang.Apabila asap itu menipis orang tua berpakaian serba hitam itu terhumban dari atas hingga tertiarap didepan lebai suh.
Perlahan-lahan dia bangun semula dengan termengah-mengah.Kemudian menyandarkan belakang kepada batu-batu disitu.Dia terbatuk-batuk menahan keadaan dadanya yang mengombak kencang.
"Aku dah kata,awak dah tua.Tak larat nak jaga anak cucu galat."Lebai suh terus mengejek."Hanya allah saja yang boleh melindungi sesiapa saja yang dikehendakinya."Katanya keras.
Orang tua itu terdiam.Dia masih tercungap-cungap.
"Aku tak boleh putus janji dengan galat..."Ujarnya macam terharu.
"Tapi lajim ni tak mahu terima awak."Sahut lebai suh mengingatkan dia.
"Ini urusan kawan."Orang tua itu mendengus.
"Aku tau,awak orang baik."Lebai suh menahan nafas kemudian dihembuskan perlahan-lahan ke arah orang tua berkenaan."Tetapi biarkan lajim dibawah urusan allah,bukan urusan kau."Katanya macam memberi amaran.
Orang tua itu kelihatan gelisah dengan ancaman lebai suh.Dia tahu bukanlah mudah mahu mengalahkan lebai suh.Dia sudah cuba menerkam kearah lebai suh,tetapi terasa macam gumpalan angin kencang menusuk kedadanya menyebabkan dia terpelanting.Dia cuba menghilangkan diri didalam asap tebal,tetapi dia seolah-olah ditarik keluar oleh angin puting beliung dari dalam kepulan asap.
Kemana saja dia cuba menyembunyikan diri dapat juga dicari oleh lebai suh.Dia dapat merasakan bahawa ilmu lebai suh bukanlah sebarangan ilmu yang pernah diujinya.Seluruh sendi anggotanya menjadi lemah longlai bila lebai suh membacakan ayat-ayat kalimat allah.Dia seolah-olah berdiri diatas bumi yang dilanggar gempa apabila lebai suh terus membacakan ayat-ayat dari al-quran.
Memang dia tidak berdaya berdepan dengan ayat-ayat al-quran yang dibacakan oleh lebai suh.Selama ini dia hanya berdepan dengan jampi mantera.Setiap kali dia mendengar jampi mantera dan bau asap kemenyan dari pak ulin,dia segera mendapatkan pak ulin.Dia sentiasa membantu pak ulin dalam usaha mengubati orang-orang sakit apabila dikehendaki,sekiranya diganggu oleh ilmu-ilmu hitam yang lain.
Ketika ini dia akan bertarung dengan mereka yang mengamalkan ilmu-ilmu hitam yang mahu menandingi ilmu batinnya.Kalau orang menggunakan pelesit,dia akan mengancam tuan pelesit supaya menyerah kalah.Begitu juga kalau orang menggunakan polong,bajang,atau lain-lain ilmu syaitan untuk mengganggu orang lain,maka dia akan tampil membantu pak ulin.
Selama ini dia juga tidak pernah menganggu sesiapa pun.Dia hanya akan membantu pak ulin sebagaimana janji yang pernah dibuat dengan tok galat.Sampai ke anak cucu tok galat dia tetap bersahabat.Apabila pak ulin sudah sampai ajalnya,dia mula mersakan kegelisahan dan bahang panas seluruh badan.Sebab itu dia mesti mencari keturunan tok galat yang lain bagi meneruskan persahabatan.Bahang panas yang dideritai ini lah yang dirasakan oleh ngah lajim pada lahirnya.
"Awak memang orang baik..."Kata lebai suh selanjutnya."Sayangnya,ilmu awak ni tak diredai allah.Ilmu awak ni dilaknati allah."Tegas lebai suh sekaligus menepuk kuat kedua belah tangannya.
"Kawan dengan ulin nak berpisah."Ujar orang tua itu tergigil-gigil dengan wajah muram."Jangan awak nak putuskan pula kawan dengan lajim.Air dicincang takkan putus.Lajim ni pun cucu kawan.."Katanya teresak-esak menahan sedu.
"Awak ni tok galat ke?"Soal lebai suh.
Orang tua itu menunduk.Wajahnya muram kerana kesedihan.
"Kalau awak tok galat,kesiankanlah pada lajim.Dia ni cucu awak."Jelas lebai suh perlahan.
"Tergamak ke awak melihat cucu awak ni menggunakan ilmu awak yang dilaknati allah?"Dia mengingatkan orang tua itu.
Orang tua itu menggeleng-geleng kepala."Susah,nak cakap.."Keluhnya semakin sayu."Awak tak faham masalah kawan,pasal tu awak ingat senang aje nak lepaskan tanggungjawab ni."Katanya bagaikan menyimpan rahsia yang lama terpendam.
"Malam ni..."Lebai suh mengangkat kedua tangan dihalakan ke arah orang tua berkenaan."Malam ni,awak tak boleh mendekati lajim.Selagi aku berdiri disini,aku tetap menyerahkan lajim dibawah perlindungan allah.Iyya kanna budu waiyya kanasta'in..."Tegas lebai suh tidak mahu bertolak ansur.
Orang tua itu terus menggeleng-geleng kepala kesedihan.
"Aku tak peduli awak bertujuan baik atau tidak.Aku tentang awak pasal ilmu awak tidak diredai allah."Ujar lebai suh keras.
Ketika ini orang tua itu bangun perlahan-lahan.Langkahnya lemah menuju kepintu gua.Lebai suh mengekorinya dari belakang.
"Sekarang awak pergi jauh dari sini.Orang disini tak perlukan pertolongan awak.Kami hanya memohon pertolongan allah semata-mata."Beritahu lebai suh tegas.
Orang tua itu tergigil-gigil menuruni batu kerikil dikaki bukau ditengah rimba itu.Dia kelihatan sedih meninggalkan tempat tersebut dengan perasaan hampa.Lebai suh memerhatikan orang tua itu pergi supaya tidak berpatah balik semula.
Ketika meninggalkan tempat tersebut batuk memanjang masih juga kedengaran bertali-tali.Lama kelamaan batuk terkokol-kokol itu lenyap juga dari pendengaran mereka.Selepas itu kedengaran lah suara ngah lajim mengerang-ngerang kesakitan.
Lebai suh membukakan matanya setelah mendengar suara ngah lajim mengerang-ngerang.Ketika ini lah alang deraoh memanggil lebai suh pula masuk kedalam,kerana sakit ngah lajim sudah mula beransur kurang.Semasa masuk kedalam lebai suh hanya menggeleng-geleng kepala saja melihat pak ulin termengah-mengah menahan sakit perut memulas-mulas.
"Apa kene aku ni suh?"Keluh pak ulin sebaik melihat lebai suh masuk mendapatkannya.
"Lajim,macam mana suh...?"Cepat-cepat dia bertanya bila teringatkan anaknya ngah lajim.
"Lajim,alhamdulillah."Beritahu lebai suh perlahan.
"Aku ni,kenapa ni..kenapa aku ni,suh?"Pak ulin tergigil-gigil menahan sakit perutnya.
"Serahkan saja pada allah,bang ulin."Sahut lebai suh berkelip-kelip pelupuk mata menahan genangan air disitu.
Sebaik saja lebai suh duduk disisinya,pak ulin tidak lagi bergulung-gulung badan menahan kesakitan perut yang memulas-mulas.Dia terlentang tidak bergerak lagi,cuma dadanya saja berombak-ombak kencang.
"Kak ibah..."Panggil lebai suh memerhati mak ibah.Kemudian dia berpaling pula pada alang deraoh."Aku ni bukannya nak mendahului ketetapan allah,tapi maha suci allah.."Dia tersengguk-sengguk bila mengenangkan akan kebesaran allah yang maha mengetahui segala-galanya.Lebai suh sudah memahami apa yang dikatakan oleh orang tua yang ditemuinya ketika mengubati ngah lajim bahawa saat mereka berpisah sudah tiba itu.
Lebai suh menahan air mata bukanlah disebabkan kesedihan hati melihat keadaan pak ulin,tetapi merasakan ketakutan kepada allah.Dia sudah dapat melihat apa yang belum dapat dilihat oleh pandangan mata biasa.Inilah kelebihan seorang ahli tariqat yang dikurnia oleh allah kepada orang yang dikehendakinya.
"Kalau siapa nak sama-sama dengan aku baca yasin,sila lah..."Katanya lemah."Aku masih ada wudhuk."Dia menjelaskan sambil memandang kearah alang deraoh.Apa yang dicakapkan oleh lebai suh masih belum dapat difahami oleh alang deraoh dan orang-orang yang ada disitu.
Disebabkan orang macam tidak memahami maksudnya,lebai suh terus membaca yasin.Barulah alang deraoh pula tercari-cari surah yasin untuk sama-sama menyertai lebai suh yang membaca yasin dengan hafal.
Setelah selesai membaca yasin,dia melihat pak ulin semakin tenang.Kemudian dia berbisik ketelinga pak ulin menyuruh nya mengucap dua kalimah syahadah.Dengan tenang juga pak ulin mengucap seperti apa yang disuruh oleh lebai suh.Kira-kira jam 3.00 pagi,pak ulin pun menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan tenang dan tenteram.
Selepas kematiannya,ngah lajim masih juga sakit sampai selama dua minggu.Dia seolah-olah diserang demam panas.Setelah dia sembuh dari sakitnya,lebai suh menasihatkan dia supaya membuang saja kemenyan peninggalan arwah datuknya itu.Didepan lebai suh memang dia berjanji untuk membuangkannya.
Tetapi apabila lebai suh balik kerumah,tidak tergamak pula ngah lajim mahu melupakan amanat ayahnya.Dia sudah diberi amanat oleh ayahnya supaya menjaga kemenyan peninggalan itu apabila dia sudah meninggal dunia.Bagaimana pun semasa meninggal dunia pak ulin tidak sempat menyerahkan kemenyan tersebut,dan dengan sendirinya lebai suh sudah dapat memisahkan mereka.
Sayangnya ngah lajim tetap berpegang teguh kepada janji-janjinya ketika arwah ayahnya masih sehat lagi.Dia sudah berjanji akan memelihara kemenyan peninggalan tok galat.Dia juga berjanji akan memanggang ayam separuh masak untuk diletakkan dibusut dihujung halaman rumahnya.Segala janjinya kepada arwah ayahnya dipenuhi oleh ngah lajim dengan menganggap sepi saja nasihat dari lebai suh.
Setiap malam bulan penuh ngah lajim akan membakar kemenyan setelah meletakkan ayam panggang di atas busut.Pada mulanya dia merasa takut-takut juga.Tetapi sejak peristiwa dia terserempak dengan harimau itu tatkala balik dari dusun durian,sikap ngah lajim berubah.Dia menjadi berani tidak gentar lagi.Sikapnya tidak sama dengan arwah ayahnya pak ulin yang takut bertemu harimau tersebut apatah lagi untuk balik kerumah selepas mengubati orang sakit.
Sejak itu dia tidak mahu lagi mendampingi lebai suh.Memang lebai suh tahu akan perubahan ngah lajim,tetapi dia tidak mahu ambil tahu sangat.Malah ngah lajim bukan saja tidak takut terserempak dengan harimau berkenaan,kadang kala dia sengaja mahu berjumpa.Dia akan bertunggang seperti menunggang kuda pula.
"Macam itu lah ustaz ceritanya."Terang alang deraoh mengenai kematian pak ulin seperti yang dijelaskan oleh saelah sebelum itu.
(Bersambung...)
Sumber : Naskah Dari Tok Awang Ngah
No comments:
Post a Comment